Pages

Monday, March 14, 2011

Jepun elak bencana ketiga

Berita

2011/03/14


  • Foto
    REAKTOR nombor 1 di Fukushima yang terletak 240 kilometer utara Tokyo dipercayai sudah mengalami kecairan. Gambar kecil, menunjukkan bahagian atas reaktor rosak.
  • Foto
    SEBAHAGIAN penduduk terselamat ditempatkan di Temura diberi rawatan.
  • Foto
    PASUKAN keselamatan menemui mayat mangsa gempa dan tsunami yang tertimbus di Rikuzentakata, utara Jepun.
Pihak berkuasa bertungkus-lumus atasi kecairan loji nuklear

SENDAI: Jepun semalam terus bertungkus-lumus untuk mengelak kecairan di dua reaktor nuklearnya yang rosak akibat gempa bumi mega Jumaat lalu dengan anggaran kematian akibat tsunami yang menyusul di sepanjang pantai timur laut negara itu mencecah 10,000 orang.
Jika berlaku kecairan atau ‘meltdown’ di loji terbabit ia menjadi bencana ketiga berturut-turut selepas negara Matahari Terbit itu dilanda gempa bumi dan tsunami.
Agensi berita Kyodo melaporkan gagal menghubungi kira-kira 10,000 penduduk di pekan nelayan dan pelancongan, Minamisanriku, Miyagi, sejak kejadian itu.
Pegawai semalam bertungkus-lumus mengawal teras reaktor nuklear (nuclear core) di dua loji nuklear berkenaan daripada menjadi terlalu panas seterusnya menyebabkan kebocoran radiasi ke udara.

Sumber kerajaan berkata, bangunan reaktor kedua berada dalam risiko untuk meletup selepas letupan terjadi pada reaktor ketiga sehari sebelum ini.

Pihak berkuasa menetapkan kawasan larangan 20 kilometer di sekeliling loji nuklear Fukushima Daiichi milik Tokyo Electric Power (TEPCO) dan 10 kilometer di sekeliling sebuah lagi loji nuklear berhampiran.
Kira-kira 140,000 penduduk di kawasan terbabit sudah dipindahkan, manakala pihak berkuasa membuat persediaan mengedar iodin kepada mereka yang mungkin terdedah kepada radioaktif.

Kemalangan nuklear paling teruk sejak kejadian Chernobyl pada 1986 itu, mencetuskan kritikan bahawa pihak berkuasa gagal bersedia menghadapi gempa bumi mega dan ancaman yang bakal dihadapi industri tenaga nuklear negara.

Reaktor nombor 1 di Fukushima yang terletak 240 kilometer utara Tokyo dipercayai sudah mengalami kecairan pada sebahagian batang bahan bakarnya.

Berikutan itu, jurutera mengepam air laut untuk mengawal perkara sama berlaku pada reaktor nombor 3 dan kerajaan mengakui pihaknya bertindak lambat semalam.

“Tidak seperti reaktor nombor 1, kami mengalirkan dan memasukkan air pada peringkat awal ke reaktor nombor 3,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano pada sidang media.

TEPCO berkata, tahap radiasi di sekitar loji Fukushima Daiichi meningkat melebihi tahap selamat, tetapi tidak memberi ancaman terus kepada kesihatan manusia. Bekalan elektrik di kawasan yang dikendali TEPCO mungkin terganggu selama berminggu-minggu.

Pegawai rasmi Jepun berkata, ada kira-kira 190 orang dalam lingkungan 10 kilometer dari loji nuklear ketika tahap radiasi meningkat dan 22 orang disahkan menderita akibat pencemaran itu.

Angin yang bertiup di loji itu dari selatan turut menjejaskan penduduk di utara, kata pegawai di Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Agensi Keselamatan Nuklear berkata, kemalangan di loji itu kurang serius berbanding insiden Three Mile Island, Pennsylvania di Amerika Syarikat pada 1979 dan Chernobyl di Ukraine (ketika itu sebahagian daripada Kesatuan Soviet) pada 1986.

Pegawai rasmi berkata, agensi itu mengkategorikan insiden itu pada tahap empat menurut skala Peristiwa Nuklear dan Radiologi Antarabangsa (INES).
Kejadian Three Mile dikategorikan sebagai peringkat lima, manakala Chernobyl berada di skala tujuh.

Sementara itu, beribu-ribu mangsa menghabiskan malam sejuk hanya berbekalkan selimut di pusat perlindungan.

Di bandar yang dekat dengan pantai Rikuzentakata, lebih 1,000 orang berlindung di sekolah atas bukit mendengar radio yang menyiarkan berita terkini. Di dinding ditampal nama mangsa yang terselamat. Ada yang menangis sambil membaca senarai nama.

Sepanjang pantai timur laut negara itu, pekerja penyelamat mencari mangsa di kawasan timbunan runtuhan bangunan, bot kereta dan sampah di bandar Sendai yang terletak 300 kilometer timur laut Tokyo.

Kyodo berkata, kira-kira 300,000 orang sudah meninggalkan kawasan itu dan berlindung di pusat perlindungan sementara.

Dikatakan 5.5 juta penduduk putus bekalan elektrik, manakala 20,800 bangunan musnah. Empat kereta api turut musnah. – Reuters

No comments: