Pages

Thursday, September 26, 2013

Gempa bumi di Pakistan lahirkan pulau kecil


SEBUAH rumah yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan bandar Awaran dalam wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan kelmarin.- REUTERS


QUETTA - Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Pakistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 327 orang semalam selepas beratus-ratus buah rumah runtuh menimpa penghuninya di kawasan pedalaman dekat sempadan Iran, kata beberapa pegawai.
Gempa itu menggegarkan wilayah Baluchistan kelmarin dan turut dirasai di seluruh rantau Asia Selatan.
Bencana tersebut memusnahkan sejumlah kediaman dan menyebabkan daerah yang paling teruk terjejas, Awaran, terputus hubungan dengan dunia luar.
Gempa berkenaan amat kuat sehingga menyebabkan sebuah pulau kecil muncul di perairan Laut Arab.
"Kami mula menanam mangsa-mangsa yang meninggal dunia," kata Deputi Komisioner Awaran, Abdul Rasheed Gogazai semalam.
"Sebanyak 285 mayat telah ditemui di daerah Awaran setakat ini manakala 42 lagi dijumpai di daerah berdekatan, Kech," tambahnya.
Menurut Abdul Rasheed, lebih 373 orang turut cedera dalam bencana itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak tentera mengerahkan beberapa helikopter bersama beratu-ratus askar bagi membantu usaha menyelamat.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat memberitahu, gempa bumi itu berukuran 7.8 pada skala Richter.
Selepas gempa berlaku, penduduk di pesisir pantai dekat pelabuhan Gawdar berhimpun untuk melihat kemunculan pulau kecil tersebut.
Pulau batu dan pasir tersebut muncul selepas gempa bumi kuat itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2fwE02x7D 
Hakcipta terpelihara 

No comments: