Pages

Monday, March 21, 2011

Mangsa tragedi meningkat




SEORANG anggota tentera berjalan berhampiran sebuah kapal yang terdampar akibat dibawa ombak tsunami di  Onagawa, semalam.
SEORANG anggota tentera berjalan berhampiran sebuah kapal yang terdampar akibat dibawa ombak tsunami di Onagawa, semalam.

Jumlah penduduk maut, hilang kini cecah 21,000

TOKYO: Jumlah penduduk yang disahkan maut atau disenaraikan hilang oleh agensi polis nasional Jepun meningkat kepada lebih 21,000 orang semalam, sembilan hari selepas gempa bumi besar-besaran dan tsunami melanda negara itu.

Wujud kebimbangan angka kematian lebih tinggi daripada bencana itu yang menghapuskan bahagian besar kawasan kediaman di sepanjang pantai Pasifik di utara pulau Honshu.
Agensi polis nasional berkata 8,450 orang disahkan maut dan 12,931 disenaraikan secara rasmi sebagai hilang sehingga pagi semalam akibat malapetaka 11 Mac lalu.
Harapan untuk menemui lebih ramai mangsa terselamat di tengah runtuhan hampir tiada di tengah musim sejuk yang melanda kawasan timur laut Jepun, menutupi kawasan bencana dengan salji awal minggu ini.

Angka kematian itu melepasi gempa dengan magnitud 7.2 yang melanda bandar pelabuhan barat Jepun di Kobe pada 1995, mengorbankan 6,434 orang.

Gempa 11 Mac lalu kini menjadi bencana alam semula jadi paling teruk Jepun sejak Gempa Bumi Besar Kanto 1923, yang mengorbankan lebih 142,000 orang.

Angka terbaru polis untuk mangsa hilang tidak termasuk laporan tempatan dari sepanjang pantai dilanda tsunami yang mana sejumlah besar penduduk tidak dikira.
Datuk bandar di bandar pantai di Ishinomaki di daerah Miyagi berkata Rabu lalu bahawa jumlah yang hilang kemungkinan mencapai 10,000 orang, lapor Kyodo News.

Semalam, penyiar awam NHK berkata kira-kira 10,000 orang tidak diketahui nasib mereka di bandar pelabuhan Minamisanriku di daerah sama.

Sementara itu seorang wanita berusia 80 tahun dan cucunya diselamatkan dari rumah mereka yang musnah di Ishinomaki semalam selepas sembilan hari gempa bumi dan tsunami melanda.

NHK melaporkan kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan lesu tetapi masih sedar.
Mangsa dibawa ke hospital dengan helikopter dan doktor berkata kedua-dua mangsa terperangkap dalam dapur rumah mereka dan memakan makanan yang disimpan dalam peti sejuk.

Remaja terbabit, Jin Abe yang berupaya keluar dari rumah itu semalam dan memanjat ke atas bumbung untuk melambai ke arah helikopter pasukan penyelamat bagi mendapatkan bantuan. – Reuters/Agensi 

No comments: