Pages

Thursday, September 26, 2013

327 mangsa gempa


Aaran (Pakistan): Petugas penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa gempa bumi yang meragut 327 nyawa dalam kejadian gempa bumi yang melanda barat daya negara itu, semalam.

Bencana itu turut meruntuhkan ribuan rumah dan membentuk sebuah pulau baru di pesisir pantai.


Gempa bumi 7.7 magnitud itu berlaku di daerah Awaran di Wilayah Baluchistan.

Pegawai berkata, 327 orang disahkan mati setakat ini, 208 di daerah Awaran.


Jumlah itu dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat menghampiri lebih banyak kampung di kawasan pedalaman.


“Sejumlah enam daerah iaitu Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar dan lebih 300,000 penduduk terjejas akibat gempa bumi itu,” kata jurucakap Kerajaan Baluchistan Jan Muhammad Buledi.

Ketua agensi pengurusan bencana wilayah, Abdul Latif Kakar berkata, 30 mangsa disahkan terbunuh di daerah Kech.


Buledi berkata, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mayat tetapi memberi keutamaan kepada mangsa cedera untuk dibawa ke hospital segera walaupun tugas yang sukar kerana kawasan terpencil dan tiada kemudahan.

“Kami tiada kemudahan perubatan dan tidak ada ruang untuk merawat mangsa yang cedera di hospital di sini.


“Kami berusaha menghantar mangsa yang cedera parah ke hospital Karachi dengan menaiki helikopter dan pesakit lain ke daerah berdekatan,” katanya.


Pihak berkuasa Hospital Karachi Aga Khan berkata pihaknya sudah bersedia menerima pesakit, tetapi tiada seorang pun tiba setakat ini.


Tentera menghantar 100 kakitangan perubatan dan 1,000 anggota lain ke kawasan terbabit dan membina sebuah pusat perubatan di Tarteej, kawasan paling teruk dilanda bencana itu.


Pasukan tentera laut pula menghantar sebuah kapal membawa bekalan ke pelabuhan Gwadar dan pesawat untuk membawa mangsa cedera ke Karachi dan Ormara.


Seorang pegawai kanan di Awaran, Abdul Rasheed Baluch berkata, pasukan petugas berusaha mencari mayat dan mangsa yang terkambus dalam lumpur.


“Kira-kira 90 peratus rumah di daerah berkenaan musnah. Hampir semua rumah yang dibina daripada lumpur di situ runtuh,” katanya, semalam. Gempa yang berlaku lewat malam kelmarin turut dirasakan sejauh New Delhi dan Dubai.


Penduduk bandar Ahmedabad di India yang bersempadan dengan Pakistan turut merasa gegaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

No comments: