Pages

Tuesday, June 14, 2011

Jamilah bersama 4 anak dicari






SIK 13 Jun - Seorang lelaki merayu bantuan pihak-pihak berkaitan untuk menyelamatkan kakaknya, Jamilah Hassan (gambar), 35, dan empat anaknya yang kini dipercayai berada di Aceh, Indonesia dan sedang melalui situasi getir selepas ditinggalkan oleh suaminya.
Nazri Hassan, 31, mendakwa, hidup Jamilah dan anak-anaknya semakin tertekan dan merana selepas ditinggalkan suaminya yang merupakan rakyat Indonesia dikenali sebagai Ripin Husin sejak beberapa tahun lalu apabila lelaki itu kembali menetap di Malaysia.
"Pada 2009, kakak pernah menghantar surat kepada keluarga untuk meminta tolong agar dia (Jamilah) diselamatkan kerana dia berada dalam bahaya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Nazri memberitahu, ekoran itu dia dan keluarga bimbang dengan nasib wanita itu kerana menurut beberapa teman kakaknya, Jamilah dipercayai dikurung dan kehidupannya bersama anak-anak dalam keadaan tidak menentu.
Menurutnya, Jamilah yang berasal dari Kampung Batu 10, Jalan Telaga Batu dekat sini mengenali suaminya ketika bekerja di Sekinchan, Selangor.
Tambahnya, sejak kehilangan kakaknya, kedua-dua orang tuanya semakin uzur, malah bapanya, Hussin Rejab meninggal dunia pada 2009 tanpa pengetahuan Jamilah sehingga kini.
Selain itu katanya, ibunya, Doyah Putih kini sedang sakit dan menyebut nama Jamilah setiap hari.
"Ripin pula pernah menghubungi salah seorang ahli keluarga kami untuk bertemu dengan ibu bapa, namun dia tidak pernah muncul," katanya.
Nazri berkata, keluarganya kesal kerana sehingga hari ini usaha mengesan Jamilah dan anak- anaknya masih menemui jalan buntu.
"Kami percaya Ripin kemungkinan tinggal dengan isteri barunya seorang rakyat Indonesia yang bekerja kilang di Sungai Petani," jelasnya.
Justeru, Nazri berharap mana-mana pihak yang dapat membantu mencari Jamilah agar menghubunginya di 017-2678974.
Utusan Malaysia Online - Utara

No comments: