Pages

Saturday, June 25, 2011

23 maut, 107 cedera



Penduduk mengangkat keranda seorang mangsa yang terbunuh dalam kejadian letupan bom ke atas sebuah bas mini untuk dibawa ke tanah perkuburan di daerah Al-Shurta al-Rabaa di Baghdad, semalam. – Reuters


BAGHDAD 24 Jun – Sekurang-kurangnya 23 maut apabila tiga bom meletup berhampiran sebuah pasar dan pusat ibadat di kawasan utama puak Syiah di barat daya Baghdad, semalam.

Letupan pertama berlaku di daerah al-Shurta al-Rabaa dan seterusnya di Husseiniya, sebuah tempat ibadat bagi puak Syiah.

Tidak lama kemudian, satu lagi letupan berlaku di daerah Abu Dsheer, di selatan ibu kota Iraq ini menyebabkan dua terbunuh dan 10 cedera.

Kementerian Dalam Negeri meletakkan jumlah kematian seramai 23 orang dan 107 yang lain cedera, namun sumber perubatan menyatakan 35 terbunuh, manakala 80 cedera.

Kementerian berkenaan menjelaskan bahawa penyerang meletupkan bom ketika waktu puncak menggunakan kereta kayu yang selalunya digunakan untuk membawa bahan letupan.

Seorang penduduk, Ali al-Haidari yang cedera terkena serpihan bom berkata, dia cuba menyelamatkan dua kanak-kanak ketika kejadian.

“Ia merupakan letupan yang kuat dan tidak lama kemudian, letupan kedua kedengaran dan mayat bergelimpangan di merata tempat,” katanya.

Keganasan di Iraq mula reda selepas perbalahan antara mazhab mengenai isu penyembelihan pada 2006-2007 selesai, namun kumpulan Sunni yang dipercayai menyertai rangkaian al-Qaeda masih melancarkan serangan.

Sementara itu, seramai empat terbunuh dan berpuluh-puluh cedera kelmarin dalam siri serangan terhadap polis di Baghdad dan utara bandar Mosul. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: