Pages

Tuesday, June 14, 2011

Pemimpin Libya bermain catur




PEMIMPIN Libya, Muammar Gaddafi bermain catur dengan Presiden Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) Kirsan Ilyumzhinov di Tripoli kelmarin.


TRIPOLI - Ketika pertempuran di Libya bertambah sengit, Muammar Gaddafi muncul di televisyen negara berkenaan untuk satu perlawanan catur, lapor sebuah akhbar semalam.
Pemimpin Libya berusia 69 tahun itu seolah-olah tidak peduli tentang peperangan yang berlaku di Libya semasa beliau bermain catur dengan Presiden Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), Kirsan Ilyumzhinov di sini kelmarin.
Perlawanan tersebut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Libya.
Ilyumzhinov yang berasal dari Rusia mengadakan pertemuan dengan Gaddafi ketika berkunjung ke sini.
"Pertemuan kami berlangsung selama dua jam, saya bermain catur dengan Gaddafi," kata Ilyumzhinov.
Menurut agensi berita Rusia, Interfax, Presiden FIDE itu menyatakan Gaddafi memberitahunya bahawa beliau tidak sesekali akan meninggalkan Libya.
"Gaddafi menyatakan Libya ialah tanah airnya, anak dan cucunya akan mati di Libya. Beliau memberitahu bahawa beliau tidak pasti jawatan apa yang perlu beliau lepaskan," ujarnya.
"Saya bukan perdana menteri, presiden atau raja. Saya tidak memegang sebarang jawatan di Libya justeru, saya tidak memiliki apa-apa jawatan yang perlu dilepaskan," Ilyumzhinov memetik Gaddafi sebagai berkata.
Barat sebelum ini meminta pemimpin Libya tersebut supaya meletak jawatan dan meninggalkan negaranya.
Sementara itu, pemberontak mendakwa mereka semakin hampir menawan bandar Zawiyah yang terletak 30 kilometer ke barat ibu negara Libya, di sini.
Seorang jurucakap pemberontak memberitahu, pertempuran sengit berlaku di jalan-jalan raya dalam usaha pemberontak menawan bandar pelabuhan tersebut.
Selain Zawiyah, pertempuran turut berlaku di bandar Zintan, Brega Adabiyah dan kawasan pergunungan Berber, barat daya bandar ini selain bandar Yafran dan Dafnia berhampiran Misrata yang merupakan bandar ketiga terbesar di Libya.
Rakyat negara Afrika Utara yang kaya dengan hasil minyak itu bangkit menentang Gaddafi pada pertengahan Februari lalu kerana menuntut perubahan demokrasi dan pembaharuan ekonomi. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: