Pages

Friday, September 27, 2013

Keluarga di Brazil bela tujuh ekor harimau



SEEKOR harimau bergurau dengan Borges di meja makan ketika ahli keluarganya menjamu selera bersama.


MARINGA - Sebuah keluarga di Brazil memelihara tujuh ekor harimau di rumah mereka sebagai haiwan peliharaan sejak lapan tahun lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada mereka.
Pemilik haiwan itu, Ary Borges berkata, dia telah menyelamatkan dua ekor harimau dewasa bersama beberapa ekor anak harimau daripada sebuah sarkas.
Borges, 43, kemudian membina sebuah kandang di belakang rumahnya untuk memelihara dan membiak mamalia tersebut.
Ahli-ahli keluarga Borges makan dan berenang bersama harimau-harimau itu. Malah, dia turut membenarkan anak-anaknya menunggang binatang buas berkenaan.
"Saya tidak pernah risau apabila anak-anak saya bermain dengan harimau-harimau itu," kata Borges.
"Anda perlu tunjukkan rasa hormat dan kasih pada haiwan ini. Dengan cara itu, kita akan disayanginya," tambahnya.
Borges dan tiga anak perempuannya Nayara, 20, Uyara, 23, dan Deusanira, 24, kerap membawa harimau-harimau tersebut bersiar-siar.
Lelaki berkenaan juga memberi makan dengan menyuap daging ke mulut haiwan liar berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2g210DCvm 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, September 26, 2013

327 mangsa gempa


Aaran (Pakistan): Petugas penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa gempa bumi yang meragut 327 nyawa dalam kejadian gempa bumi yang melanda barat daya negara itu, semalam.

Bencana itu turut meruntuhkan ribuan rumah dan membentuk sebuah pulau baru di pesisir pantai.


Gempa bumi 7.7 magnitud itu berlaku di daerah Awaran di Wilayah Baluchistan.

Pegawai berkata, 327 orang disahkan mati setakat ini, 208 di daerah Awaran.


Jumlah itu dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat menghampiri lebih banyak kampung di kawasan pedalaman.


“Sejumlah enam daerah iaitu Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar dan lebih 300,000 penduduk terjejas akibat gempa bumi itu,” kata jurucakap Kerajaan Baluchistan Jan Muhammad Buledi.

Ketua agensi pengurusan bencana wilayah, Abdul Latif Kakar berkata, 30 mangsa disahkan terbunuh di daerah Kech.


Buledi berkata, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mayat tetapi memberi keutamaan kepada mangsa cedera untuk dibawa ke hospital segera walaupun tugas yang sukar kerana kawasan terpencil dan tiada kemudahan.

“Kami tiada kemudahan perubatan dan tidak ada ruang untuk merawat mangsa yang cedera di hospital di sini.


“Kami berusaha menghantar mangsa yang cedera parah ke hospital Karachi dengan menaiki helikopter dan pesakit lain ke daerah berdekatan,” katanya.


Pihak berkuasa Hospital Karachi Aga Khan berkata pihaknya sudah bersedia menerima pesakit, tetapi tiada seorang pun tiba setakat ini.


Tentera menghantar 100 kakitangan perubatan dan 1,000 anggota lain ke kawasan terbabit dan membina sebuah pusat perubatan di Tarteej, kawasan paling teruk dilanda bencana itu.


Pasukan tentera laut pula menghantar sebuah kapal membawa bekalan ke pelabuhan Gwadar dan pesawat untuk membawa mangsa cedera ke Karachi dan Ormara.


Seorang pegawai kanan di Awaran, Abdul Rasheed Baluch berkata, pasukan petugas berusaha mencari mayat dan mangsa yang terkambus dalam lumpur.


“Kira-kira 90 peratus rumah di daerah berkenaan musnah. Hampir semua rumah yang dibina daripada lumpur di situ runtuh,” katanya, semalam. Gempa yang berlaku lewat malam kelmarin turut dirasakan sejauh New Delhi dan Dubai.


Penduduk bandar Ahmedabad di India yang bersempadan dengan Pakistan turut merasa gegaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

Hidung baru atas dahi

Foto
DOKTOR memeriksa hidung asal Xiaolian yang mengalami jangkitan.
Foto
HIDUNG baru Xiaolian.

Beijing: Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Xiaolian mempunyai hidung baru yang tumbuh di dahinya.

Xiaolian, 22, menjalani rawatan bagi menggantikan hidung asalnya yang cacat selepas dijangkiti virus di sebuah hospital di Fuzhou, wilayah Fujian.


Xiaolian, mengalami kecacatan di bahagian hidungnya akibat kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu dan doktor yang merawatnya gagal memulihkan hidungnya.

Ekoran nahas yang dialaminya, hidung Xiaolian mengalami jangkitan dan tulang hidungnya terjejas.


Doktor tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa menjalankan prosedur yang membolehkan hidung barunya tumbuh di dahi bagi menggantikan hidung asalnya.


Hidung itu direka dengan menanam tisu kulit ke dahi Xiaolian.


Ia dipotong mengikut bentuk hidung dan disokong oleh tulang rawan yang diambil daripada rusuk Xiaolian.


Pakar bedah berkata, hidung baru itu tumbuh dengan baik dan pembedahan transplan akan dijalankan dengan secepat mungkin. - Agensi

Berlian merah jambu sebesar biji plum akan dilelong



SEORANG model menunjukkan berlian seberat 59.6 karat di Geneva, Switzerland semalam.- afp


GENEVA - Sebutir berlian merah jambu seberat 59.60 karat yang dikenali sebagai Pink Star akan dilelong oleh firma Sotheby pada November depan pada harga tawaran AS$60 juta (RM196.8 juta).
Harga tersebut adalah yang paling mahal untuk sebutir batu permata.
"Sebutir berlian merah jambu seberat 5 karat adalah sukar untuk ditemui, bayangkan permata ini mempunyai berat 59.60 karat," kata pengerusi divisyen barang kemas Sotheby's, David Bennett.
Menurutnya, batu berlian itu dilombong oleh firma De Beers di Afrika pada 1999 tanpa mendedahkan nama negara berkenaan.
"Berlian merah jambu yang sebesar buah plum kering itu dahulunya seberat 132.5 karat sebelum dicanai," ujar Bennet. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2fwGWnqC2 
Hakcipta terpelihara 

Kediaman di pulau dijual RM12.8 juta



KEDIAMAN tujuh bilik di Pulau Belden, dalam negeri Connecticut, Amerika Syarikat yang berusia lebih 100 tahun.- Agensi


HARTFORD, Connecticut - Sebuah pulau persendirian bersama kediaman di perairan negeri Connecticut akan dijual dan bakal menjadi milik anda pada harga AS$4 juta (RM12.8 juta), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Selain itu, pembeli juga berpeluang untuk menemui sebuah peti harta karun berisi emas yang tertanam di pulau berkenaan menurut legenda tempatan.
Pulau Belden itu dilengkapi tujuh bilik yang dibina pada tahun 1912 dan masih berada dalam keadaan baik.
Premis berusia lebih 100 tahun ini mempunyai reka bentuk kolonial British di samping pemandangan laut yang indah.
Pemiliknya, Cristine Svenningsen membayar sebanyak AS$2.66 juta (RM8.5 juta) untuk Pulau Belden pada tahun 2006.
Sementara itu, mereka yang mahu membeli Pulau Belden perlu maklum bahawa pengangkutan pergi dan balik dari lokasi tersebut tidak disediakan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2fwEz1Cqd 
Hakcipta terpelihara 

Bekas lelaki paling gemuk ada kekasih



PAUL MASON memegang sekeping gambar kekasihnya, Rebecca Mountain di London kelmarin.- Agensi


LONDON - Bekas lelaki paling gemuk di dunia, Paul Mason yang berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 292 kilogram (kg) kini telah mempunyai seorang teman wanita, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Lelaki yang pernah memiliki berat badan 444 kg itu berkata, dia menemui wanita berkenaan, Rebecca Mountain selepas hilang separuh berat badannya.
"Saya jauh hati pada Rebecca selepas wanita berkenaan menghubungi saya di laman sosial Facebook," kata lelaki berusia 52 tahun itu.
Menurut Mason, wanita itu berminat untuk berkenalan dengannya selepas melihat dia muncul di kaca televisyen.
Rebecca, 40, tinggal di Amerika Syarikat yang terletak pada jarak 5,632 kilometer dari sini.
"Jarak yang jauh menyebabkan kami belum lagi bertentang mata," kata Mason yang kini mempunyai berat badan 152 kg.
"Namun, saya kini dilamun cinta, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini pada saya," tambahnya.
Menurut lelaki berkenaan, dia berharap dapat menemui Rebecca suatu hari nanti.
"Personaliti, semangat dan kesungguhannya serta senyumannya membuat saya jatuh cinta," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2fwEekL90 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi di Pakistan lahirkan pulau kecil


SEBUAH rumah yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan bandar Awaran dalam wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan kelmarin.- REUTERS


QUETTA - Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Pakistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 327 orang semalam selepas beratus-ratus buah rumah runtuh menimpa penghuninya di kawasan pedalaman dekat sempadan Iran, kata beberapa pegawai.
Gempa itu menggegarkan wilayah Baluchistan kelmarin dan turut dirasai di seluruh rantau Asia Selatan.
Bencana tersebut memusnahkan sejumlah kediaman dan menyebabkan daerah yang paling teruk terjejas, Awaran, terputus hubungan dengan dunia luar.
Gempa berkenaan amat kuat sehingga menyebabkan sebuah pulau kecil muncul di perairan Laut Arab.
"Kami mula menanam mangsa-mangsa yang meninggal dunia," kata Deputi Komisioner Awaran, Abdul Rasheed Gogazai semalam.
"Sebanyak 285 mayat telah ditemui di daerah Awaran setakat ini manakala 42 lagi dijumpai di daerah berdekatan, Kech," tambahnya.
Menurut Abdul Rasheed, lebih 373 orang turut cedera dalam bencana itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak tentera mengerahkan beberapa helikopter bersama beratu-ratus askar bagi membantu usaha menyelamat.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat memberitahu, gempa bumi itu berukuran 7.8 pada skala Richter.
Selepas gempa berlaku, penduduk di pesisir pantai dekat pelabuhan Gawdar berhimpun untuk melihat kemunculan pulau kecil tersebut.
Pulau batu dan pasir tersebut muncul selepas gempa bumi kuat itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2fwE02x7D 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, September 25, 2013

Cerita sedih pembuatan kopi luwak


Satu kajian mendapati, musang yang menghasilkan kopi luwak menjadi mangsa seksaan pengeluar kopi itu di Indonesia dan Filipina. - AGENSI
LONDON 24 Sept. - Kopi Luwak terkenal di seluruh dunia, dan turut mendapat publisiti dalam program Oprah Winfrey Show serta filem, The Bucket List, tetapi ada cerita sedih di belakang populariti kopi itu.
Tidak ramai mengetahui, musang yang menghasilkan kopi paling mahal di dunia itu menjadi mangsa seksaan pengeluar minuman tersebut.
Satu siasatan oleh penyiasat haiwan mendapati, musang berkenaan menerima layanan tidak sewajarnya seperti dikurung di dalam sangkar yang sempit, kotor, serta mengalami jangkitan kulit.
Menurut penyiasat, keadaan mengejutkan yang dialami musang-musang itu didedahkan selepas pemeriksaan dijalankan di ladang-ladang yang menghasilkan kopi luwak di sekitar Indonesia dan Filipina.
Rakaman video yang diambil oleh penyiasat juga menunjukkan, musang-musang terlibat turut mengalami penyakit berkaitan sistem saraf seperti berjalan laju setiap masa, berpusing-pusing dan mendongak kepala, petanda haiwan tersebut berada di bawah tekanan akibat kebosanan dan kemurungan.
Menurut pekerja ladang yang ditemui sepanjang siasatan, musang secara umumnya diletakkan di dalam sangkar selama tiga tahun.
Seorang lagi pekerja ladang mendedahkan, ada antara musang dipaksa makan biji kopi terlalu banyak, mengakibatkannya mengalami kekurangan vitamin dan masalah nutrisi.
Bagaimanapun, penyeksaan dialami musang-musang itu tidak pernah didedahkan sebelum ini, namun pemilik ladang biasanya mendakwa, mereka menghasilkan kopi luwak daripada musang yang hidup bebas di hutan.
Bekas pedagang kopi, Tony Wild yang juga penulis buku Coffee: A Dark History memberitahu BBC, harga kopi luwak boleh mencecah sehingga 60 pound (RM303) secawan, hanya kerana orang ramai percaya ia sukar dihasilkan.
Kopi luwak yang dihasilkan daripada najis musang yang makan biji kopi sebelum ia dibersihkan dan diproses, turut dijual di gedung membeli-belah terkemuka Harrods.
Dalam penyiasatan berasingan oleh BBC, produk kopi luwak terkenal, Wahana Luwak yang dijual di Harrods, dihasilkan oleh sebuah syarikat, Sari Makmur yang menggunakan musang yang dikurung di dalam sangkar.
Perkara itu pada mulanya dinafikan oleh Sari Makmur, namun pekerja mereka mendedahkan sebaliknya, sekali gus membuatkan syarikat itu akhirnya mengaku mereka berbuat demikian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130925/lu_10/Cerita-sedih-pembuatan-kopi-luwak#ixzz2g2El01Wg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tumpang pesawat ke 50 negeri

Foto
AMANDA bakal menamatkan misinya mengembara ke 50 negeri di Amerika Syarikat tidak lama lagi.
New York: Kisah Amanda Nolan mungkin kedengaran kurang wajar pada mulanya. Dia cuba untuk menumpang kereta orang untuk mengembara ke seluruh Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, sebaliknya Amanda membuat perjalanan ke 50 negeri di AS dengan menumpang pesawat peribadi orang lain. Amanda seorang penulis kembara memulakan perjalanannya Julai tahun lalu dan masih mempunyai lapan lagi negeri untuk dikunjungi sebelum menyelesaikan perjalanan yang luar biasa itu.

Dia menulis setiap perjalanannya dalam blok Jet Hiking dan laman sosial Facebooknya. Dalam wawancaranya bersama Daily Mail baru-baru ini, Amanda memberitahu sebagai penulis kembara, dia sudah ke serata dunia tetapi belum mengunjungi semua negeri di negaranya sendiri.
“Saya mahu merasai pengalaman di negara sendiri dengan cara yang unik dan mula memikirkan mengenai hal itu,” katanya.

Secara rasmi dia bakal mengunjungi semua 50 negeri sebaik saja menumpang untuk terbang ke Alaska, Hawaii, Utah, Kansas, Oklahoma, Missouri, Illinois dan Indiana. Kebanyakan negeri dalam senarai itu berjiran antara satu sama lain, jadi mungkin wajar untuknya menyelesaikan misi itu tidak lama lagi.

Namun, ternyata perjalanannya jauh lebih sukar daripada dibayangkan.

“Saya menghabiskan berjam-jam lamanya menghubungi orang ramai.

“Saya akan ke lapangan terbang dan memberitahu orang apa yang saya lakukan dan menunggu lama. Ada kala saya terpaksa menunggu selama berhari-hari sebelum dapat bertemu orang yang menuju ke destinasi yang sama,” katanya.
Malah, dia juga pernah kehabisan wang, melakukan kerja sambilan di beberapa 250 bandar yang dikunjunginya hingga dapat mengumpul wang untuk menyambung perjalanan seterusnya. - Agensi

Kemaluan kena potong

Foto
UBAT perangsang seks Viagra yang sering diambil kaum lelaki.
Bogota: Seorang lelaki dari selatan Colombia terpaksa membenarkan kemaluannya dipotong selepas dia didakwa menelan dos Viagra secara berlebihan bagi mengambil hati teman wanitanya.
Lelaki berusia 66 tahun dari Gigante itu memberitahu akhbar tempatan, dia dengan sengaja menelan ubat itu secara berlebihan. Dia kemudian dikatakan mengalami ereksi selama beberapa hari sebelum dipaksa mendapatkan nasihat doktor. Menurut laman berita Colombia Reports, ubat perangsang seksual itu menyebabkan lelaki yang didakwa peladang dan juga ahli politik itu mendapat tanda-tanda gangren.

Apabila dia mendapatkan bantuan perubatan, doktor di Gigante merujuknya ke pusat perubatan di Neiva dan petugas perubatan di sana menyatakan saraf di kemaluannya mengalami regangan.
Dia diberitahu satu-satunya pilihan yang ada ialah kemaluannya perlu dipotong agar regangan saraf itu tidak merebak ke bahagian lain tubuhnya. Seorang doktor memberitahu akhbar La Nacion: “Buah zakar dan kemaluan pesakit lebam dan dia kini masih dirawat.”

Ekoran kejadian itu, hospital di Neiva memberi amaran kepada lelaki terbabit agar tidak menggunakan ubat perangsang seks tanpa preskripsi doktor.

Sementara itu, awal minggu ini seorang lelaki Yaman mati selepas mengambil Viagra secara berlebihan ketika bersedia untuk tidur bersama isteri barunya pada hari pertama perkahwinan mereka.

Lelaki berusia 25 tahun itu menelan lima pil Viagra sekali gus hingga membunuhnya, lapor akhbar harian berbahasa Arab Okaz Al Youm. - Agensi

Monday, September 23, 2013

Fon telinga bersalut emas pertama di dunia

FON telinga bersalut emas ini berharga AS$14,000 (RM46,900).- Agensi


BERLIN - Sebuah fon telinga bersalut emas seberat 18 karat yang pertama seumpamanya di dunia telah diperkenalkan di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Fon telinga jenama Happy Plugs dari Sweden itu dipertontonkan pada pameran elektronik IFA di Berlin, Jerman Khamis lalu.
Fon telinga buatan tangan itu ditawarkan pada harga AS$14,000 (RM46,900). Ia menyamai harga sebuah kereta, dua buah jam Rolex atau sebentuk cincin berlian jenama barang kemas terkemuka, Tiffany & Co. di New York.
Gajet itu dihasilkan oleh sebuah syarikat emas, Goldsmith dekat wilayah Old Town, Stockholm.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Happy Plugs, Andreas Vural menjelaskan, "Kami hasilkan sebuah fon telinga bersalut emas 18 karat yang boleh dimiliki pada harga AS$14,000."
Kedua-dua belah fon telinga itu disalut emas termasuk pada wayarnya.
Happy Plugs turut mengeluarkan fon telinga berwarna metalik versi emas, perak dan pelbagai warna lain. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2fjGVeK00 
Hakcipta terpelihara 

Kereta berbentuk pesawat makhluk asing dilelong



ETV ini nampak lebih menarik dan mengagumkan di bahagian hadapan.- Agensi


TALLAHASSEE, Florida - Seorang lelaki, Michael Vetter melelong sebuah kereta yang memiliki bentuk luar biasa (ETV) miliknya di laman web lelong eBay pada harga AS$100,000 (RM315,337).
Kereta yang diubah suai secara ekstrem dan kelihatan seperti kenderaan makhluk asing itu menyebabkan sesiapa sahaja terpegun apabila melihatnya.
Tindakan Vetter menjual kereta yang dibelinya pada tahun 2012 di eBay itu menarik perhatian ramai peminat kereta.
"Anda melihat sebuah kereta yang ramai orang suka bergambar dengannya pada setiap hari, lebih banyak daripada mana-mana kereta Lamborghini atau Ferrari.
"Pemanduannya sangat lancar, padu dan boleh dipercayai. Berdasarkan rupa bentuknya, semakin laju dipandu, ia akan menjadi semakin senyap," katanya yang memasang enjin Chevy 2.2 liter dalam kereta berkenaan.
Tambahnya, ia juga kelihatan lebih menarik pada waktu malam.
"Saya telah memasang satu sistem lampu LED pada bahagian bawah kereta. Ia menghasilkan kesan cahaya yang menarik," kata Vetter. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2fj7MHD9W 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, September 21, 2013

Perkahwinan tragis

Perkahwinan tragisImpian Jingjing untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang istimewa direalisasikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

GUANGZHOU - CHINA. Rancangan He Jingjing dan pasangannya, Lu Lai dari Guangdong, tenggara China untuk mendirikan rumah tangga tetap direalisasikan keluarga kedua-dua belah pihak walaupun wanita itu koma sejak dua tahun lalu.

Jingjing turut dipakaikan gaun pengantin ketika upacara tersebut yang diadakan serentak dengan majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-28.

Bagaimanapun, suasana bertukar sedih ketika doktor mencabut alat bantuan hayat tidak lama selepas Jingjing bergelar isteri.

Menurut suaminya, mereka pernah mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang istimewa.

"Jingjing nekad bekerja tanpa henti untuk mengumpulkan wang walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Akhirnya, dia dimasukkan ke hospital selepas jatuh pengsan pada 2011.

"Kami tidak mampu berbuat apa-apa selepas doktor mengesahkan isteri saya koma kerana mengalami kerosakan kekal pada otak," jelasnya.

Sementara itu, menurut laporan dipetik dari DailyMail bapa pengantin perempuan, Fang Lu berkata, Jingjing adalah seorang anak yang istimewa dan berhati mulia.

"Dia pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi penderma organ bagi membantu insan lain meneruskan hidup mereka," katanya lagi.

Rumah mudah alih

Rumah mudah alihRumah Casa Transportable APH80 ini menggunakan konsep hiasan dalaman mewah.

MADRID - SEPANYOL. Jika dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti sebuah bangsal logam biasa.

Bagaimanapun, ia sebenarnya adalah sebuah rumah kecil mudah alih dilengkapi ruang tamu dan bilik tidur berkonsepkan hiasan dalaman mewah serta boleh didirikan dalam tempoh 24 jam.

Rumah digelar Casa Transportable APH80 berukuran tiga meter tinggi itu direka oleh sebuah syarikat seni bina di Sepanyol.

Ia dibina menggunakan bahan kitar semula dan hanya mengambil masa enam minggu untuk disiapkan.

Difahamkan, rumah kecil itu lebih selesa jika didiami tidak melebihi daripada dua orang dalam satu masa.

Menurut syarikat hiasan dalaman Batavia, walaupun bahagian luar rumah itu kelihatan suram, hiasan dalamannya tidak menghampakan kerana menggunakan papan berkualiti dan tidak menimbulkan alahan kepada pemiliknya, laporan dipetik dari DailyMail.

Cendawan rawat Aids

Cendawan rawat AidsRUSIA - Satu lagi penemuan baru bagi merawat penyakit Aids ditemui saintis Rusia menggunakan cendawan Chaga yang tumbuh di Serbia.

Menurut saintis dari Institut Vector di Novosibirsk, spesies cendawan tumbuh di pokok birch itu menunjukkan reaksi positif untuk digunakan dalam perubatan antiretroviral berbanding dua jenis cendawan lain yang turut digunakan dalam kajian sama.

"Terikan yang terdapat pada cendawan ini menunjukkan tahap toksik yang rendah dan kesan anti virus yang kuat, selain berkesan menghalang influenza, penyakit cacar dan HIV," katanya dalam satu kenyataan, dipetik dari Daily Mail.

Chaga atau nama saintifiknya Inonotus obliquus dianggap mengandungi asid betulinic yang mempunyai ciri antiretroviral dan anti radang serta telah digunakan oleh pengamal perubatan tradisional di Serbia sejak berabad.

Berbeza dengan spesies cendawan lain yang biasanya lembut, Chaga adalah keras seperti kayu dan ditemui di habitat sejuk seperti Rusia, Eropah Timur, Amerika Syarikat dan Kanada.

Sesetengah daripada mereka juga percaya, cendawan itu boleh merawat penyakit kanser.

Namun, masih tiada ujian klinikal yang mampu membuktikannya, menurut pakar Pusat Kanser Memorial Sloan-Kettering di New York.

Tanam kereta untuk guna lepas mati


Sao Paolo: Seorang usahawan kaya raya “Count Scarpa” menanam hartanya yang paling hebat iaitu sebuah kereta Bentley berharga £310,000 (RM1.5 juta) untuk memudahkan urusannya selepas dia mati kelak.

Dalam pengumuman di laman Facebooknya, lelaki berusia 62 tahun itu mengisytiharkan dia bercadang untuk meniru perbuatan Firaun dengan membawa bersama kekayaannya apabila mati kelak.

Esok (hari ini), dia akan menanam kereta Bentley Continental barunya bagi memastikan dia selesa dalam perjalanannya selepas mati.

Upacara itu dijadual berlangsung jam 11 pagi.

Foto
SCARPA di depan lubang yang digali untuk menanam Bentley kesayangannya.

Foto
BENTLEY baru bernilai RM1.5 juta menjadi harta berharga Scarpa.

Dalam foto di rangkaian sosialnya, Count Scarpa dilihat berdiri di sebelah kenderaan berwarna hitam itu, model terbaru di pasaran dengan seekor burung kakak tua di lengannya dan menulis: “Saya mengisytiharkan untuk meniru perbuatan Firaun; minggu ini saya akan menanam kereta kegemaran saya, Bentley ini di taman dekat rumah saya! Tanam harta berhampiran istana saya!”


Count Scarpa berkata, dia menggali kubur itu dekat taman di belakang rumah agamnya di Jardins, satu daripada kawasan kejiranan golongan mewah di Sao Paolo.

Pada Selasa, dalam satu lagi foto, dia yang memakai tali leher merah jambu dan memegang penyodok berdiri di depan lubang yang dalam dengan kereta Bentley berkilat miliknya diletakkan di belakangnya.

Dia menulis: “Kepada mereka yang meragui saya, semalam saya sudah mula menggali lubang di taman untuk menanam Bentley saya! Hujung minggu ini, saya akan menanamnya.”

Ahli perniagaan itu yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi dan juga jurulatih tali pinggang hitam serta pemilik Institut Aikido Maruyama, akademi seni pertahanan diri Jepun menjelaskan yang keputusannya untuk menanam harta bagi kemudahan selepas mati dibuat selepas menonton program Mesir purba minggu lalu.

“Saya menonton dokumentari mengenai Firaun yang sangat menarik. Mereka menanam semua harta untuk memperoleh kehidupan selesa selepas mati,” katanya.

Pada hari berikutannya, keputusan Count Scarpa untuk menanam kereta Bentley menerima lebih 5,680 like dan dikongsi lebih 6,000 orang. - AFP

Friday, September 20, 2013

Pekerja binaan jumpa ‘lintah gergasi’

Sungai Siput: Beberapa pekerja binaan yang sedang menggali longkang berhampiran kawasan perindustrian di Kampung Muhibbah, di sini, bertempiaran melarikan diri sejurus terserempak haiwan aneh seperti ‘lintah gergasi’, pagi semalam.
Haiwan bertubuh lembik seberat 25 kilogram dan panjang hampir dua meter itu menggerunkan penduduk berikutan turut mempunyai bentuk muka menyerupai anjing.

Pekerja yang enggan namanya disiarkan berkata, haiwan itu ditemui di dalam longkang yang digali mereka pada jam 10.15 pagi.
Menurutnya, dia yang terkejut dengan penemuan haiwan itu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sungai Siput untuk menangkap haiwan itu.

“Saya tidak pasti sama ada ia ular berikutan tubuhnya lembik seperti lintah. Malah, kulit haiwan itu agak kasar seperti kulit biawak.

“Ini kali pertama saya melihat haiwan pelik seumpama itu. Saya memang terkejut dan hairan bagaimana haiwan itu berada di dalam lubang yang digali,” katanya.
Foto
Sementara itu, Pegawai Angkatan dan Latihan Operasi JPAM Leftenan A Balasubramaniam berkata, tiga anggotanya dihantar ke lokasi kejadian untuk menangkap haiwan aneh itu.

Menurutnya, petugas JPAM turut terkejut berikutan tidak pernah berjumpa haiwan seumpama itu sebelum menangkap dan membawanya pulang ke pejabat JPAM, di sini.
“Kami sendiri pelik dengan haiwan itu berikutan ia tidak agresif sebaliknya mempunyai tubuh lembik dan menggerutu.

“Namun, akhirnya kami dimaklumkan ia sejenis ular air dipanggil ular guni buruk atau ular karung guni yang dikategorikan sebagai ular air tawar,” katanya.

Kafe kucing pertama dibuka di Perancis



Seorang pelanggan mengusap seekor kucing sambil menikmati minuman yang dihidangkan di kafe kucing di Paris, Perancis.- Agensi


PARIS - Sebuah kafe kucing pertama telah mula beroperasi di Perancis di sini pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kafe itu dipenuhi dengan sembilan ekor kucing yang bersedia menunggu untuk menghiburkan para pelanggan dengan kerenah masing-masing.
Kafe seumpama ini yang popular di Tokyo, memiliki berbelas-belas ekor kucing. Ia membenarkan para pelanggan yang tidak berpeluang untuk memiliki kucing di rumah menikmati secawan air panas dengan seekor kucing berdengkur sambil menggeselkan badan di lulut.
Margaux Gandelon merupakan wanita yang bertanggungjawab di sebalik pembukaan kafe itu di daerah Marais.
Menurutnya, kucing-kucing tersebut telah dipilih dengan teliti berdasarkan kemahiran sosial mereka.
Tegasnya lagi, kebersihan dan kebajikan kucing-kucing itu sentiasa menjadi keutamaannya.
"Kucing saya bebas bergerak sepanjang hari dan malam," katanya.
Seorang pelanggan, Cindy Engel yang berasal dari Strasbourg telah melawat kafe itu lebih awal daripada hari pelancarannya untuk melakukan pratonton.
Dia yang berusia 31 tahun dan sangat mengalu-alukan konsep kafe tersebut berkata, ia menggalakkan dirinya untuk berinteraksi dengan orang lain berbanding peralatan elektronik. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2fNkpH3Jv 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, September 19, 2013

Keluarga pembunuh


Moscow: Tanpa banyak yang kelihatan meragukan, sepasang suami isteri dan seorang anak mereka rupa-rupanya menjadi pembunuh dan perompajk bersiri sejak enam tahun lalu.

Dalam satu daripada jenayah yang dilakukan, Roman Podkopaev; isterinya, Inessa Tarverdiyeva dan anak perempuan mereka, Viktoria Tarverdiyeva mengikat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sebelum menembak mangsa. Mayat itu kemudian dilapah.

Penyiasat percaya 30 individu lain, termasuk termasuk kanak-kanak dan polis menjadi mangsa keluarga itu.

Media melaporkan, keluarga ganas terbabit menjalankan misi jenayah itu seolah-olah seperti mereka keluar untuk bekerja di pejabat.

Foto
INESSA Tarverdiyeva.
Foto
VIKTORIA Tarverdiyeva.

Foto
ROMAN Podkopaev.
Bagaimanapun, Podkopaev, 35, terbunuh ketika berbalas tembakan dengan polis minggu lalu, manakala Inesaa, 46, yang juga bekas jururawat cedera parah.


Podkopaev adalah seorang doktor gigi.

Keluarga berasal dari Stavropol di Russia itu aktif menjalankan kegiatan mereka di kejiranan Rostov untuk menyara hidup.

Namun, polis berkata, sebenarnya mereka sudah mempunyai kehidupan yang baik dan selesa.

Jurucakap polis berkata, keluarga itu biasanya memberitahu jiran tetangga kononnya pergi berkhemah sebelum menghilangkan diri untuk melakukan kegiatan jenayah.

Dalam satu serangan, mereka menembak mati askar payung terjun, Dmitry Chudakov; isteri mangsa, Irina dan anak lelaki pasangan itu yang berusia tujuh tahun.

Mereka kemudian menikam anak perempuan mangsa, Veronika sebanyak 37 kali. - Agensi

Spesies anak kacukan harimau-singa terbesar dunia kucing terbesar dunia


Liger yang diberi nama Hercules ini secara rasmi dinobatkan sebagai spesies kucing terbesar di dunia. - AGENSI
AMERIKA SYARIKAT 18 Sept. - Dengan memiliki berat badan 418 kilogram dan panjang tiga meter, membolehkan liger, sejenis haiwan kacukan antara baka singa dan harimau, secara rasmi dinobat sebagai spesies kucing terbesar di dunia.
Haiwan yang diberi nama Hercules, itu kini dijaga rapi di pusat pemeliharaan hidupan liar Myrtle Beach Safari di selatan Carolina.
Dengan ketinggian 1.2 meter, haiwan yang dilahirkan daripada penyatuan baka singa dan harimau itu telah disahkan sebagai spesies kucing terbesar oleh Guinness Book of World Records.
Liger sememangnya merupakan haiwan yang besar dan dalam sesetengah keadaan ia boleh membesar dua kali ganda daripada saiz ibu-bapanya.
Pengguna internet turut terpesona melihat haiwan gergasi ini.
Penonton YouTube, Jason Zane Smith berkata: ''Menakjubkan menakutkan, tetapi sangat menarik!, kucing itu boleh membunuh dengan hanya duduk di atas anda''.
Sementara itu, Marilee pula meluahkan perasaan terujanya dengan keajaiban haiwan tersebut dalam Twitternya.
''Liger mungkin merupakan haiwan kegemaran saya, dia mempertahankan dirinya dengan kemahiran yang semakin meningkat dalam seni sihir,'' katanya secara berjenaka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130919/lu_08/Spesies-anak-kacukan-harimau-singa-terbesar-dunia-kucing-terbesar-dunia#ixzz2fHvHYlxT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Koleksi kasut terbesar dunia dilelong di eBay



Agensi
SEBAHAGIAN besar kasut yang menjadi koleksi Jordy Geller adalah berjenama Nike.


LOS ANGELES - Seorang lelaki yang memiliki koleksi kasut sukan terbesar di dunia dan tersenarai dalam Guinness World Records telah melelong sebahagian besar koleksinya di laman web lelong eBay, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Jordy Geller, 36, merupakan seorang yang fanatik dengan kasut dikatakan telah melelong 2,500 pasang kasut yang dimilikinya sejak 14 tahun lalu, dengan nilai £1 juta (RM5.1 juta).
Geller berbuat demikian kerana ketagihan untuk memakai kasut yang dimilikinya itu semakin menipis sejak kebelakangan ini.
Justeru, Geller mengambil masa beberapa minggu untuk menyenaraikan hampir kesemua koleksi kasutnya di laman web lelong eBay dan ia telah menarik ramai pembeli dari seluruh dunia.
Pemuda itu berharap dapat memperoleh beberapa ribu pound wang apabila dia berjaya menjual kasut itu kelak.
"Nama hadapan saya ialah Jordan Michael. Oleh itu telah tertulis dalam bintang bahawa saya menyukai kasut. Saya suka kasut jenama Nike, saya sentiasa menyukainya.
"Cinta saya terhadap kasut datangnya daripada bapa. Dia suka menyertai marathon ketika saya masih kecil dan akan membawa saya ke kedai kasut, selain mengajar saya tentang kasut-kasut Nike," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2fHqlUvl7 
Hakcipta terpelihara 

Pereka grafik hasilkan Lamborghini guna kadbod



Lesko menghasilkan model kereta berprestasi tinggi itu menggunakan beratus-ratus kertas dan kadbod di Amerika Syarikat.


SEATTLE - Sekiranya anda tidak mampu untuk membeli sebuah kereta berkuasa tinggi Lamborghini sebenar, mungkin idea menghasilkan model kereta mewah itu daripada kadbod dan kertas sudah memadai buat masa sekarang.
Kereta antara paling mahal di dunia itu merupakan hasil kerja terbaharu seorang pereka grafik, Taras Lesko. Dia sebelum ini pernah menghasilkan sebuah model robot kartun siri popular Gundam Wing setinggi 213 sentimeter daripada kadbod.
Proses pembuatan kereta tersebut dirakamkan Lesko, sebelum dimuat naik ke laman perkongsian video YouTube.
Pereka muda dari Seattle itu menghasilkan komponen-komponen kereta Lamborghini Aventador menggunakan aplikasi perisian komputer seperti AfterEffects dan Adobe Photoshop.
Selepas mereka bentuk elemen kereta itu, dia kemudian mencetak dan memotong satu persatu bahagian kereta menggunakan pisau X-Acto.
Bagi mengelak model kereta seberat 11.3 kilogram tersebut daripada terjatuh, Lesko menggunakan bahagian asas yang kukuh dari papan cip.
Kereta mewah tiruan yang mengambil masa selama beberapa bulan untuk disiapkan itu mendapat pujian daripada penonton di laman YouTube dan mencatat jumlah tontonan yang tinggi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2fHqS6pmQ 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, September 18, 2013

Gunung Sinabung meletus kali kedua

Gunung Sinabung meletus kali keduaSeorang penduduk memegang erat anaknya ketika berpindah beramai-ramai dari sekitar gunung Sinabung yang meletus lagi. 5,956 penduduk berpindah minta kerajaan hantar bantuan

Tanah Karo: Gunung Sinabung meletus lagi awal semalam, dua hari selepas memaksa beribu-ribu penduduk dipindahkan apabila letusan pertama berlaku Ahad lalu.

Sinabung yang terletak di Sumatera Utara memuntahkan debu dan asap tebal sejauh lima kilometer ke udara tengah hari semalam, lapor agensi berita Antara.
Ini adalah letusan kedua sejak beberapa hari lalu dan hampir 6,000 orang sudah dipindah ke kawasan perlindungan sementara di sini.


Petugas pos pemantauan, Wendi berkata, gegaran meningkat kelmarin berbanding pada hari pertama letusan meskipun tidak memuntahkan lahar.

Gegaran 10 kali

Katanya, gegaran berlaku 10 kali mulai 12 tengah malam Ahad hingga 6 pagi Isnin lalu.

Seorang penduduk kampung Beras Tepu, Aktif Sembiring, berkata dia takut untuk pulang selepas berpindah Ahad lalu ke kawasan perlindungan.
“Kami tidak tahu berapa lama perlu tinggal di sini. Kami harap keadaan akan jadi lebih baik,” katanya.


Kira angka pelarian

Jurucakap Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dipetik Antara sebagai berkata, agensi berkenaan mengira angka pelarian di semua tempat perlindungan termasuk di dewan dan rumah ibadat.

Kebanyakan yang berpindah mempunyai kediaman dalam lingkungan tiga kilometer dari gunung itu dan meminta kerajaan Indonesia segera menghantar bantuan keperluan.

“Kami harap kerajaan akan menghantar selimut, susu dan makanan untuk bayi,” kata Nurliana beru Ginting, 42, dari kampung Sukandebi yang mempunyai tiga anak.
Ramai lagi yang perlukan bantuan ubat kerana ada yang batuk dan demam, katanya.
Ini kerana mereka terdedah kepada debu yang dimuntahkan Sinabung. - AGENSI

Bill Gates kekal individu terkaya di AS



GAMBAR bertarikh 23 Mac 2011 menunjukkan Bill Gates dan isterinya, Melinda melayan seorang kanak-kanak di Kampung Jamsot dekat Patna, India.- AP


NEW YORK - Pengasas syarikat teknologi Microsoft, Bill Gates kekal individu paling kaya di Amerika Syarikat (AS) dengan nilai kekayaannya mencecah AS$72 bilion (RM234 bilion).
Jumlah itu merupakan kenaikan sebanyak AS$6 bilion (RM19 bilion) berbanding tahun lalu. Gates mengungguli senarai terbaharu 400 individu paling kaya di Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan oleh majalah Forbes kelmarin.
Menurut Forbes, gabungan kekayaan golongan paling kaya di AS mencecah AS$2 trilion (RM6.48 trilion), meningkat daripada AS$1.7 trilion (RM5.51 trilion) pada tahun 2012.
Purata nilai bersih kekayaan mereka yang berada dalam senarai tersebut adalah sebanyak AS$5 bilion (RM16.1 bilion), angka tertinggi setakat ini.
Pelabur terkenal, Warren Buffett menduduki tempat kedua dengan kekayaan sebanyak AS$58.5 bilion (RM190 bilion), naik $12.5 bilion (RM40.6 bilion) dari tahun lalu.
Berada di tempat ketiga ialah pengasas Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan sebanyak AS$41 bilion (RM133 bilion).
Selain menjadi antara bilionair paling muda, pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg juga mencatat pertambahan kedua paling tinggi dengan kekayaan sebanyak AS$9.6 bilion (RM31 bilion). Zuckerberg yang baru berusia 29 tahun kini kembali berada dalam senarai 20 teratas selepas jatuh ke tangga 36 pada tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2fCA9rDcm 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, September 17, 2013

Pelajar Britain di larang berhijab

Pelajar Britain di larang berhijab
Kolej Birmingham Metropolitan mencetuskan kontroversi menghalang wanita memakai tudung.
hijabKOLEJ Birmingham Metropolitan, England, Britain  baru-baru ini mengeluarkan dasar melarang pelajar Islam memakai tudung atau pakaian menutup muka bagi tujuan keselamatan dan supaya mudah dikenali pada setiap masa.

Pengharaman memakai tudung dan purdah diumumkan kepada pelajar bagi sesi baru permulaan pengajian di kolej itu minggu lalu, menyebabkan beberapa pelajar berpindah ke kolej lain.

Seorang pelajar, Imaani Ali, 17, berkata dasar itu seperti menceroboh kebebasannya malah pihak kolej juga tidak memberi alternatif lain.

“Saya dan rakan-rakan yang memakai tudung hanya diberitahu mengenai larangan itu ketika proses pendaftaran. Pihak keselamatan juga menyekat kemasukan kami di perkarangan kolej.

“Tindakan ini satu diskriminasi beragama. Ini agama saya dan ini kepercayaan saya. Saya tidak mahu ke tempat yang tidak boleh menerima saya namun saya tiada pilihan lain ketika ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar 17 tahun yang enggan dikenali berkata, beliau nyata kecewa dengan dasar itu dan telah membuat keputusan untuk berpindah ke kolej lain di bandar.

“Ini satu pemikiran dangkal. Keputusan memakai tudung adalah hak peribadi. Saya sangat terkejut apabila isu ini dibangkitkan memandangkan di sini terdapat ramai pelajar Muslim dan berbilang budaya.

“Saya tidak rasa tudung akan mengganggu pembelajaran dan komunikasi dengan orang lain kerana saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mereka,” katanya.

Bagi pelajar A-Level Suleman Hussain, 17, turut tidak bersetuju dengan garis panduan terbaru itu.

“Mereka datang ke kolej untuk belajar, bukannya akan membawa bom dan membuat kacau,” katanya.

Bahas di Parlimen

Susulan pengharaman itu, isu berhijab ini dibangkitkan di Parlimen.

Ahli Parlimen Kattering, Philip Hollobone yang menolak penampilan menutup aurat menyuarakan isu ini kepada ahli bebas dan beliau menjawab tindakan itu menyalahi undang-undang dalam kebebasan kehidupan di Britain.

Pengetua dan Ketua Eksekutif kolej, Dame Christine Braddock mempertahankan dasar itu dengan mengatakan, ia telah lama digunakan dan diperkenalkan untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin.
“Kami mempunyai aspek kesaksamaan, kepelbagaian dan penyertaan dasar mantap di Kolej Birmingham Metropolitan, tetapi kami juga komited dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.

“Ia adalah untuk memudahkan pelajar dikenal pasti ketika berada di dalam kawasan kolej dan ia termasuk tidak mengenakan topi, hoodies dan tudung supaya wajah mereka sentiasa kelihatan,” katanya dipetik Mail Online

Terima peraturan demi keselamatan

Bagi Presiden Persatuan Muslim Britain, Omer El- Hamdoon berkata, pelajar di kolej itu perlu menerima dan mematuhi dasar ditetapkan.
“Sesetengah mereka mungkin berpendapat ia adalah sebahagian daripada agama, tetapi mereka perlu praktikal. Contohnya jika anda ke bank menaiki motosikal anda perlu menanggalkan topi keledar supaya dikenali.

“Sama juga ketika menduduki peperiksaan, pihak kolej perlu tahu siapa yang sedang menjawab kertas peperiksaan. Terdapat segelintir mereka merasakan ia menceroboh kebebasan bersuara, tetapi mereka perlu patuh kepada peraturan,” katanya.

Menurut Chante Young, 17, yang mengambil jurusan perniagaan, pengharaman itu nyata membuatnya berasa lebih selamat.

“Anda tidak akan tahu siapa si pemakainya kerana seluruh wajah ditutup dan hanya mata yang kelihatan,” katanya.
Dalam satu kes di mahkamah dua minggu lalu, hakim Peter Murphy menyuruh seorang wanita berumur 21 tahun menanggalkan tudung sebelum dibenarkan membuat rayuan.
Wanita itu menolak permintaan tersebut kerana terdapat lelaki di dalam bilik itu dan ia bertentangan dengan kepercayaan agamanya.

Hakim kemudiannya memberi amaran terdapat risiko orang lain menyamar dan berpura-pura menjadi dirinya masuk ke kandang tertuduh.

Budak perempuan 13 tahun jadi pelajar ijazah sarjana



TEJ BAHADUR VERMA membawa Sushma Verma pulang dari pusat pengajiannya di Lucknow, India semalam.- AP


LUCKNOW - Seorang budak perempuan memecahkan benteng norma pendidikan di India apabila dia memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana pada usia 13 tahun.
Budak perempuan berkenaan, Sushma Verma mengambil jurusan mikrobiologi.
Sushma berkata, dia menamatkan pengajian sekolah menengah pada usia tujuh tahun dan memperoleh ijazah sarjana muda ketika berumur 13 tahun.
"Kejayaan tersebut adalah hasil titik peluh dan pengorbanan ibu bapa saya," katanya.
Ibu bapa Sushma tidak berpelajaran tinggi. Mereka tinggal bersama tiga adik Suhsma di sebuah bilik kecil di ibu negeri Uttar Pradesh di sini.
Bapa kanak-kanak pintar itu, Tej Bahadur Verma, 50, bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan 200 rupee (RM10) sehari.
Lelaki tersebut menjual tanah miliknya seluas 930 meter persegi untuk membayar yuran pengajian Sushma. Baki pembiayaan pengajian tersebut diperoleh daripada derma orang ramai. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2f6B4kKD4 
Hakcipta terpelihara 

Gunung Sinabung meletus, 6,000 penduduk larikan diri



PENDUDUK tidur di sebuah pusat pemindahan di daerah Karo semalam.- AFP


KARO - Hampir 6,000 orang meninggalkan kediaman mereka di Pulau Sumatera susulan letusan kuat gunung berapi pada hujung minggu lalu, kata beberapa pegawai.
Gunung Sinabung di daerah ini, dalam wilayah Sumatera Utara meletus sebelum subuh kelmarin dengan menghamburkan batu dan abu panas yang menimpa beberapa buah kampung di sekitarnya.
"Angka perpindahan meningkat kepada 5,956 orang," kata jurucakap agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.
Katanya, kebanyakan mangsa tinggal dalam lingkungan 3 kilometer di sekitar gunung berapi itu.
Ketua agensi pengurusan bencana Sumatera Utara, Asren Nasution berkata, para penduduk kini berlindung di beberapa buah gereja, masjid dan pejabat kerajaan.
Dalam pada itu, seorang pakar gunung berapi tempatan, Hendra Gunawan memberitahu, Gunung Sinabung masih mengeluarkan asap tebal semalam tetapi kurang aktif berbanding kelmarin.
Gunung berapi itu tidak aktif selama hampir 100 tahun sebelum meletus pada Ogos dan September yang memaksa kira-kira 12,000 orang melarikan diri.
Pada bulan lalu, lima orang maut dan beratus-ratus lagi dipindahkan apabila sebuah gunung berapi dalam wilayah Nusa Tenggara Timur meletus.
Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi di Jawa Tengah meletus beberapa kali pada tahun 2010 dengan menyebabkan lebih 350 orang terbunuh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2f69Yq2nN 
Hakcipta terpelihara