Pages

Saturday, June 25, 2011

4 maut MPV terjun parit

SIMPANG RENGGAM: Perjalanan enam beranak untuk bercuti bersama di Port Dickson pagi semalam tidak kesampaian apabila empat daripada mereka termasuk seorang bayi 18 bulan maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki merempuh tiang jambatan Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini.

Dalam kemalangan jam 9.45 pagi di Kilometer 46.7 di antara Sedenak dan Simpang Renggam itu, pemandu Nissan Grand Livina, Wong Tong Hing, 66; isteri, Fong Kum Ngoh, 60; adik iparnya, Fong Kum Kai, 59; serta cucu, Wong Jing Xuan, 18 bulan, mati serta-merta.
Mereka tersepit dalam MPV yang terbabas ke dalam parit sebelum merempuh tiang jambatan berkenaan dekat FELDA Sungai Nyamok. Anak perempuan mereka, Wong Ai Ling, 35, dan menantu, Ng Chai Yuin, 21, yang mengandung sebulan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Jiran mangsa, Kam Tee Chin, 52, berkata Tong Hing bekerja di sebuah negara Arab, pulang ke rumahnya di Bandar Putra Kulai dekat Kulaijaya sejak Rabu lalu dan ke Melaka untuk menemui pakar perubatan tradisional Cina bagi mengubati Kum Ngoh yang mempunyai masalah hati.

“Dari Melaka, mereka bercadang ke Port Dickson tetapi anak lelaki Wong, Siang Zhen, 29, tidak ikut serta kerana bertugas di Singapura,” katanya yang sudah 13 tahun berjiran dengan mangsa.

Pekerja Kum Ngoh, Lai Moy Kian, 38, berkata majikannya sempat menyediakan menu untuk restoran berasaskan sayuran sebelum ke Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan memasuki parit besar lalu menghentam penghadang longkang dan tiang konkrit.
Berita Harian Online | 4 maut MPV terjun parit

No comments: