Pages

Tuesday, October 12, 2010

Brek dipercayai jadi punca nahas

Pemandu tidak ada rekod kesalahan trafik serius, bas tiada saman pandu laju 
REMBAU: Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan kemalangan bas Ekspres Delima di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Pedas di sini, malam kelmarin, berpunca daripada masalah brek atau sistem stereng berdasarkan kesan brek di tempat kejadian.Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata penyiasat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menemui kesan brek yang panjang dari laluan asal bas ekspres berkenaan, sebelum terbabas dan terbalik ke atas kenderaan lain di laluan bertentangan.
Katanya, pasukan itu dengan dibantu agensi lain termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sedang menyiasat lanjut kedua-dua sistem itu bagi mengenal pasti punca kemalangan. 

“Pemeriksaan awal rekod bas, ia dalam keadaan baik, malah siasatan terhadap pemandu yang maut dalam kemalangan itu, R Ramachandra, mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan trafik yang serius dan bas tiada saman laju. Mungkin kemalangan disebabkan masalah brek atau sistem stereng dan ini sedang disiasat,” katanya ketika melawat tempat kejadian semalam. 

Kong berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan dengan kerjasama JPJ, JKJR, MIROS, PUSPAKOM, polis, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). 

Beliau berkata, bas ekspres terbabit didaftar pada 2007 dan pemeriksaan awal mendapati ia kerap menjalani pemeriksaan berkala PUSPAKOM dan kali terakhir pada Mei lalu dengan keadaan tayar ketika kejadian disahkan dalam keadaan baik. 
Sementara itu, Kong berkata, kementerian sedang membuat pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi memperketatkan penguatkuasaan dan memberi kuasa kepada JPJ menyiasat dan membuat pemeriksaan pemandu yang dipengaruhi dadah. 

'Lengan kiri saya hampir hancur'




2010/10/12


  • Foto
    NORHAYATI Abdul Aziz, 43, dan Mohd Ghazali Anuar, 45, menenangkan anaknya, Nurnajlaa yang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas terbabit dalam nahas bas ekspres di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin.
Penuntut UM hanya dengar jeritan, tangisan minta tolong selepas bas terbalik

SEREMBAN: “Apabila sedar, saya berasa lengan kiri sangat sakit dan terkejut apabila mendapati ia hampir hancur berlumuran darah dan dipenuhi kaca tingkap,” kata Nurnajlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, mangsa kemalangan bas ekspres di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin.Dia yang sebelum itu tertidur berkata, tidak mengetahui punca kecederaan, tetapi percaya disebabkan tersepit pada kaca tingkap bas yang terbalik.
Pelajar tahun satu jurusan Kejuruteraan Komputer Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia terpaksa menggagahkan diri keluar daripada bas yang sudah terbalik untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu, keadaan huru hara dengan jeritan dan tangisan meminta tolong. Saya yang masih bingung kerana impak kejadian itu tidak menyedari apa yang berlaku di sekeliling dan hanya risaukan tangan saya.

“Apabila berada di tepi jalan, baru saya sedar kemalangan itu sangat teruk dan ramai yang parah, selain melihat beberapa mayat bergelimpangan,” katanya yang turut cedera pada muka dan kepala akibat terkena serpihan kaca.

Sementara itu, pelajar kolej swasta, Tew Chi Ling, 18, berkata, dia sedang mendengar pemain MP4 apabila bas tiba-tiba bergoyang kerana cuba mengelak sebuah kenderaan lain di hadapan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan. 
“Saya terkejut dan terasa seolah-olah bas melayang sebelum terhempas dan mendengar dentuman kuat. Selepas itu, saya sedar sudah berada dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki di atas. Saya dengar ada orang meminta saya keluar segera,” katanya yang cedera ringan.

Mereka ditemui ketika lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan; Ketua Pengarah JKJR, Datuk Sureet Singh dan Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS). 

Kakak penyanyi pop kritikal

LONDON: Kakak bintang pop Mika dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital selepas terjatuh setinggi 50 kaki dari tingkap rumahnya dan tertusuk kekisi besi.


TINGKAP tingkat tiga  di mana Paloma jatuh.
TINGKAP tingkat tiga di mana Paloma jatuh.

MIKA dan Paloma.
MIKA dan Paloma.
Paloma Penniman, 28, jatuh dari tingkap di tingkat tiga kediaman di Kensington, barat London, semalam selepas hilang pertimbangan ketika duduk di atas belebas tingkap.

Kedua-dua kaki dan bahagian perutnya tertusuk pada runcing kekisi besi dan anggota bomba terpaksa memotong sebahagian daripadanya supaya Paloma dapat dibawa ke hospital.

Difahamkan Paloma sudah menjalani pembedahan pagi semalam di Hospital Diraja London di Whitechapel, timur London.

Jurucakap balai polis Scotland Yard berkata: “Polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.15 pagi memaklumkan terdapat seorang wanita yang terjatuh dari tingkap tertusuk pada kekisi besi.” Jurucakap Mika, 27, pula berkata, Paloma mengalami kemalangan yang serius.

“Dia masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Keluarga Mika meminta supaya pihak media dan orang ramai menghormati tragedi yang menimpa keluarga mereka.
Seorang sumber yang rapat dengan penyanyi itu berkata: “Mika tidak menghadapi trauma tetapi dia berasakan kejadian itu seperti mimpi ngeri.”

“Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku. Satu saat Paloma duduk di atas belebas tingkap dan kemudian dia sudah jatuh ke atas kekisi besi.”
Paloma dan Mika atau nama sebenarnya Michael Penniman keluar untuk makan malam bersama pada malam sebelum kejadian malang itu.

Kedua-dua beradik itu memang rapat dan Paloma turut mereka pakaian dipakai Mika ketika membuat persembahan di pentas.

Paloma juga bertindak sebagai penyanyi latar Mika dalam album kedua penyanyi itu yang berjudul, The Boy Who Knew Too Much. - Agensi

12 disahkan terbunuh

SEREMBAN: Polis mengesahkan 12 terbunuh di tempat kejadian dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Pedas, dekat sini, petang kelmarin.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Junaidi Bujang, berkata 10 yang terbunuh adalah penumpang dan pemandu bas ekpres berkenaan dan masing-masing satu dipercayai pemandu van dan kereta Honda Accord.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis, tiga daripada penumpang bas ekspres yang maut itu warga Myanmar.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas bas ekspres terbabit berada di lorong kiri dipercayai cuba mengelak sesuatu sebelum hilang kawalan.

“Bas terbabit terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu terbalik dan menghempap Perodua Myvi dan Honda Accord dipandu seorang wanita,” katanya yang ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa sama, sebuah van dan bas dari arah utara merempuh bas yang terbalik dan melintang lebuh raya.

Tercampak merata tempat

SEREMBAN: “Saya nampak ada beberapa penumpang tercampak di merata tempat dalam bas yang bergolek selain jeritan penumpang yang cedera dan ketakutan,” kata seorang penumpang bas ekspres yang cedera dalam kemalangan mengorbankan 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Pedas, dekat sini, petang kelmarin.
Pelajar kolej, Tew Chi Ling, 18, berkata keadaan dalam bas ketika itu amat kelam kabut selepas penumpang yang cedera menjerit kesakitan manakala beberapa yang lain tidak bergerak dipercayai sudah mati.
“Sebelum kemalangan, saya terasa bas yang dipandu seorang lelaki terhoyong-hayang hingga ia gagal dikawal lalu terbalik beberapa kali dan masuk ke laluan bertentangan di sebelah.

“Sejurus selepas kemalangan, saya dapati tangan berdarah dan menggagahkan diri keluar dari bas yang terbalik,” katanya yang ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

Menurut Tew, dia dan seorang rakan yang menaiki bas berkenaan merangkak keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

Dia yang menuntut di sebuah kolej di ibu kota, menaiki bas berkenaan dari Terminal Melaka Sentral kira-kira jam 6 petang selepas pulang bercuti hujung minggu di rumah keluarganya.

Ajal lepas merajuk

MELAKA: “Tak sangka, kami ‘lepaskan’ dia sekejap saja, tetapi dia pergi buat selama-lamanya. Itulah kali pertama dia menaiki bas ekspres sepanjang hayatnya, tapi menjadi yang terakhir,” rintih Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18.


SEDIH...Fadzry dan Rohanta memujuk Natasha (dipangku), kelmarin.
SEDIH...Fadzry dan Rohanta memujuk Natasha (dipangku), kelmarin.

Anak bongsu daripada dua beradik itu antara 10 penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh dalam kemalangan ngeri meragut 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, lewat petang kelmarin.

Rohata tidak menduga permintaan Sharene Sofia yang beria-ia mahu ke Klang, Selangor, menemui rakannya sehingga merajuk beberapa hari kerana tidak dibenarkan pergi, ibarat petanda ajalnya sudah hampir.

Menurut Rohata, dia dan suaminya, Fadzry Tan Abdullah, 45, keberatan melepaskan anak mereka menemui rakannya yang dikenali ketika dia mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini tahun lalu.

“Bagaimanapun, Sofia merajuk dan memujuk agar saya membenarkannya pergi bermalam dua hari di rumah rakannya itu.

“Tidak mahu dia merajuk berpanjangan, akhirnya saya membenarkannya pergi,” katanya yang ditemui di rumah ibunya di Kilometer 14, Kampung Umbai, dekat sini, semalam.
Jenazah Allahyarham Sharene Sofia dikebumikan kira-kira jam 11.30 pagi semalam, di tanah perkuburan Islam Umbai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, bas ekspres Delima yang membawa 34 penumpang, terbabas dan memasuki laluan bertentangan lebuh raya dan menghempap beberapa kenderaan menyebabkan 12 terbunuh.
Polis mengesahkan 10 yang terbunuh penumpang dan pemandu bas ekpres berkenaan dan masing-masing satu dipercayai pemandu van dan kereta Honda Accord.

Rohata berkata, selepas diizinkan pergi, Sharene Sofia mula berubah menjadi terlalu periang dan suka bermanja dengannya serta keluarga.

“Dia nampak ceria berlebihan dan suka bergurau serta menyakat saya. Malam sebelum menaiki bas, dia meminta tidur bersebelahan kakaknya (Natasha Ernie, 19), tetapi anak sulung saya tidak membenarkannya,” katanya yang kini menetap di Taman Semabok Perdana, dekat sini.

Menurut Rohata, selepas menghantar Sharene Sofia di Terminal Melaka Sentral, dia tidak turun dari kereta, sebaliknya hanya bersalaman ketika menurunkannya berhampiran bas yang mahu dinaiki.

“Selepas itu saya tidak lagi melihat kelibatnya. Bagaimanapun, saya sempat menghubunginya bagi memastikan dia selamat menaiki bas,” katanya.

Rohata berkata, sejam selepas itu, dia menghubungi telefon bimbit anaknya lima kali termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi tidak dijawab.

“Saya bertambah bimbang apabila rakannya yang menunggu di Kuala Lumpur menghubungi memberitahu bas dinaiki Sofia belum tiba.

“Saya dihubungi semula rakannya dan terkejut apabila diberitahu kenderaan dinaiki anak saya terbabit kemalangan.

“Saya menghubungi polis di Negeri Sembilan dan Melaka, namun mereka gagal mengesan nama anak saya dalam senarai mangsa cedera atau terbunuh.

“Kerana tidak sedap hati, saya dan suami terus ke Hospital Melaka bagi mendapatkan maklumat di Jabatan Kecemasan, namun masih gagal,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rohata, apabila tiba di Jabatan Forensik, anggota polis memintanya membuat pengecaman menerusi gambar.

“Alangkah terkejut dan pilunya saya apabila mendapati gambar mayat itu anak saya. Apapun, saya tetap reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Bas lesap sekelip mata

MELAKA: “Kira-kira jam 6.44 petang (kelmarin), saya menerima SMS daripada dia (rakannya) memberitahu bas dinaikinya baru melepasi Plaza Tol Ayer Keroh. Kami mengekori bas itu dengan kereta,” kata Nurfaizah Abd Karim, 19, menceritakan detik akhir dua rakannya yang terbunuh dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan 12 orang di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Pedas, petang kelmarin.


PILU...ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan kesedihan.

Rakannya, Nurshapika Baba, 19, dari Jalan Pokok Mangga dan Muhamad Farizuddin Abu Talib, 19, dari Balai Panjang, terbunuh bersama 10 penumpang lain dalam kemalangan membabitkan bas ekspres Delima yang mereka naiki serta beberapa kenderaan lain.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia menghantar SMS kepada Nurshapika bertanya kedudukan bas dinaikinya kerana gagal mengesan bas berkenaan, tetapi tidak membalas dan saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Apabila tiada balasan dan masih gagal mengesan bas berkenaan, saya hantar beberapa SMS lagi dan mula tidak sedap hati kerana tetap tidak mendapat balasan,” katanya yang mengekori bas berkenaan sejak ia berlepas bersama dari Terminal Melaka Sentral bersama rakannya, Nurul Baidatul Asyikin Asri, 19, dengan kereta.

Nurfaizah yang ditemui di Hospital Melaka di sini, semalam. berkata Nurshapika dan Muhamad Farizuddin yang enggan menaiki kereta bersamanya, berkeras mahu pulang ke Kuala Lumpur dengan bas.

Difahamkan, kedua-dua mangsa masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU), Bukit Beruang, dalam jurusan kejururawatan dan menjalani latihan praktikal peringkat akhir di Hospital Melaka.
Menurut Nurfaizah, kedua-dua rakannya itu tidak menunjukkan perubahan sebelum mereka ke Terminal Melaka Sentral untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur dan ketika bas meninggal terminal, mereka melambaikan tangan bagaikan lambaian terakhir.

“Kami berdua hairan kerana gagal mengesan bas berkenaan dan timbul persoalan, sama ada bas itu laju sangat sehingga kami tidak dapat mengejarnya sedangkan ketika itu kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan akibat kesesakan. Rupanya kesesakan itu akibat kemalangan membabitkan bas dinaiki rakan kami.

Filem Social Network duduki carta pertama



PELAKON-PELAKON filem The Social Network, Justin Timberlake (kiri), Jesse Eisenberg (tengah) dan Andrew Garfield bergambar di tengah London pada Rabu lalu.


LOS ANGELES - Filem Social Network mengenai penubuhan rangkaian sosial Facebook menduduki carta pertama dalam senarai Amerika Utara untuk minggu kedua berturut-turut. Filem arahan David Fincher itu mengisahkan pertembungan personaliti dan perbalahan antara pengasas-pengasas laman tersebut.
Filem itu mendapat kutipan AS$15.5 juta (RM48.08 juta) untuk kekal di tempat teratas untuk minggu kedua berturut-turut pada Ahad lalu. Anggaran kutipan itu dikeluarkan oleh Sony.
Filem itu mendapat kutipan AS$46.1 juta (RM143.02 juta) selama 10 hari tayangan.
Menduduki tempat kedua dengan kutipan AS$14.6 juta (RM45.26 juta) pada hujung minggu ialah Life as We Know It terbitan Warner Bros.
Ia dibintangi oleh Katherine Heigl dan Josh Duhamel yang menjadi penjaga seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu.
Filem perlumbaan kuda, Secretariat yang dibintangi Diane Lane berada di tempat ketiga dengan kutipan hujung minggu AS$12.6 juta (RM39.06 juta).
Menduduki tempat keempat ialah filem Legend of the Guardians: The Owls of Ga'Hoole keluaran Warner Bros. dengan kutipan AS$7 juta (RM21.7 juta). - Agensi

Menjejaki asal-usul denim



MELALUI lukisan ini, pengkaji dapat mengenal pasti latar komuniti dan lokasinya.


IA menjadi keperluan harian dan juga fesyen kegemaran ramai. Ternyata, jean biru kini telah menguasai planet. Namun, adakah tekstil itu berasal dari kilang kain di New Hampshire, di pantai selatan Perancis atau dari perusahaan tenunan di utara Itali?
Ahli sejarah seni percaya mereka telah menemui petunjuk untuk teka-teki yang berabad lamanya itu. Pembayang itu diperolehi daripada sebuah lukisan abad ke-17 oleh artis utara Itali. Karya yang diberi judul Master of the Blue Jeans itu telah dipamerkan di Paris baru-baru ini.
Menghayati salah satu karya tersebut, seseorang boleh melihat fabrik biru dengan jahitan benang putih pada imej seorang wanita marhain yang memakai skirt dan juga jaket yang dipakai pengemis kanak-kanak. Kesan koyak pada fabrik itu menyerlahkan strukturnya.
"Perician pada pakaian itu dilukis dengan sangat khusus. Amat jarang bagi seseorang pelukis dapat menunjukkan mesej kemiskinan melalui ketelitian elemen tersebut. Jean biru ditemui dalam hampir setiap lukisan," kata kurator, Gerlinde Gruber yang mengkaji hasil kerja seniman tidak bernama itu.
Dalam lukisan lain yang berjudul Mother Sewing, seorang ibu sedang digambarkan menyiapkan selembar kain perca. Ketelitian lukisan itu membolehkan pihak kurator mengenal pasti suasana serupa di Venice, Itali.
Para sejarawan telah sekian lama cuba mengesan asal-usul seluar jean menerusi dua sumber di luar Amerika Syarikat iaitu fabrik kasar yang dikenali dengan de Nimes dari bandar Nimes, Perancis dan juga fabrik fustian kapas dari Genoa di Itali yang dipanggil Genes.
Daripada kedua-dua nama itu, telah tercetus perkataan Inggeris yang dikenali pada hari ini iaitu jean dan denim.
Namun, tidak seperti kehalusan fabrik seperti yang dipakai golongan bangsawan, fabrik kasar tersebut dipakai golongan kelas bawahan sehingga ia lusuh dan koyak rabak.
JAKET yang dipakai kanak-kanak ini jelas menunjukkan fabrik jenis denim.


Sejarah lokasi
Sehingga kini, hanya terdapat rekod bertulis mengenai penghantaran fabrik kos rendah dari Genoa ke bahagian utara Eropah terutamanya England pada pertengahan abad ke 17.
"Kami juga merekodkan dakwaan daripada tukang jahit Inggeris bahawa kain dari Genoa yang digunakannya merupakan fabrik jean asli. Ini telah menghidupkan kembali realiti sejarah yang selama ini dilupakan," jelas Gruber.
Berdasarkan kajian kurator, fabrik berwarna biru telah dilukis seakan-akan dengan rona jean masa kini. Beberapa abad kemudian, kumpulan pereka iaitu Francois dan Marithe Girbaud telah memperoleh reputasi sebagai ketua seluar seluruh dunia.
Menurut para kurator, biru fabrik dalam lukisan tersebut diwarnakan indigo, sama seperti bahan pewarna yang digunakan untuk mencelup denim pada hari ini.
Beberapa kurun kemudian, pasangan pereka suami isteri, Francois dan Marithe Girbaud meraih reputasi sebagai pakar dunia jean. Mereka ialah perintis jean longgar gaya hip-hop yang menggunakan teknik stonewash atau regangan.
"Perkara ini menjawab persoalan sejarah yang selama ini kita hebohkan. Ini sungguh menyeronokkan.
"Dalam fikiran orang ramai, jean dikaitkan dengan Marilyn Monroe, James Dean dan Amerika Syarikat. Sekarang, adakah ia dari Nimes atau Genoa? Saya sendiri tidak tahu jawapannya. Paling penting, jean telah wujud sejak tahun 1655," jelas Francois yang turut terlibat dalam pameran di Paris itu.
Kisah pameran
Sementara itu, sebanyak 10 buah karya kanvas telah didedikasikan buat pelukis Itali itu dengan lapan daripadanya ditayangkan di Paris. Ia dipamerkan bersama karya Michael Sweerts atau Giacomo Ceruti, yang telah dipinjamkan daripada muzium dan juga koleksi peribadi di Rom dan Vienna.
Pada tahun 2004, pemilik galeri yang berpangkalan di Paris, Maurizio Canesso telah membeli lukisan daripada artis yang tidak dikenali di sebuah sekolah seni di Neapolitan, New York.
Canesso cuba menyelidik asal-usul lukisan berjudul The Barber's Shop itu dan telah menemui salinannya di muzium yang terletak di Varese berdekatan Milan.

KEGILAAN berfesyen dengan jean sudah merentas zaman dan kekal popular hingga ke hari ini.


"Itu telah menyebabkan kajian mengenainya bermula," ujarnya.
Pada masa yang sama di Itali, tanpa pengetahuan Canesso, Gruber sedang giat mencari jawapan kepada hasil karya artis yang sama. Hasil kerja pelukis misteri tersebut dinamakan sebagai The Master of the Blue Jeans berikutan pengulangan imej fabrik tersebut dalam siri karyanya.
Rujukannya bermula selepas melakukan pemerhatian terhadap lukisan berjudul Woman Sewing With Two Children dan Beggar Boy With A Piece Of Pie.
Sifat ingin tahu Canesso tercetus apabila membaca artikel ulasan lukisan Gruber yang disiarkan pada tahun 2006. Pada tahun-tahun berikutnya, Canesso membeli kesemua karya yang dihasilkan pelukis yang disebutkan itu.
Berdasarkan di galeri Canesso, setiap lukisan dianggarkan berharga antara AS$60,000 hingga AS$80,000 (RM187,00 hingga RM249,000).

Islam hanya pada nama saja

Hos X-Factor tidak penuhi impian bapa

KONNIE HUQ


LONDON - Hos program realiti pencarian bakat, X Factor, di Britain, Konnie Huq mendedahkan bahawa bapanya berharap agar dia berkahwin dengan seorang lelaki Islam.
Pengacara wanita itu bagaimanapun memilih seorang wartawan penyiaran berlainan agama, Charlie Brooker sebagai suaminya dalam satu upacara perkahwinan rahsia di Las Vegas, Amerika Syarikat, pada Ogos lepas.
"Sudah tentu mereka seboleh-bolehnya mahu bermenantukan orang Islam kerana ibu bapa saya beragama Islam," kata Konnie, 35 dalam satu wawancara yang disiarkan sebuah akhbar Britain semalam.
Namun, menurutnya, bapanya, Muhammad yang berusia 74 tahun dan berketurunan Bangladesh kini dapat menerima Brooker sebagai menantu.
"Saya percayakan cinta dan saya dapat merasakan bahawa mereka saling menyintai. Brooker menulis banyak buku dan dia seorang lelaki yang baik," katanya. - Agensi

Bank Rusia ambil pengintip seksi bekerja


ANNA CHAPMAN


MOSCOW - Seorang perisik Rusia yang telah diusir dari Amerika Syarikat (AS), Anna Chapman kini bekerja dengan sebuah bank Rusia sebagai penasihat presiden bank berkenaan.
Satu kenyataan akhbar FondServisBank menjelaskan mengenai pengambilan Chapman sebagai penasihat itu selepas dia menghadiri majlis ucap selamat terhadap angkasawan Rusia di pusat pelancaran Soyuz di Kazakhstan pada minggu lalu.
FondServisBank merupakan bank rasmi agensi angkasa lepas Rusia, Roskosmos.
"Anna Chapman bekerja dengan FundServiceBank sejak 1 Oktober lalu sebagai penasihat presiden (bank itu) berhubung aspek pelaburan dan inovasi," jelas kenyataan bank terbabit.
Chapman akan membantu memajukan teknologi maklumat bank itu.
Pengintip itu disifatkan sebagai pekerja yang kreatif dan serba boleh.
Chapman menjadi perisik yang cukup sensasi ekoran penyiaran gambar-gambar separuh bogelnya di Internet selepas dia ditangkap oleh pihak berkuasa AS.
Dia dihantar pulang ke Rusia dalam satu program pertukaran perisik melibatkan kedua-dua buah negara pada Julai lalu.
- Agensi

Kapal angkasa komersial diuji



GAMBAR menunjukkan kapal angkasa VSS Enterprise terbang di Mojave, California kelmarin.


LOS ANGELES - Kapal angkasa komersial pertama di dunia, VSS Enterprise melakukan penerbangan buat kali pertama di negeri California, Amerika Syarikat (AS) sebelum mendarat di Lapangan Terbang Kapal Angkasa Mojave, kelmarin.
Kapal angkasa berkenaan dibina oleh kumpulan Virgin, syarikat milik bilionair Britain, Sir Richard Branson yang juga pemilik pasukan perlumbaan Formula Satu (F1), Virgin Racing.
Dalam satu kenyataannya, kumpulan Virgin memberitahu, VSS Enterprise meninggalkan pesawat induknya WhiteKnight2 yang sebelum ini bercantum dengannya pada ketinggian 13,700 meter.
Semasa penerbangan, kapal angkasa itu dikendalikan oleh juruterbang, Pete Siebold dengan Mike Alsbury sebagai pembantu juruterbang.
Penerbangan ujian itu dilakukan untuk menguji perlepasan VSS Enterpise dari kapal induknya selain keupayaan kedua-dua juruterbang itu mengemudi dan mendaratkan kapal angkasa itu di Lapangan Terbang Kapal Angkasa Mojave.
"VSS Enterprise menyeronokkan untuk dikendalikan, bukan sahaja kerana kapal angkasa itu mampu bergerak selaju 4,152 kilometer sejam tetapi ia juga meluncur pada altitud paling tinggi di dunia," kata Siebold. - AFP

Pelombong teruja tunggu masa diselamatkan



SEORANG pekerja mengimpal terowong penyelamat di lombong tembaga dan emas San Jose dekat bandar Copiapo semalam.


COPIAPO, Chile - Seramai 33 orang pelombong yang terperangkap di dalam lombong tembaga dan emas San Jose dan ahli keluarga mereka kelmarin teruja menunggu masa untuk dikeluarkan setelah berada di sana selama 67 hari.
Para jurutera mula melakukan ujian penggunaan sebuah kapsul penyelamat untuk membawa keluar semua mangsa. Pemerintah Chile menjangkakan operasi mengeluarkan mereka yang terperangkap bermula esok.
"Saya sangat penat. Sudah terlalu lama menunggu sahaja," kata Alicia Campos yang anaknya, Daniel Herrera merupakan salah seorang mangsa yang terperangkap.
Dia mahu anaknya itu mencari kerja lain selepas diselamatkan.
Mangsa-mangsa itu akan diraikan oleh anggota-anggota keluarga mereka selain lebih 750 orang wartawan yang mahu menemuramah dan merakamkan gambar.
Para pelombong itu akan dijemput mengunjungi Istana Presiden, diberi percutian percuma serta muncul di dalam pelbagai rancangan televisyen.
Pada 5 Ogos lalu, satu dinding lombong itu runtuh menyebabkan semua pelombong terperangkap. - Reuters

Ahli Parlimen Israel berbalah


GAMBAR fail menunjukkan dua budak Palestin dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki Yahudi di Silwan, timur Baitulmuqaddis pada Jumaat lalu.


BAITULMUQADDIS - Ketegangan berhubung insiden seorang pendatang Yahudi merempuh dua budak lelaki Palestin yang membaling batu di timur Baitulmuqaddis merebak ke Parlimen Israel semalam.
Suasana tegang pada persidangan Parlimen Israel memuncak apabila anggota-anggota Parlimen Yahudi dan Arab-Israel saling melabelkan satu sama lain sebagai 'pengganas' dan 'orang gila' selepas kejadian itu berlaku minggu lalu.
Dalam rakaman insiden pada Jumaat lepas, dua budak lelaki bertopeng sedang berdiri bersama sekumpulan pembaling batu apabila mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang pendatang Yahudi yang kemudian melarikan diri.
Seorang budak lelaki itu terpelanting dan tersembam pada cermin hadapan kenderaan tersebut sebelum terhumban ke jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Israel, Danny Danon dari Parti Likud menyuarakan kekesalannya kerana kanak-kanak Palestin berulang kali terbabit dalam perbuatan membaling batu.
"Ia mengejutkan. Perbuatan membaling batu ke arah kereta yang dinaiki penumpang adalah satu cubaan membunuh," kata Danon dalam satu mesyuarat yang sebahagian besarnya dihadiri oleh wakil-wakil kumpulan propenempatan Yahudi di timur Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel.
Namun, suasana tegang tercetus apabila wakil rakyat berketurunan Arab-Israel, Ahmed Tibi melahirkan rasa terkejut kerana jawatankuasa berkenaan langsung tidak mempedulikan nasib dua kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun itu yang teribat dalam kejadain langgar lari.
"Anda langsung tidak bersimpati," kata Ahmed.
"Anda ialah kumpulan manusia gila yang tidak berperasaan walaupun melihat seorang kanak-kanak terpelanting," tambahnya.
Polis mengenal pasti pemandu itu sebagai David Beeri, seorang pemimpin yahudi di Elad. - AFP

TV hibrid tanpa wayar diperkenal



MUSTAPA (tiga dari kiri) dan Yeoh menyaksikkan pertukaran dokumen antara Lee (kiri) dengan Buno Patti (empat dari kiri) sambil diperhatikan oleh Wiser (kanan sekali) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) bakal mencipta satu lagi sejarah dalam industri teknologi maklumat dan dunia penyiaran menerusi perkhidmatan televisyen (TV) hibrid tanpa wayar tidak lama lagi.
Pengenalan tersebut yang merupakan inovasi yang pertama di Malaysia dan juga di kalangan negara-negara Asia Pasifik itu bakal direalisasikan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif, YTL Communications, Wing K. Lee berkata, perkhidmatan tersebut menggabungkan kandungan penyiaran dan Internet dalam sebuah peranti dan disalurkan kepada pelanggan menerusi rangkaian tanpa wayar 4G pihaknya.
“Perkhidmatan TV hibrid tanpa wayar itu akan membolehkan pelanggan menggunakan hanya satu User ID yang sama pada TV mereka untuk menonton siaran kegemaran, video atas permintaan, kandungan Internet termasuk YouTube dan pelbagai lagi.
“Ini menjadikan TV di ruang tamu sebagai jendela dunia dan kami akan meluaskan perkhidmatan ini kepada peranti-peranti skrin yang lain,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian bersama Sezmi Corporation di sini semalam.

Wook lega suami bebas dadah


MOHD. NOR memimpin tangan isterinya, Wook keluar dari mahkamah selepas dibebaskan di Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU - Tiada hari paling bermakna buat Wook Kundur, 108, melainkan dapat bertemu semula dengan suaminya, Mohd. Nor Musa, 38, yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengambil dadah.
Wook yang dipercayai wanita tertua di Terengganu turut melahirkan rasa syukur kerana wang jaminan sebanyak RM2,000 yang dikeluarkan untuk menjamin suaminya sebelum ini telah dikembalikan kepadanya.
"Tok tidak pernah memusuhi Mohd. Nor kerana Tok tahu dia tidak bersalah.
"Tok juga sangat bersyukur kerana dapat semula wang jaminan RM2,000 yang boleh digunakan untuk perbelanjaan kami berdua selepas ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Dalam keputusan semalam, Mahkamah Majistret membebaskan Mohd. Nor selepas didapati tidak bersalah menggunakan dadah ketika ditahan dalam satu operasi polis di Kampung Pasir Tinggi dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 12 Ogos lalu.