Pages

Wednesday, February 9, 2011

Sempadan Thai, Kemboja terus tegang



PRAEH VIHEAR, Kemboja 8 Feb. - Tentera Thai dan Kemboja diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, hari ini selepas siri pertempuran tercetus sejak beberapa hari lalu di kawasan sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara berdekatan kuil purba Praeh Vihear.
Tentera kedua-dua negara tidak melepaskan tembakan tetapi kekal berada di kedudukan masing-masing kerana khuatir pertempuran akan berlaku semula di kawasan sempadan seluas 4.6 kilometer persegi yang dituntut kedua-dua negara berjiran itu.
Thai dan Kemboja masing-masing menuding jari berhubung pertempuran yang membunuh sekurang-kurangnya dua rakyat Thai dan lapan rakyat Kemboja sejak Jumaat lalu, selain memarakkan lagi tunjuk perasaan 'Baju Kuning' di Thailand yang mendesak kerajaan meletak jawatan.
Di wilayah Praeh Vihear, Kemboja, tentera membenarkan pemberita masuk ke negara itu melalui pusat pemeriksaan tentera berhampiran kuil Hindu kurun ke-11 tersebut.
Sementara di Thailand, kawasan perkampungan seperti Ban Sangam di wilayah Si Sa Ket yang terletak kira-kira 4.3 kilometer dari sempadan sunyi sepi dan hanya bunyi trak tentera kedengaran.
Gabenor wilayah Si Sa Ket, Somsak Suvarnsujarit berkata, kira-kira 16,654 penduduk telah dipindahkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet Thailand hari ini menguatkuasakan undang-undang keselamatan khas di tujuh daerah di Bangkok termasuk kawasan kompleks membeli belah terbesar di bandar raya itu serta sekitar pejabat kerajaan, menjelang tunjuk perasaan oleh aktivis 'Baju Kuning'.
Jurucakap kerajaan Panitan Wattanayagorn berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri itu meliputi daerah-daerah yang menempatkan pejabat Perdana Menteri dan Parlimen.
"Kabinet meluluskan penggunaan undang-undang ini bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan di kawasan yang boleh mendatangkan ancaman semasa bantahan dilancarkan," katanya, sambil menambah kata bahawa undang-undang tersebut akan berkuatkuasa mulai esok hingga 23 Februari ini.
Pergerakan 'Baju Kuning' yang sebelum ini membantu Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkuasa, kini berpaling tadah dan mendesak beliau meletak jawatan selepas pemimpin itu dilihat gagal mengambil tindakan tegas berhubung kes pertikaian sempadan dengan Kemboja. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: