Pages

Thursday, October 28, 2010

Misi NASA hantar angkasawan ke Marikh




LAKARAN artis menunjukkan Kapal Angkasa Seratus Tahun yang akan menghantar angkasawan menjajah planet lain.


SAN FRANCISCO - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) merancang satu misi berani untuk menghantar beberapa angkasawan dalam satu laluan sehala bagi membolehkan mereka tinggal di planet lain buat selama-lamanya, lapor sebuah akhbar semalam.
Idea itu dikenali sebagai Kapal Angkasa Seratus Tahun bagi menghantar angkasawan menjajah planet lain.
Dalam misi itu, beberapa angkasawan bakal dihantar ke planet seperti Marikh dan mereka mengetahui tidak lagi akan pulang semula ke Bumi.
Pengarah Pusat Penyelidikan Ames milik NASA, Pete Worden menyatakan bahawa pihaknya telah menerima pembiayaan sebanyak AS$1.58 juta (RM4.91 juta) untuk memulakan projek terbabit.
Pasukan penyelidik turut menerima wang tambahan sebanyak AS$100,000 (RM310,850) daripada NASA.
"Kami juga berharap dapat meminta beberapa orang bilionair untuk membentuk satu dana dikenali Kapal Angkasa Seratus Tahun.
"Program angkasa lepas sekarang sangat bermatlamat untuk membolehkan manusia tinggal di dunia lain," kata Worden.
Worden juga memberitahu, dia sudah berbincang mengenai kos penerbangan satu hala ke Marikh dengan pengasas bersama enjin carian Google, Larry Page.
Misi tersebut mungkin melibatkan kos AS$10 bilion (RM31 bilion). Dia menyatakan bahawa teknologi-teknologi baru seperti biologi sintetik dan pengubahsuaian genom manusia boleh diteroka dalam misi terbabit.
Worden mendakwa manusia boleh berada di bulan planet Marikh menjelang tahun 2030. - Agensi

No comments: