Pages

Tuesday, October 11, 2011

Ulama gesa Libya amal fahaman Islam sederhana


TRIPOLI 10 Okt. - Seorang ulama terkenal dan berpengaruh di Libya, Ali al-Sallabi menggesa ahli politik di negara ini mengadaptasi dan melaksanakan fahaman Islam sederhana.
Beliau yang pulang semula ke Libya selepas bekas pemimpin negara ini, Muammar Gaddafi digulingkan berkata, semua pihak perlu faham Islam bukan sahaja mengenai hukuman.
''Islam merangkumi semua perkara termasuk politik, Sebelum ini, kita tidak dapat melaksanakan prinsip Islam. Saya seorang ulama. Saya juga rakyat Libya. Saya mempunyai hak dalam isu-isu politik.
''Islam bukan sahaja mengenai hukuman, potong tangan dan kepala dengan pedang,'' katanya yang tidak mempunyai peranan rasmi tetapi berpengaruh ekoran hubungan rapatnya dengan kerajaan Qatar yang menyokong kuat Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya, semalam.
Sebilangan rakyat Libya mengesyaki Ali menyokong pelaksanaan undang-undang Syariah.
Sejak Tripoli berjaya dirampas oleh NTC pada 20 Ogos lalu, Ali yang dipenjarakan oleh Gaddafi pada 1980-an kerana aktiviti menentang kerajaan, muncul sebagai jurucakap utama kumpulan Islam yang tidak gembira dengan cubaan beberapa pemimpin NTC untuk menghalang kumpulan itu daripada menyertai politik.
Sementara itu, tiga lelaki yang dipenjarakan selama tujuh tahun selepas gagal membunuh Gaddafi gembira bekas pemimpin Libya itu digulingkan.
Abdullah Ahmed al-Shaari, 72, Nasser Abdul Salam al-Tarshani, 46, dan Jamal Saed, 48, merupakan antara 44 lelaki dari timur Libya ditangkap dan dipenjarakan kerana merancang pembunuhan Gaddafi semasa pemimpin itu merasmikan pembukaan pasar raya pada 1981.
''Kami gagal dalam cubaan membunuh Gaddafi tetapi kini gembira dia sudah tiada,'' kata Abdullah yang merupakan seorang eksekutif syarikat minyak sebelum ditahan.
Abdullah yang ditahan bersama beberapa ahli keluarganya termasuk adiknya, Fathi yang dikenakan hukuman mati kerana mendalangi rancangan bunuh itu, berkata, dia bersama mereka yang ditahan diseksa dan dipukul.
'' Mereka memukul belakang dan kaki saya menggunakan wayar elektrik dan kayu selama 15 hari. Saya juga digantung dengan kepala ke bawah,'' ujarnya. - Reuters/AFP

Polis tembak penunjuk perasaan




Polis Indonesia melepaskan tembakan ke udara semasa menghalang kemaraan penunjuk perasaan yang terdiri daripada pekerja lombong Freeport-McMoRan Copper & Gold Inc's Grasberg di Timika, Papua, semalam. - REUTERS


TIMIKA, Indonesia 10 Okt. - Polis menembak mati seorang penunjuk perasaan dalam pertempuran dengan lebih 1,000 pekerja lombong Freeport McMoran yang melancarkan mogok di wilayah Papua, hari ini.
Pegawai syarikat di lombong milik Amerika Syarikat itu, Virgo Solossa berkata, seorang penunjuk perasaan mati akibat tembakan yang dilepaskan oleh polis.
Sekurang-kurangnya enam anggota polis turut cedera dalam keganasan di kompleks Grasberg yang merupakan antara lombong emas dan tembaga terbesar di dunia itu, menurut jurucakap polis Papua, Wachyono.
Pertempuran berlaku apabila polis cuba menghalang lebih 1,000 pekerja yang mengadakan mogok sejak 15 September lalu daripada memasuki kompleks lombong tersebut.
"Setakat ini, enam anggota polis turut cedera akibat terkena batu yang dilempar kumpulan pekerja itu dan mereka telah dibawa ke hospital.
"Polis pada mulanya melepaskan tembakan amaran ke udara selepas dibaling dengan batu, tetapi tidak diendahkan," kata Wachyono.
Pekerja lombong yang kebanyakan penduduk pribumi mengadakan mogok bagi menuntut kenaikan gaji. - AFP

Kristian Mesir dan polis bertempur




KENDERAAN perisai polis dan orang awam musnah dibakar oleh penganut Kristian Mesir yang mengadakan tunjuk perasaan di Kaherah, kelmarin. - AFP


KAHERAH 10 Okt. - Penganut Kristian dan polis tentera Mesir bertempur di sini semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh.
Penganut Kristian yang membantah mengenai serangan ke atas sebuah gereja dilaporkan membakar kenderaan, kereta perisai dan membaling batu ke arah polis yang didakwa bertindak keras.
Kabinet hari ini mengadakan mesyuarat tergempar berikutan insiden itu dan berikrar bahawa keganasan itu tidak akan menjejaskan pilihan raya pertama Mesir selepas presiden Hosni Mubarak digulingkan.
Insiden ini berlaku menjelang pilihan raya Parlimen di negara ini yang dijadual diadakan pada 28 November ini dengan calon akan mula mendaftar pada Rabu ini.
Pertempuran itu meningkatkan lagi kekecewaan aktivis terhadap tentera yang disifatkan oleh kebanyakan rakyat mahu terus berkuasa di belakang tabir, walaupun selepas menyerahkan tampuk kepimpinan Mesir, sesuatu yang dinafikan oleh pihak tentera.
Kementerian Kesihatan berkata, angka kematian ialah 24 orang, manakala 213 lagi cedera, tetapi identiti mangsa tidak didedahkan.
Agensi berita MENA melaporkan, Perdana Menteri Essam Sharaf turut mengadakan lawatan ke tempat kejadian yang terletak berhampiran bangunan televisyen kerajaan.
Penganut Kristian mengadakan protes bagi membantah serangan ke atas sebuah gereja di wilayah Aswan minggu lalu yang didakwa mereka dilakukan oleh radikal Islam.
Mereka turut menuntut pemecatan gabenor wilayah itu kerana gagal melindungi bangunan tersebut, tetapi aktivis kedua-dua agama menyatakan keganasan yang berlaku semalam disebabkan tindakan keras pihak tentera. - REUTERS

Monday, October 10, 2011

Presiden Saleh rancang berundur


JANJI LEPASKAN JAWATAN: Encik Saleh berucap menerusi televisyen mengumumkan hasrat mahu melepaskan jawatan presiden dalam beberapa hari lagi. -- Foto AFP

SANAA: Presiden Ali Abdullah Saleh, berkata beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh terdekat susulan bantahan rakyat Yaman ke atas kepimpinannya yang berlarutan selama sembilan bulan.
Namun, Encik Saleh, yang memerintah selama 33 tahun, berkata beliau tidak akan menyerahkan kuasa kepada pembangkang.'Saya tidak mahu lagi berkuasa dan akan melepaskan jawatan presiden dalam beberapa hari lagi.'Saya menyeru semua penyokong saya agar berdiri teguh dan sedia menghadapi pelbagai cabaran akan datang,' katanya ketika berucap menerusi siaran televisyen.Encik Saleh, 69 tahun, berkata mustahil menyerahkan kuasa kepada pembangkang yang hanya akan memusnahkan lagi Yaman.Katanya, terdapat pemimpin yang ikhlas di Yaman untuk memegang tampuk kuasa, sama ada anggota tentera atau orang awam.Bantahan terhadap Encik Saleh melumpuhkan Yaman dan melemahkan kawalan pemerintah.Beliau tiga kali menarik diri daripada perjanjian peralihan kuasa, yang diusahakan oleh negara-negara perantara Teluk.Pembangkang berkata pemerintah terus menangguhkan perundingan selepas beliau kembali dari Arab Saudi setelah menjalani rawatan ekoran satu usaha membunuhnya Jun lalu.Justeru, kenyataan terbaru Encik Saleh itu dicurigai oleh para penentangnya.Pemenang terbaru Hadiah Nobel Keamanan, Cik Tawakkul Karman, aktivis wanita terkemuka di Yaman, berkata tawaran Encik Saleh itu tidak boleh dipercayai dan bantahan ke atas pemerintahannya akan diteruskan.'Kami tidak percaya lelaki ini dan jika beliau ingin berundur, baiklah, itu haknya. Beliau harus menyerahkan kuasa kepada rakyat... Kami tidak percaya beliau. Kami akan teruskan revolusi aman ini,' katanya.Jurucakap pakatan pembangkang, Encik Mohammed Al-Sabri, pula berkata:'Ini propaganda baru Encik Saleh sebelum isu Yaman dibincangkan di Majlis Keselamatan (minggu depan).' - Agensi.

NTC tawan universiti Sirte

SIRTE: Tentera kerajaan baru Libya semalam mengetatkan kepungan ke atas bandar kelahiran Muammar Gaddafi, Sirte, selain menguasai universitinya.
Pertempuran berlangsung sengit di sekitar universiti berkenaan, selain sekitar pusat persidangan Ouagadougou sejak tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) melancarkan “serangan terakhir” ke bandar pesisir pantai itu.

Komander NTC, Nasser Zamud, berkata pihaknya menguasai universiti berkenaan dan “membebaskan kawasan itu daripada anjing Gaddafi.” “Pertempuran di sini sukar kerana banyak penembak curi,” katanya.

Pada pagi semalam, tentera NTC akhirnya berjaya masuk ke kawasan universiti dan kampus barunya yang menjadi tempat penembak curi Gaddafi berlindung.

Kemampuan pejuang Gaddafi melawan NTC di Sirte dan satu lagi kubu kuat mereka, Bani Walid, mengejutkan kerajaan baru Libya.

Malah, ketua NTC, Mustafa Abdel Jalil, mengakui tentangan dihadapi tentera rejim baru itu sangat sengit.


“Pejuang kami masih berdepan dengan penembak curi yang berlindung di posisi tinggi,” katanya.

Sementara itu, pegawai perubatan berkata, enam tentera NTC terbunuh dan 99 cedera kelmarin, menjadikan jumlah korban mencecah 23 orang, manakala hampir 330 lagi cedera sejak mereka melancarkan “serangan terakhir” berkenaan.

Ribuan orang awam masih terperangkap di Sirte ketika komander NTC menyatakan kemaraan untuk memindahkan sebahagian daripada mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. - AFP

60,000 pelajar kita ketagih FB



Oleh Norakmah Mat Youb
norakmahbharian.com.my
2011/10/10

Remaja habiskan masa 4 jam sehari layari internet, kerap menipu, antisosial

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB).
Ketagihan terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi.
Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial. Mohd Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia
Selain itu, golongan itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan online.

“Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan FB. 
“Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui internet sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama manusia,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan golongan ketagih laman web itu seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantunya bersosial.

Katanya, terdapat juga kes sesetengah golongan muda yang lebih rela berhenti kerja daripada mengurangkan masa mereka dengan melayari laman sosial itu sekiranya diberi pilihan.

“Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial,” katanya.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata ketagihan melayari laman sosial boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang melampau.

Beliau berkata, ia turut mengganggu jam biologi pelajar sehingga menyebabkan hormon terganggu, sistem ketahanan badan kurang selain memberi kesan kepada mental.

“Apabila masa yang sepatutnya untuk rehat digunakan melayari internet, ia menyebabkan pelajar itu letih fizikal dan mental sekali gus tumpuan belajar berkurangan,” katanya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata tumpuan terlalu lama terhadap internet akan menyebabkan pelajar lebih suka menyendiri.

Beliau berkata, mereka juga bersifat individualistik selain mudah terdorong untuk melayari laman lucah kerana bahan itu mudah didapati dan boleh dimuat turun dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

Virus serang Predator, Reaper





2011/10/10

Sistem pesawat kawalan jauh AS hadapi masalah, gagal usir penceroboh 

WASHINGTON: Virus komputer menyerang pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat, Predator dan Reaper yang digunakan tentera negara itu untuk menyasarkan militan dengan mengganggu sistem juruterbang ketika di berada udara, lapor majalah komputer, Wired.
Virus itu kali pertama dikesan dua minggu lalu oleh Sistem Keselamatan Berdasarkan Hos tentera tetapi belum lagi menyebabkan mana-mana misi penerbangan yang dikawal dari Pangkalan Tentera Udara Creech, Nevada. daripada melakukan misi di Afghanistan dan kawasan zon perang lain.
Tiada maklumat sulit dipercayai hilang atau dihantar ke luar daripada rangkaian sistem komputer tetapi virus itu didapati berdaya tahan terhadap beberapa cubaan membuangnya. 

“Kami sentiasa membuangnya, tetapi ia tetap muncul semula. Kami fikir ia tidak berbahaya. Tetapi, kami masih belum boleh yakin sepenuhnya,” kata sumber yang arif dengan gangguan komputer kepada majalah berkenaan. 

Pakar rangkaian keselamatan tentera Amerika berkata, masih belum jelas sama ada virus itu dihantar secara sengaja dan bagaimana ia disebarkan tetapi mereka yakin ia menjangkiti mesin operasi sulit dan tidak sulit pangkalan udara Creech. 

Oleh sebab itu, data rahsia mungkin sudah bocor dan jatuh ke tangan pihak luar yang bukan anggota tentera. 
Tentera Amerika tidak menyembunyikan pesawat kawalan jauhnya apabila melancarkan operasi di Libya atau di medan perang Afghanistan, berbeza dengan misi rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) bertujuan membunuh militan al Qaeda di Pakistan, Yaman dan di tempat lain. – AFP 

Pertandingan dukung isteri




ROCCO ANDREOZZI mendukung Kim Wasko semasa dia berlari dalam Kejohanan Mendukung Isteri di Resort River Ski Sunday, Maine kelmarin.


RESORT RIVER SKI SUNDAY, Maine - Pasangan Rocco Andreozzi dan Kim Wasko menang dalam Kejohanan Mendukung Isteri di sini, Amerika Syarikat kelmarin.
Mereka menamatkan larian terakhir dengan masa 49.64 saat manakala tempat kedua dirangkul oleh David dan Lacey Castro dengan masa 52.39 saat.
Seramai 47 peserta menyertai pertandingan itu dengan pemenang akan bertanding dalam Kejohanan Mendukung Isteri Peringkat Dunia.
Antara acara yang perlu para peserta lakukan ialah berlari mendaki bukit dan merempuh halangan kawasan yang berlumpur semasa mendukung pasangan mereka.
Pemenang pertandingan menerima cek bernilai AS$620 (RM1,956). - Agensi

Monday, September 26, 2011

Pekerja swasta dakwa dipukul polis

JITRA – Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu lepas.
Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata, ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.
"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.
"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.
"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab.
“Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis,” kata mangsa.
Dia berkata dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya. – Bernama

Gempa bumi 5.6 magnitud gegar Laut Banda, Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 magnitud menggegarkan Laut Banda, Indonesia pada kira-kira jam 11.39 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi berkata, pusat gempa ialah pada 467 kilometer tenggara Makassar, Indonesia dan 1,345 kilometer Sarikei, Sarawak.
Gempa bumi itu tidak menyebabkan sebarang ancaman tsunami. - BERNAMA

Jepun temui beras dicemari radioaktif

TOKYO: Jepun menemui kes pertama beras dicemari bahan radioaktif melebihi paras ditetapkan dalam satu ujian awal tanaman sebelum dituai, lapor Kementerian Perladangan baru-baru ini.

Kementerian itu memberitahu, unsur radioaktif caesium 500 becquerels (Bq) sekilogram ditemui dalam satu sampel beras sebelum dituai di bandar Nihonmatsu di daerah Fukushima, 56 kilometer ke barat loji jana kuasa nuklear Fukushima.
Loji itu lumpuh akibat gempa dan tsunami 11 Mac lalu, mencetuskan bencana nuklear terburuk dunia sejak 25 tahun lalu.
Kementerian itu berkata, pihak berkuasa daerah Fukushima akan memperluas kawasan pemeriksaan hampir 10 kali ganda kepada sekitar 300 tempat.

Ia adalah kes pertama di Jepun mengenai beras mengandungi caesium melebihi 200 Bq sekilogram, tahap yang memerlukan ujian lanjut di kawasan beras yang dituai.
Satu Bq digambarkan sebagai aktiviti satu kuantiti bahan radioaktif iaitu pereputan satu nukleus sesaat. Agensi 

Perbicaraan Mubarak dituduh berat sebelah

KAHERAH: Sebuah mahkamah Mesir yang mengendalikan perbicaraan Bekas Presiden Hosni Mubarak memutuskan untuk menangguhkan sesi perbicaraan sehingga 30 Oktober selepas peguam secara rasmi meminta hakim digantikan selepas dituduh berat sebelah.

Peguam plaintif mewakili keluarga penunjuk perasaan yang terkorban ketika kebangkitan popular ke atas Mubarak awal tahun ini menuduh mahkamah tidak memberi mereka masa mencukupi menyoal Ketua Majlis Pemerintah Tentera Mesir, Hussain Tantawi, ketika memberi keterangan dalam satu sesi tertutup.
Sebuah lagi mahkamah dijangka menentukan permohonan peguam hari ini. Jika ia menerima permohonan itu, mahkamah akan melantik sepasukan hakim baru bagi menguruskan perbicaraan sejak mula. Perbicaraan bermula 3 Ogos lalu di tengah perhatian besar-besaran orang awam dan media.
Mubarak didakwa mengarahkan penunjuk perasaan dan rasuah dibunuh. Tantawi yang berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan di bawah Mubarak sehingga penyingkirannya dalam pemberontakan popular Februari tahun ini, pada awalnya memberi keterangan, dua minggu lalu.

Dia dan penyandang ketua Turus Tentera Mesir, Samy Anan, gagal muncul dalam apa yang digambarkan media rasmi sebagai alasan keselamatan berikutan serangan ganas ke atas kedutaan Israel di sini.

Tantawi dan Anan diminta memberi keterangan secara tertutup mengikut arahan mahkamah bagi melindungi keselamatan nasional.

Ketika kemuncak kemunculannya, Tantawi berkata beliau akan hadir di mahkamah bagi menegakkan kedaulatan undang-undang.
Mengikut peraturannya, tentera perlu hadir di hadapan mahkamah tentera saja, Tantawi dipetik oleh Agensi Berita Asia Barat sebagai berkata.

Tetapi, saya memutuskan untuk pergi ke mahkamah jenayah awam untuk memberi keterangan saya bagi menegakkan kedaulatan undang-undang yang sepatutnya satu ruang kukuh buat Mesir selepas 25 Januari, katanya, merujuk kepada hari ketika pemberontakan anti-Mubarak bermula.

Mubarak, Bekas Menteri Dalam Negeri Habib Al Adly dan enam anggota polis kanan didakwa dengan pembabitan dalam pembunuhan sekurang-kurangnya 846 penunjuk perasaan ketika pemberontakan.

Turut dibicarakan sama adalah dua anak lelaki Mubarak, Alaa dan Jamal, yang dituduh melakukan rasuah.

Bagaimanapun semua defendan mengaku tidak bersalah. Mahkamah itu, didirikan di sebuah Akademi Polis di pinggir ibu kota ini, mengarahkan satu sekatan media supaya tidak membocorkan maklumat keterangan yang diberi secara tertutup. Agensi 

Gaddafi, anak-anak didakwa rogol wanita

VALLETTA, Malta 25 Sept. - Seorang pakar psikologi mendakwa bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi dan anak-anak lelakinya telah melakukan jenayah rogol terhadap wanita ketika Libya dilanda konflik.
Pakar psikologi terbabit dari Benghazi, Seham Sergewa mendakwa terdapat bukti Gaddafi dan anak-anak lelakinya melakukan jenayah terebut.
Seham berkata, beliau akan meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Gaddafi dan anak-anak lelakinya berhubung dakwaannya itu.
Dakwanya, lima wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan Gaddafi telah bersetuju untuk memberi keterangan bahawa mereka telah dirogol oleh Gaddafi dan anak-anak lelakinya.
"Sebagai pihak kepada wanita-wanita ini dan rakyat Libya, saya gembira kerana ICC telah bersedia menerima saya," katanya.
Pada 27 Jun lalu, ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Gaddafi, anak lelaki sulungnya, Saif al-Islam dan bekas ketua perisikan tentera, Abdullah al-Senussi atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan.
"Anak lelaki Gaddafi yang mengetuai jenayah rogol bergilir-gilir itu," dakwanya merujuk kepada bukti yang menunjukkan beribu-ribu wanita telah dirogol sepanjang Libya berhadapan dengan konflik.
Sergewa mendakwa mangsa pada awalnya dirogol oleh Gaddafi sebelum diserahkan kepada anak-anak lelakinya dan kemudiannya kepada pegawai-pegawai berpangkat tinggi dan dibebaskan. - dpa

China perluas tentera laut


Keupayaan tentera laut China ditingkatkan lagi dengan pembelian kapal pengangkut pesawat jenis Varvag dari Ukraine. - AGENSI



SHANGHAI 25 Sept. - Tentera laut China memainkan peranan semakin penting dalam kempen negara ini untuk menjadi sebuah kuasa tentera dunia, dan ujian kapal pengangkut pesawat udaranya yang pertama baru-baru ini membuktikan cita-cita besar tentera laut Beijing.
China semakin menonjolkan kekuatan tenteranya di laut lepas dan pelayaran sulung kapal pengangkut itu pada bulan lalu mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, yang menyifatkan langkah itu bakal membawa 'kesan besar' di rantau ini.
Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China yang merupakan angkatan bersenjata terbesar di dunia sebahagian besarnya adalah tentera darat.
Namun, tentera laut memainkan peranan semakin besar ketika Beijing mengambil pendirian lebih tegas dalam membuat tuntutan ke atas wilayahnya, terutama di Laut China Timur dan Laut China Selatan.
Sekumpulan wartawan dibawa melawat kapal frigat peluru berpandu Anqing di pangkalan Armada Timur di Ningbo, ke selatan Shanghai baru-baru ini.
"Selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China perlu memikul tanggungjawab lebih besar dalam hal-ehwal dunia," kata ketua staf pangkalan tentera laut di Ningbo, Kapten Wei Hua kepada wartawan.
"Kami mempunyai garisan tepi laut sepanjang kira-kira 18,000 kilometer dan kawasan maritim melebihi tiga juta kilometer persegi.
"Kerana itu sangat penting untuk membina sebuah tentera laut yang kuat bagi melindungi negara ini dan kepentingannya," ujar beliau.
Taiwan tetap menjadi faktor utama dalam strategi pertahanan Beijing tetapi pulau itu bukan satu-satunya tumpuannya.
Beijing menuntut sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang turut dituntut oleh jiran-jirannya yang lebih kecil, selain perlu memastikan keselamatan saluran bekalan dan sumber baru bahan mentah bagi menggerakkan ekonominya yang berkembang pesat.
"Beijing mahu membawa Laut China Selatan yang dianggapnya sebagai sebahagian wilayahnya ke dalam lingkungan pengaruhnya," kata seorang pakar pertahanan antarabangsa. - AFP

Kelantan tetap laksana hukum hudud


Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tapak pameran sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.



KOTA BHARU 25 Sept. - Walaupun pelaksanaan hukum hudud ditentang keras oleh DAP, namun ia ternyata tidak dipedulikan oleh Pas.
Ia terbukti apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, negeri itu kini dalam usaha memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya.
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, langkah itu bagi membolehkan hakim-hakim menggunakan akta tersebut dalam perbicaraan sesuatu kes sekiranya wujud prima facie.
“Usaha kami sekarang ini ialah nak memasukkan hudud dalam senarai hukum mahkamah syariah di Kelantan.
“Kami hanya nak memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum supaya mahkamah-mahkamah boleh menggunakan akta ini, bila kes berlaku di mahkamah, hakim akan menentukan ada prima facie ke tak ada, kalau ada prima facie ada peguam bela peguam cara tak ada apa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi.
Langkah kerajaan Kelantan itu dijangka menghangatkan lagi ‘pertelingkahan’ dengan DAP yang melalui Pengerusinya, Karpal Singah menentang pelaksanaan hukum hudud.
Walaupun Karpal semalam menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ‘orang tua yang mahukan perhatian’, namun ketika meminta mengulas kenyataan berkenaan Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan beliau ‘menghormati pandangan Karpal sebagai orang tua yang telah lama berkecimpung dalam perundangan dan tidak timbul sebarang perbalahan’.
Bagaimanapun jelas Nik Abdul Aziz, tidak sepatutnya timbul salah faham di kalangan parti pembangkang mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud.
Mengulas lanjut kenyataan Karpal itu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak berasa apa-apa walaupun Pengerusi DAP tersebut turut menyentuh soal peribadinya.
Beliau sebaliknya menjelaskan, adalah lebih baik negara ini menerima hukum hudud berbanding melaksanakan hukuman mandatori gantung sampai mati bagi kesalahan seperti dadah dan senjata api.
Ini kerana kata beliau ia menyebabkan keluarga individu terbabit merana disebabkan tiada tempat hendak bergantung hidup.
“Hudud ini tak mati orang, bila kena hudud tak mati manusia, kenapa dia sibuk sangat, sibuk kerana macam saya kata tadilah, orang takut ke hudud macam takut ke hantu,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat pakatan pembangkang dijadual Rabu ini, Nik Abdul Aziz memberitahu, beliau kini dalam keadaan tidak sihat dan tidak tahu sama ada akan hadir atau sebaliknya.

Tentera kerajaan baru Libya mara ke Sirte

SIRTE 26 Sept. - Beratus-ratus tentera kerajaan baru Libya memasuki kampung halaman Muammar Gaddafi, Sirte dari arah timur, semalam, manakala bahagian selatan barat bandar itu masih dikuasai tentera yang setia pada bekas pemimpin Libya itu.
Sambil menunjukkan simbol kemenangan, tentera tersebut mara ke dalam Sirte dengan menaiki trak dan lori besar serta disokong dengan tiga kereta kebal.
Empat ambulans turut dilihat keluar dari arah timur dan dilaporkan membawa tentera yang cedera atau terkorban akibat pertempuran di bandar itu. - AFP

Mayat 1,700 banduan Libya ditemui dalam kubur besar

TRIPOLI 26 Sept. - Kerajaan baru Libya semalam menemui baki 1,700 banduan yang dihukum pada 1996 di penjara Abu Salim, di sini, dalam satu kubur besar di ibu negara ini.
Jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan, Khalid Sharif berkata, mereka menemui kubur tersebut yang mana kesemua banduan ditanam di dalamnya, sekali gus membuktikan Gaddafi melakukan jenayah kejam.
"Kami meminta organisasi luar dan persatuan antarabangsa untuk membantu kami dalam usaha mengenal pasti kesemua mayat yang ditemui ini," katanya. - AFP

9 maut, 100 cedera dalam empat letupan di Iraq

KARBALA 26 Sept. - Beberapa letupan bom di sebuah pejabat pasport dan kad pengenalan di sini semalam, menyebabkan sembilan orang terbunuh manakala 100 yang lain cedera dalam keganasan terbaru di Iraq.
Leftenan Jeneral, Othman al-Ghanimi berkata, serangan bom itu termasuk dua serangan tepi jalan, sebuah bom kereta dan penyerang berani mati, namun tidak mengulas lanjut kejadian tersebut.
Seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian melaporkan beberapa mayat yang berlumuran darah di bawa oleh pasukan perubatan ke hospital berhampiran, dan banyak bangunan dan kenderaan. - AFP

Satelit disah jatuh di Lautan Pasifik, timur Afrika

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari mengesahkan satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah jatuh di dua laluan utama yang dikenalpasti.
Koordinator Observatori Negara Langkawi (ONL), Mhd. Fairos Assillam berkata, dua laluan tersebut ialah di Lautan Pasifik dan timur Afrika.
"Satelit yang pecah kepada 26 bahagian itu dipercayai telah terbakar dan bertaburan di dua kawasan tersebut semalam, tetapi waktu sebenar belum dapat dipastikan.
"Kita cuma boleh mengesahkan waktu satelit tersebut memasuki atmosfera bumi iaitu di antara jam 11.23 pagi dan 1.09 tengah hari (waktu Malaysia) semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, setakat hari ini belum ada mana-mana laporan serpihan satelit itu dijumpai atau mengorbankan orang awam dan mengalami kerosakan harta benda.
Pada 21 September, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan NASA mengesan Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) seberat enam tan yang berisiko untuk jatuh ke bumi dan diramalkan jatuh pada hari Jumaat lalu.
Tambah Mhd. Fairos, Malaysia antara negara yang terselamat daripada terkena serpihan itu kerana negara berada di laluan selamat.
Mengulas tentang orang ramai diingatkan tidak mengambil dan menyentuh objek pelik berhubung serpihan satelit, beliau memberitahu, serpihan tersebut dikhuatiri sangat panas disebabkan terbakar.
Selain itu, katanya, menurut Standard Operating Procedur, serpihan satelit itu mungkin mempunyai radiasi yang tidak dikenalpasti memandangkan sudah lebih 15 tahun di angkasa lepas.

Murid tahun 4 ketua penyamun

BETONG: Seorang murid tahun empat dipercayai menjadi ketua satu geng pecah rumah dianggotai enam remaja yang memecah masuk rumah sepasang suami isteri dan melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM5,000.
Budak lelaki itu dan lima rakannya yang berusia antara 12 hingga 14 tahun melakukan kegiatan itu di rumah mangsa di kompleks kediaman kakitangan kerajaan di sini, 17 Oktober lalu, sebelum mereka ditahan polis pada Jumaat dan kelmarin.

Pemilik rumah berkenaan yang berusia 34 tahun membuat laporan polis sebaik menyedari kejadian itu selepas dia dan isterinya pulang bercuti dari Kanowit, kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu.

Polis menahan seorang anggota kumpulan terbabit berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam selepas mangsa membuat laporan sebelum lima yang lain ditahan bersama pelbagai barangan kemas keesokannya.

Sumber polis berkata, semua suspek kejadian pecah rumah itu mudah diselesaikan apabila mereka dikesan memakai minyak wangi yang mempunyai bau sama dipercayai yang dicuri dari rumah mangsa. “Kumpulan penyamun cilik itu dipercayai sempat ‘berkelah’ di rumah pasangan terbabit sambil menjamu selera bijirin dan coklat sebelum mencuri pelbagai barangan kemas dan barang berharga,” katanya.

Menurutnya, sebaik mangsa pulang dari bercuti, mereka terkejut apabila mendapati dapur rumah berselerak dengan bijirin serta coklat sebelum melakukan pemeriksaan.


“Pasangan terbabit kemudian memeriksa bahagian atas dan mendapati laci almari terbuka, manakala barang kemas serta barangan berharga lain hilang sebelum mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 7.30 malam.

“Susulan laporan itu, polis menggerakkan operasi bagi memburu anggota kumpulan terbabit dan berjaya menahan seorang suspek berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam kemudian dan lima lagi rakannya pada keesokan hari,” katanya.

Sumber itu berkata, berikutan penahanan itu, polis menemui semula barangan berharga seperti rantai, gelang, cincin dan subang dicuri suspek.

“Kita turut mendapat maklumat mengenai gerak-geri kumpulan terbabit melalui penduduk yang kebetulan terserempak kelibat mereka di sekitar rumah berkenaan pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ibu bapa remaja terbabit sudah dimaklumkan mengenai penahanan anak mereka.