Pages

Thursday, October 28, 2010

Kes askar budak al-Qaeda malukan AS



NEW YORK 27 Okt. - Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan kes jenayah perang ke atas seorang bekas askar kanak-kanak al-Qaeda merupakan satu perkara 'memalukan' kepada Amerika Syarikat (AS).
Pelapor khas PBB mengenai menentang keganasan dan hak asasi, Martin Scheinin berkata, tiada satupun dakwaan ke atas Omar Khadr mematuhi piawaian antarabangsa tentang jenayah perang.
"Saya rasa ia adalah satu penghinaan dan perkara memalukan kepada AS.
"Tiada satupun jenayah yang diakui bersalah oleh Khadr merupakan jenayah perang. Tidak ada satupun," katanya lagi selepas membuat pembentangan kepada Perhimpunan Agung PBB.
Khadr, seorang rakyat Kanada berusia 15 tahun ketika ditahan tentera AS di timur Afghanistan, sedang dibicarakan oleh tribunal tentera AS di kem penjara Teluk Guantanamo di Cuba.
Kini berusia 24 tahun, dia mengaku bersalah Isnin lalu kerana melakukan jenayah perang ke atas pasukan tentera AS dalam sebahagian perjanjian rayuannya.
Scheinin yang juga profesor undang-undang antarabangsa di European University Institute di Florence, Itali menjelaskan, dakwaan yang dikenakan ke atas Khadr dikodkan dalam Akta Suruhanjaya Tentera beberapa tahun selepas dia ditahan.
Tambah beliau, tribunal khas itu bukan sebuah mahkamah tentera tetapi suruhanjaya tentera yang tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan jenayah biasa.
Katanya, kesemua dakwaan itu melampai skop jenayah perang yang difahami undang-undang antarabangsa dan mendesak AS agar membicarakan Khadr dan suspek lain di mahkamah biasa.
Khadr mengaku membunuh seorang askar AS menggunakan bom di Afghanistan pada 2002, bersekongkol dengan al-Qaeda dan membuat bom tepi jalan.
Scheinin berkata, sistem perundangan tidak menyebelahi Khadr kerana askar AS boleh menyerangnya dalam pertempuran tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa. - AFP

No comments: