Pages

Monday, March 14, 2011

Lima maut pertempuran di Yemen

Utusan



Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan semasa bantahan menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh selepas pertempuran berlaku di Sanaa, Yemen, kelmarin. – AP


SANAA 13 Mac - Seorang penunjuk perasaan maut hari ini akibat cedera ditembak dalam satu pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis di bandar Aden.
Terdahulu, empat orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera di beberapa bandar di negara ini semalam dalam pertempuran yang berlaku sejak bantahan bermula di negara ini pada Januari lalu.
Seorang lelaki ditembak mati di bandar Aden, dua orang lagi dibunuh di Sanaa dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun pula maut di Mukalla.
Pertempuran turut dilaporkan di dua lagi bandar ketika protes terhadap pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh bertukar menjadi ganas.
Di ibu negara, beratus-ratus polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah khemah penunjuk perasaan pada awal pagi bagi membendung demonstrasi bantahan daripada semakin meluas.
Penunjuk perasaan bertindak melempar batu dan melepaskan tembakan. Mereka yang cedera dibawa ke sebuah masjid yang dijadikan pusat perubatan sementara.
Doktor berkata, seorang kanak-kanak lelaki ditembak mati. Seorang lelaki turut ditembak mati ketika dia melihat satu pertempuran dari tingkap pejabatnya.
Kementerian Dalam Negeri menuduh penunjuk perasaan melepaskan tembakan selain mengatakan sebanyak 161 anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan menjadi lemas apabila gas pemedih mata itu dilepaskan ke arah mereka dan kebanyakannya pengsan.
“Gas yang digunakan oleh polis itu ganjil. Ia menyebabkan kekejangan dan mengganggu sistem saraf,’’ kata seorang doktor yang membantu mereka yang cedera, Bashir al-Kahli.
Kementerian Dalam Negeri menafikan polis menggunakan sebarang gas saraf. – Reuters

No comments: