Pages

Thursday, October 28, 2010

Balqis hubungi ibu dari alam ghaib



Oleh Mohammad Ishak 
bhkt@bharian.com.my 
2010/10/28

Gadis maklum selamat dalam jagaan jin Islam 

JERTIH: "Umi jangan risau, kak long dalam keadaan selamat dan dijaga orang baik-baik," kata gadis ghaib, Siti Balqis Mohd Nor, 22, ketika berinteraksi menerusi perantaraan alam ghaib dengan ibunya Norizan Said, 47, awal pagi semalam.
Norizan berkata, mereka dapat berinteraksi jam 1.30 pagi dan anaknya memberitahu beliau dalam perjalanan pulang dari Gunung Jerai, Kedah serta kini di Tasik Banding, Perak.
Sehubungan itu, katanya, beliau yakin anak sulung daripada empat beradik itu yang belum ditemui sejak Ahad lalu, selamat dan dijaga Jin Islam berdasarkan petunjuk yang diberikan. 

“Saya yakin tafsiran daripada interaksi kami secara ghaib itu akan menjadi kenyataan beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Gong Nangka, Apal, petang semalam. 

Katanya, selepas ghaib semula pada Ahad lalu, Siti Balqis sempat menghantar SMS kepada beliau memaklumkannya berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat ke tempat berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, malam semalam Siti Balqis dipercayai dalam perjalanan pulang dan singgah di Tasik Banding serta dijangka dihantar jin yang menjaganya malam Sabtu ini. 
Norizan berkata, beliau turut mendail nombor telefon bimbit anaknya kira-kira jam 10 pagi semalam dan hanya mendengar nada dering lagu Cindai nyanyian Datuk Siti Nurhaliza tetapi panggilan itu tidak berjawab. 

Malah, katanya, beliau turut memasukkan kredit RM5 kepada nombor telefon berkenaan kerana bimbang anak gadis itu tidak dapat menghubunginya. 

Dalam perkembangan berkaitan, bomoh dan orang ramai terus mengunjungi rumah Siti Balqis untuk mengetahui perkembangannya.

No comments: