Pages

Wednesday, April 6, 2011

Pemerintah Libya sedia runding bagi pembaharuan

Enggan bicara soal peletakan jawatan Gaddafi
TRIPOLI: Pemerintah Libya berkata ia sudah bersedia mengadakan rundingan bagi pembaharuan tetapi enggan merundingkan tentang peletakan jawatan Encik Muammar Gaddafi sebagai pemimpin negara itu.
Pihak pemerintah berkata Encik Gaddafi adalah tokoh penyatuan selepas memerintah negara tersebut selama empat dekad.'Apa jenis sistem politik yang dilaksanakan dalam negara? Ini boleh dirundingkan, kita boleh bercakap tentang ini,' kata jurucakap pemerintah Libya, Encik Mussa Ibrahim, kepada wartawan.'Kita boleh mempunyai apa saja, pilihan raya, pungutan suara,' ujarnya.Namun, soal masa depan Encik Gaddafi tidak boleh dirundingkan, tegasnya selang beberapa jam pihak pemberontak dan pembangkang sebulat suara menolak satu laporan perjanjian damai yang membolehkan anak lelaki pemimpin Libya itu mengambil alih kepimpinan negara tersebut.Encik Gaddafi ialah 'injap keselamatan' bagi penyatuan puak-puak di negara itu dan rakyatnya, kata Encik Ibrahim.'Kami fikir beliau amat penting untuk memimpin sebarang usaha peralihan kepada satu model demokratik dan telus,' jelasnya.Ulasan itu dibuat sedang seorang utusan Encik Gaddafi mengadakan rundingan di Turkey dan Malta, di tengah-tengah adanya laporan media Amerika Syarikat yang berkata dua daripada anak lelaki pemimpin Libya itu menawarkan untuk menyelia satu peralihan kepada demokrasi, termasuk kemungkinan penyingkirannya daripada tampuk kekuasaan.Bagaimanapun, langkah diplomatik Encik Gaddafi itu gagal mendapat sokongan pemimpin Eropah. Ini kerana Italy menolak saranan gencatan senjata yang dilaporkan dan mengiktiraf majlis sementara pemberontak sebagai pemerintah sah negara itu.Di Libya, para pemberontak memaksa tentera rejim yang taat kepada Encik Gaddafi agar berundur dan menguasai semula kebanyakan kawasan pelabuhan minyak di Brega, menurut stesen televisyen Al-Jazeera.Pesawat-pesawat Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) terus memusnahkan sasaran pihak rejim, seperti kenderaan tentera dekat Brega, menurut satu kenyataan Pentagon.Ini sedang pemerintah Libya menggesa diadakan satu 'dialog antarabangsa' bagi menyelesaikan konflik itu dan menawarkan pilihan raya dan pembaharuan politik.Namun, pihak pembangkang Libya berkata sebahagian daripada apa sahaja perjanjian untuk menamatkan pertempuran adalah dengan syarat Encik Gaddafi harus berundur daripada jawatannya. -- Agensi.Cyberita Online Luar Negara

No comments: