Pages

Thursday, April 28, 2011

Thai, Kemboja kembali bertempur



TENTERA Thai mengerahkan kereta kebal ke sempadan negara itu dengan Kemboja di provinsi Surin, semalam, yang menunjukkan tiada tanda ketegangan antara kedua-dua negara akan dikendurkan. – REUTERS


PHNOM PENH 27 April – Tentera Thailand dan Kemboja berbalas-balas tembakan meriam berat buat hari keenam berturut-turut hari ini berdekatan dua kuil Hindu abad ke-12 di sempadan kedua-dua negara.
Pertempuran itu meletus semula selepas seorang penduduk kampung Thai terbunuh dalam bedilan meriam malam tadi.
Rundingan yang dijadualkan antara menteri-menteri pertahanan Thai dan Kemboja bagi menamatkan pertikaian sempadan paling berdarah di Asia Tenggara itu dibatalkan secara mengejut.
Pembatalan itu menghancurkan harapan untuk menghentikan segera pertempuran yang telah meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa dan memaksa lebih 50,000 penduduk berlindung di pusat pemindahan.
Menteri Pertahanan Thai, Prawit Wongsuwon dijangka menemui rakan sejawatannya dari Kemboja, Tea Banh di sini tetapi beliau sebaliknya berlepas ke China untuk mesyuarat yang sudah dijadualkan sebelum ini.
“Kami menyambut baik rundingan tetapi hanya jika Kemboja menghentikan tembakan terlebih dahulu,” kata jurucakap tentera Thai, Sansern Kaewkamnerd.
Perdana Menteri Thai, Abhisit Vejjajiva menyuarakan nada lebih lembut dengan berkata, rundingan antara kedua-dua menteri pertahanan cuma telah ‘dijadualkan semula’.
Thailand mahu pertikaian sempadan itu diselesaikan secara dua hala, tetapi Kemboja menuntut campur tangan antarabangsa serta pemantau bebas ditempatkan di kawasan yang dipertikaikan, seperti dipersetujui oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN di Jakarta pada Februari lepas.
“Kedua-dua negara nampaknya menuntut jenis rundingan berbeza, dengan Kemboja mahu mengadakan rundingan gencatan senjata yang disifatkan oleh Thailand sebagai sia-sia,” kata pakar keselamatan di Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Surachart Bumrungsuk.
Perselisihan pendapat itu menjadi ujian besar bagi ASEAN dan mungkin juga memalukan Indonesia selaku Pengerusi ASEAN sekarang.
Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa pada Februari lalu dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merundingkan perjanjian gencatan senjata yang melibatkan penempatan pemerhati tentera Indonesia di kawasan sempadan, tetapi perjanjian itu tidak dilaksanakan ekoran bantahan tentera Thai.
– Reuters, utusan

No comments: