Pages

Tuesday, March 29, 2011

Air radioaktif tinggi bocor


GAMBAR yang dirakamkan pada 27 Mac lalu menunjukkan reaktor No.4 yang rosak teruk di loji jana kuasa Fukushima Daiichi di timur laut Jepun.

TOKYO - Air beradioaktif tinggi didapati bocor dari sebuah reaktor di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi, timur laut Jepun.
Pengumuman itu dibuat Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) yang mengendalikan loji jana kuasa yang membekalkan tenaga elektrik itu semalam ketika pertubuhan alam sekitar, Greenpeace memberitahu, ia mengesan kadar radiasi tinggi di luar zon perpindahan dekat kawasan loji.
Menurut TEPCO, radiasi berbahaya kepada manusia melebihi bacaan 1,000 milisievert sejam ditemui di dalam air di dalam beberapa terowong bawah tanah yang digunakan untuk mengalirkan air keluar dari reaktor nuklear.
Jumlah radiasi itu, kata pakar-pakar boleh menyebabkan pendarahan dalam badan manusia.
Sebelum ini, pekerja-pekerja kecemasan menyembur reaktor-reaktor nuklear Fukushima Daiichi untuk menyejukkan ia dengan menggunakan beribu-ribu tan air laut yang dipam dari sejumlah jentera bomba dan trak.
Beberapa pegawai TEPCO berkata, terowong-terowong bawah tanah itu tidak bersambung ke laut tetapi terdapat kemungkinan air tercemar radiasi itu diserap ke dalam tanah.
Pencemaran itu berlaku akibat sebahagian batang-batang bahan api nuklear di salah sebuah reaktor nuklear itu mencair selepas sistem penyejukan loji berkenaan rosak.
Sistem penyejukan loji Fukushima Daiichi yang terletak 240 kilometer ke utara kota ini, rosak dalam kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Setakat ini, angka rasmi menunjukkan lebih 27,000 orang mati dan hilang di bahagian timur laut Jepun, kawasan paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami.
Sementara itu, Greenpeace menyatakan, pakar-pakarnya mengesahkan bawah kadar radiasi hingga 10 mikrosievert sejam dikesan di sebuah kampung yang terletak 40 kilometer ke barat daya loji Fukushima Daiichi, iaitu melangkaui zon perpindahan dalam lingkungan 20 kilometer.
"Adalah tidak selamat untuk orang ramai tinggal di Iitate (kampung tersebut) terutamanya wanita hamil dan kanak-kanak kerana kampung ini menerima radiasi menyamai setahun dalam masa beberapa hari sahaja," kata Greenpeace dalam satu kenyataannya.
Para pekerja kini berusaha untuk membasmi ratusan tan air yang tercemar dari beberapa buah bangunan di loji jana kuasa itu. - Agensi
-kosmo

No comments: