Pages

Monday, April 4, 2011

Muammar Gaddafi masih berada di Tripoli


SEBUTIR roket meletup di medan pertempuran dekat bandar Brega sambil diperhatikan oleh dua pejuang pemberontak semalam.


KAHERAH - Sumber-sumber pegawai peringkat tinggi Libya menafikan mereka mengetahui maklumat mengenai rundingan rahsia di antara para perwakilan rejim pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi dengan pihak pentadbiran negara-negara Barat, lapor akhbar Asharq Al Awsat semalam.
Bagaimanapun, sumber-sumber itu menegaskan bahawa Gaddafi masih berada di berek Bab al-Aziziyah di Tripoli, Libya selain menyatakan keluarga pemimpin berkenaan juga berada di negara tersebut.
Sumber itu menjelaskan maklumat itu dalam satu temu ramah dengan akhbar Asharq Al-Awsat bahawa Gaddafi mengadakan mesyuarat tertutup dengan para komander kanan tentera dan rejimen keselamatan negaranya tiga hari lalu.
Tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk mengkaji keadaan di medan perang, sekali gus menunjukkan Gaddafi masih bekerja secara normal di Tripoli semasa negara-negara Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai pemimpin Libya.
Sumber itu mendedahkan bahawa Gaddafi mengecam Menteri Luar Libya, Mussa Kussa yang belot ke Britain pada minggu lalu.
Mussa sebelum ini mengumumkan bahawa beliau memutuskan hubungan dengan pentadbiran yang dipimpin Gaddafi.
Menurut sumber tersebut, Gaddafi memberitahu sejumlah individu yang rapat dengannya bahawa pihak perisikan asing menjadi dalang yang menyebabkan Mussa bertindak melarikan diri ke Britain.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa berlaku satu pemberontakan yang gagal di dalam kediaman Gaddafi pada Jumaat lalu.
Pemberontakan itu dilakukan sejumlah pegawai muda tentera Gaddafi.
Namun, tentera Gaddafi campur tangan dan mematahkan pemberontakan tersebut dengan segera.
Satu sumber di Tripoli bercakap menerusi telefon: "Kami mendapat maklumat bahawa satu pemberontakan kecil berlaku tetapi ia dapat dipatahkan dengan segera."
Bagaimanapun, satu lagi sumber memberitahu bahawa insiden tembakan yang didengari oleh penduduk dekat ibu pejabat Gaddafi di Bab al-Aziziyah, Tripoli adalah berpunca daripada tindakan beberapa pegawai pentadbiran yang mahu meninggalkan ibu pejabat tersebut tanpa memperoleh permit.
Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu selepas sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di Bandar Benghazi untuk memperjuangkan hak asasi manusia.
Tunjuk perasaan itu kemudian bertukar menjadi pertempuran melibatkan tentera Gaddafi selepas semakin ramai penduduk menuntut pemimpin tersebut meletakkan jawatan.
Pertempuran itu semakin rumit dengan penglibatan tentera bersekutu diketuai AS yang mahu menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya selepas ia diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, satu serangan udara pakatan Barat membunuh 13 orang berhampiran pintu masuk timur bandar Brega pada Jumaat lalu.
Kepimpinan pemberontak menyifatkan pengeboman tersebut sebagai satu kesilapan yang tidak disengajakan dan menegaskan bahawa serangan udara Barat masih diperlukan bagi menewaskan tentera Gaddafi.
Beratus-ratus pemberontak bertempur dengan tentera Gaddafi di Brega yang masuk hari ketiga semalam.
Mereka turut dibantu serangan udara Barat yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: