Pages

Monday, April 4, 2011

18 pelatih masuk wad akibat virus

PORT DICKSON: Seramai 18 pelatih Kursus Asas Konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) Siri 1/2011 yang menjalankan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, dimasukkan ke Hospital Port Dickson (HPD) sejak 26 Mac lalu dipercayai dijangkiti virus selepas demam panas berlarutan.
Sumber berkata, semua pelatih berusia antara 19 hingga 21 tahun itu deman panas selepas dipercayai dijangkiti virus Leptospirosis (kencing tikus), virus adeno, demam denggi dan ‘Influenza Like Illness’ ((ILI).
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri masih menjalankan siasatan terperinci bagaimana semua pelatih itu dijangkiti virus berkenaan.

“Sehingga semalam, 10 pelatih disahkan positif empat virus terbabit, namun hospital masih menjalankan diagnosis secara keseluruhan kerana mereka yang dimasukkan ke hospital mempunyai simptom berbeza.

“Semalam, empat lagi pelatih dimasukkan ke hospital sama selepas menunjukkan simptom dijangkiti empat virus berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zailan Adnan ketika mengulas menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), mengesahkan lapan pelatih PUSASDA dimasukkan ke HPD berikutan tanda ILI.

Di SEGAMAT, Kementerian Kesihatan semalam mengisytiharkan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) bebas sepenuhnya daripada wabak Adenovirus yang mengorbankan tiga pelatih pusat itu, bulan lalu.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia diputuskan selepas tiada sebarang jangkitan baru sejak 19 Mac lalu.

"Selepas pemantauan rapi dibuat kementerian di PULAPOL sejak tiga minggu lalu dan mengambil kira tiada sebarang kes jangkitan baru, maka saya mengisytiharkan pusat itu sudah pulih dan bebas sepenuhnya daripada wabak Adenovirus.

"Bagaimanapun, saya berharap PULAPOL sentiasa memastikan kebersihan menjadi aspek yang diutama serta dititikberatkan terutama dalam mewujudkan saluran pengudaraan lebih baik,” katanya selepas merasmikan bas Klinik Bergerak 1Malaysia di perkampungan Orang Asli, Kampung Kudung, Bekok dekat sini, semalam.

Sejak jangkitan Adenovirus dikesan di PULAPOL pada 4 Mac lalu, tiga pelatih meninggal dunia kerana jangkitan wabak berkenaan.
Berita Harian Online | 18 pelatih masuk wad akibat virus

No comments: