Pages

Sunday, May 1, 2011

Amerika laksana sekatan baru pemimpin Syria


AMMAN: Amerika Syarikat menguatkuasakan sekatan baru ke atas pemimpin kanan Kerajaan Syria selepas pasukan keselamatan membunuh lebih 60 orang penunjuk perasaan ketika demonstrasi menuntut Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan melanda seluruh negara.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama meluluskan sekatan itu ke atas individu termasuk adik lelaki Assad yang bertanggungjawab menguruskan tentera di Daraa, dilihat pemerhati sebagai tentangan pertama ke atas tindakan keras Kerajaan Syria.
Obama menandatangani satu arahan eksekutif mengenakan sekatan ke atas agensi perisikan, sepupu lelaki Assad, Atif Najib dan adiknya Maher, yang mengetuai cawangan tentera yang menyerbu ke dalam Deraa Isnin lalu.
Pengawal Revolusi Iran yang berkuasa turut menjadi sasaran, dituduh membantu tindakan keras Syria.

Satu sumber perubatan memberitahu Reuters, bahawa tentera membunuh 19 orang di Daraa kelmarin apabila mereka melepaskan tembakan ke arah ribuan penunjuk perasaan yang keluar dari perkampungan berhampiran dalam untuk menunjukkan semangat perpaduan dengan bandar selatan tempat bermulanya tunjuk perasaan kira-kira enam minggu lalu. Keadaan dijangka meruncing.

Kumpulan hak asasi manusia Syria, Sawasiah berkata ia mempunyai senarai nama 62 orang yang terkorban ketika bantahan di Daraa, Rustun, Latakia, Homs dan Qadam, berhampiran Damsyik.

Pemantauan kumpulan hak asasi manusia Syria memberikan angka kematian yang sama.
Pertumpahan darah kelmarin berlaku selepas penunjuk perasaan di seluruh negara sekali lagi tidak mengendahkan tindakan besar-besaran tentera yang mahu menyuraikan mereka.

Sementara itu, diplomat Kesatuan Eropah (EU) berkata mereka sudah mencapai perjanjian awal untuk mengenakan sekatan senjata ke atas Syria dan akan “segera mempertimbangkan langkah lain yang wajar.” – Reuters , bharian

Gaddafi tak lepas kuasa


SEORANG anggota pemberontak memegang alat pelancar roket berdiri di atas bangunan ketika beribu-ribu orang menunaikan solat Jumaat di Ajdabiyah. - Foto REUTERS
SEORANG anggota pemberontak memegang alat pelancar roket berdiri di atas bangunan ketika beribu-ribu orang menunaikan solat Jumaat di Ajdabiyah. - Foto REUTERS

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muamar Gaddafi berikrar tidak akan melepaskan kuasanya di Libya tetapi bersetuju untuk rundingan bagi mengakhiri konflik ini walaupun pasukannya masih memberi tekanan terhadap pemberontak di bandar pelabuhan Misrata. 


Dalam ucapan awal pagi di televisyen Libya semalam, pemimpin itu berkata Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ‘jangan sekali-kali mengharap’ untuk melihat Muammar Gaddafi berundur.
“Saya tiada jawatan rasmi untuk diserahkan. Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan berjuang hingga mati,” katanya yang menambah kenyataan untuk berbincang.
“Kami sedia berbincang dengan Perancis dan Amerika tetapi tanpa syarat,” kata Gaddafi. 


“Kami tidak akan menyerah tetapi saya panggil anda untuk berunding. Jika anda mahu pengawasan, kita akan tandatangan kontrak dengan syarikat anda tetapi tidak berbaloi berperang. 


“Antara rakyat Libya, kita boleh menyelesaikan masalah tanpa diserang. Jadi, berundur dan tarik semula jet dan pesawat anda,” katanya memberitahu NATO. 


Pemimpin veteran itu bertegas yang pertelingkahannya dengan pemberontak adalah pengganas yang bukan dari Libya tetapi Algeria, Mesir, Tunisia dan Afghanistan. 
Beliau berkata, rakyatnya menyayanginya seperti bapa kepada mereka, ‘lebih suci’ daripada Maharaja Jepun kepada rakyatnya. 


Sementara itu, NATO menolak tawaran rundingan dengan Gaddafi sebaliknya menggesa beliau menghentikan serangan ke atas penduduk awam sebelum sebarang kompromi boleh dipertimbangkan. – AFP , bharian

Perkahwinan bakal raja



Penyatuan Putera William dan Kate Middleton berjaya mendekatkan rakyat dengan istana Britain.

PENGANTIN diraja ini dibawa menaiki kereta kuda tahun 1902 menuju ke Istana Buckingham di London.


BUKAN sekali tetapi dua kucupan, Putera William dan Kate Middleton dengan wajah berseri-seri kini sah sebagai pasangan suami isteri yang akan mewarisi takhta diraja Britain pada masa hadapan.
Mereka kelihatan tenang ketika majlis berlangsung dengan sesekali William dilihat menoleh ke arah Kate. Wajah Kate yang disolek sehingga menonjolkan kejelitaannya ternyata menghidupkan mood skrin televisyen.
Hampir tiga dekad lalu, bapa William, Putera Charles dan Puteri Diana berkahwin di gereja yang sama, namun janji setia di Gereja Westminster itu berakhir dengan perceraian serta pendedahan skandal memalukan oleh akhbar tabloid.
CINCIN peninggalan Puteri Diana masih tersarung di jari manis Kate semasa hari perkahwinannya.


Dianggarkan hampir sejuta penduduk berbaris di sepanjang jalan dari Gereja Westminster ke Istana Buckingham.
Dalam satu acara tradisi di anjung istana, orang ramai bersorak dan bertepuk tangan sebaik saja pengantin diraja itu berkucup sebelum diikuti sorakan 'Cium sekali lagi'.
William dan Kate sentiasa tersenyum dan melambai-lambai tangan. Mereka berkucupan buat kali kedua.
Pakar bahasa badan, Peter Collett, pengarang buku The Book Of Tells, berkata, bahasa badan William dan Kate berbeza sama sekali dengan Charles dan Diana 30 tahun lalu. Gerak-gerak William-Kate menandakan perkahwinan mereka akan bahagia dan berkekalan.
"Pada tahun 1981, terdapat banyak petunjuk perkahwinan Charles-Diana bakal melalui hari yang suram khususnya daripada gerak-geri Charles. Dia kelihatan gelisah, hanya sedikit perhatian diberikan kepada Diana dan semasa upacara itu, Charles mengelap matanya bukan sekali tetapi dua kali - petanda klasik kesedihan bahkan kekecewaan.
"Hari ini kita melihat gambar yang sangat berbeza. William dan Kate disatukan dengan penuh adat istiadat diraja dan mereka gembira di sepanjang majlis.
Dua bilion

PENGANTIN diraja ini dibawa menaiki kereta kuda tahun 1902 menuju ke Istana Buckingham di London.


"Semasa melambaikan tangan, mereka memandang antara satu sama lain, dan mereka melalui satu lagi momen yang menakjubkan semasa persembahan koir apabila mereka juga memandang serentak antara satu sama lain dan tersenyum bahagia," kata Collett.
Peristiwa di balkoni Istana Buckingham itu merupakan kali pertama William dan Kate dilihat berkucup di depan khalayak.

GAYA seorang bakal raja. William dikatakan akan mewarisi takhta kerana dia lebih disayangi rakyat berbanding bapanya, Putera Charles.


Dianggarkan sebanyak dua bilion orang menonton perkahwinan yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia itu sekali gus menjadi majlis paling ramai penonton dalam sejarah penyiaran moden.
Seorang penduduk tempatan yang menyaksikan perarakan, Sabry Darwish, 61, berkata, perkahwinan diraja itu menyebabkan ramai yang gembira dan bersatu.

WILLIAM memandu kereta Aston Martin selepas selesai upacara perkahwinannya dengan Kate.


"Semua orang merestui pasangan pengantin diraja," kata Darwish.
Ramai memuji pasangan William dan Kate kerana kedua-duanya dilihat berjiwa rakyat, kelakar dan sopan.
Keluarga Kate hanyalah rakyat kelas pertengahan tetapi mereka berjaya dalam perniagaan mengurus majlis hari lahir.
Walaupun mampu, Kate mengambil keputusan untuk makan gaji selepas tamat pengajian di universiti.
William yang mewarisi pesona ibunya, Puteri Diana membuat lawatan mengejut untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sanggup tidur di tepi jalan pada malam Khamis lalu.

PERKAHWINAN Putera Charles dan Puteri Diana pada 29 Julai 1981.


William, 28, sentiasa dekat di hati rakyat berikutan sikapnya yang suka bergurau. Ketika melihat 1,900 tetamu yang menghadiri majlis resepsi perkahwinannya, William sempat berseloroh dengan bapa mertuanya, Michael Middleton.
"Kita sepatutnya menganjurkan majlis kecil khas untuk keluarga," kata William.
Selepas majlis resepsi di Istana Buckingham, William dan Kate mengejutkan orang ramai kerana memandu kereta sport Aston Martin Volante berwarna biru gelap, lengkap dengan reben dan belon manakala nombor pendaftaran tertera plat 'JU5T WED'.
Gaun

RAKYAT Britain di Kuala Lumpur tidak mahu ketinggalan menyaksikan perkahwinan gilang-gemilang William-Kate.


Ramai berpendapat William dan Kate cuba membawa keluarga diraja Britain dekat di hati rakyat yang selama ini terpisah jauh.
"Ini merupakan satu titik penting dalam keluarga diraja Britain," kata seorang rakyat negara itu, Nicki Hookings, 47, yang hadir menyaksikan perarakan kelmarin.
Perkahwinan diraja itu turut menjadi saksi keupayaan Kate, 29, menawan hati rakyat Britain. Walaupun berdepan tekanan, Kate mendepani harinya dengan senyuman, bersemangat dan sopan.
Tanpa perasaan canggung, Kate memberi tunduk hormat kepada Ratu Elizabeth II sebelum berkongsi pentas dengan wanita yang ditabal sebagai ratu pada tahun 1952 itu.
"Majlis ini merupakan acara yang paling menggembirakan dunia sekarang," kata seorang peguam dari San Francisco, Laura Claster. Dia sanggup terbang dari Amerika Syarikat ke London untuk menyaksikan perkahwinan William dan Kate.
Seperti lazim majlis berprofil tinggi, para peminat fesyen menjamu mata dengan menyaksikan pelbagai fesyen tetamu yang memasuki Gereja Westminster.
Ada tetamu yang memakai topi berharga £1,000 (RM4,947) sebuah, bagaimanapun kebanyakan mata lebih tertumpu kepada gaun pengantin.
Gaun satin warna putih gading itu direka dengan belahan kolar dramatik hingga ke dada manakala leretan gaun sepanjang 2.7 meter mengembalikan ingatan terhadap gaun yang pernah dipakai Diana di tempat sama pada tahun 1981.
Rambut Kate yang panjang mengurai hingga ke paras pinggang kelihatan cantik di sebalik penutup jaring putih manakala tiara yang tersemat di kepalanya sebenarnya dipinjam daripada Ratu Elizabeth.

DRES kain satin dengan leretan gaun sepanjang 2.7 meter rekaan Sarah Burton menambah gaya Kate sebagai seorang puteri diraja.


Anting-anting bentuk daun oak merupakan hadiah daripada bapanya.
William memakai pakaian istiadat pengawal Ireland yang sinonim dengan kariernya sebagai anggota tentera. Beliau diapit oleh adiknya, Putera Harry yang memakai pakaian rasmi istiadat tentera. Kate diapit oleh adiknya, Pippa Middleton.
Selepas ikrar taat setia dan bertukar-tukar cincin perkahwinan, William dan Kate menaiki kereta kuda melalui jalan terpilih di sekitar kota London.
Ratu Elizabeth turut menganugerahi darjah kebesaran yang membawa gelaran Duke dan Duchess of Cambridge.
Berikutan populariti William yang ditambah pesona Kate, terdapat spekulasi bahawa beliau layak melangkaui Charles untuk menjadi raja Britain.
Ramai menganggap Charles, 62, tidak mesra serta jauh daripada hati rakyat.
Bagaimanapun, sumber istana berkata, Charles sudah menunggu terlalu lama untuk menjadi raja dan tidak akan melepaskan peluang itu sewenang-wenangnya kepada William. - Agensi., kosmo

Budak terselamat disedut puting beliung


puting beliung


TUSCALOOSA, Amerika Syarikat (AS) - Rumahnya ranap dan dia pula telantar di hospital tetapi seorang ayah di negeri Alabama, Reginald Eppes menganggap dirinya bertuah selepas anak lelakinya yang berusia 8 tahun terselamat walaupun setelah disedut ke dalam puting beliung.
Kejadian ngeri itu berlaku pada malam Rabu lepas apabila pusaran angin beliung menjulang budak lelaki tersebut, Reginald Jr dari katilnya dan menyedutnya ke dalam kegelapan malam.
"Saya cuba mencapai tangannya tetapi tidak sempat. Dinding rumah kami runtuh seperti kertas dan angin maut itu turut menyedut anak saya," kata Eppes, 35 kepada akhbar Daily News dari sebuah hospital di sini.
Menurutnya, dia segera memeluk anak lelakinya yang berusia 6 tahun, James-Peter manakala isterinya bertindak melindungi anak bongsu mereka yang berusia 4 tahun bagi mengelakkan kedua-duanya turut diragut angin kencang itu.
"Kejadian itu bagaikan mimpi ngeri. Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan melindungi kami," ujar lelaki tersebut.
Namun, menurutnya, dia kemudian berasa lega dan bersyukur kerana Tuhan telah mengurniakan satu keajaiban kepadanya.
"Sebaik sahaja angin itu hilang, saya melihat kelibat anak lelaki saya berjalan ke arah kami di atas timbunan runtuhan," jelas Eppes
Pemeriksaan lanjut mendapati budak lelaki itu selamat dan cuma mengalami luka kecil pada leher dan kepalanya pula bengkak.
Angka kematian dalam bencana puting beliung yang melanda negeri Alabama pada Rabu lepas mencecah 318 orang setakat ini dan angka tersebut dijangka terus meningkat. - Agensi, kosmo

Lelaki pandu kereta bawah lori


KERETA Mazda MX-5 menyelinap di bawah treler.


MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Ini bukan adegan filem tetapi satu realiti. Seorang pemandu mengundang padah dengan memandu kereta sportnya di bawah sebuah treler yang sedang bergerak, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kereta sport Mazda MX-5 yang dipandu lelaki tersebut menyelinap di bawah treler 18 tayar itu yang bergerak selaju 64 kilometer di sebatang jalan yang sibuk di negeri Florida.
Dia kemudian bergerak keluar dari bawah treler itu dan terus memandu pergi.
"Saya tidak percaya melihat aksinya. Dia mengundang bahaya kepada semua pemandu lain. Kadangkala kebodohan manusia tidak mengenal batasan," kata seorang saksi Ben Ellis yang merakam kejadian itu baru-baru ini. - Agensi, kosmo

Jangan harap saya akan berundur - Gaddafi


PEMIMPIN Libya, Muammar Gaddafi ketika berucap di televisyen negara itu semalam.


TRIPOLI - Tidak akan berganjak! Muammar Gaddafi berikrar untuk terus berkuasa di Libya tetapi beliau bersetuju supaya rundingan diadakan bagi menamatkan konflik berdarah di negara Afrika utara itu
Dalam ucapannya yang disiarkan stesen televisyen tempatan semalam pemimpin Libya itu dengan angkuh berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melepaskan harapan agar beliau berundur.
"Saya tidak akan berundur. Saya juga tidak akan meninggalkan tanah air saya, malah, saya akan berperang hingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.
Namun, dalam nada berdiplomasi pemimpin berusia 68 tahun itu seterusnya berkata: "Kami sedia berunding dengan Perancis dan Amerika Syarikat tetapi tanpa sebarang prasyarat,".
"Jika minyak yang anda mahukan, kami bersedia memeterai kontrak dengan syarikat-syarikat minyak anda (Barat), mengapa kita perlu berperang kerana minyak. Ia tidak berbaloi," ujar Gaddafi.
Pada masa yang sama, pemimpin veteran itu turut menegaskan bahawa rakyat Libya masih sayangkan beliau manakala pemberontak yang kini berperang menentang tenteranya sebenarnya pengganas Al-Qaeda yang berasal dari Algeria, Mesir, Tunisia dan Afghanistan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Gaddafi terus membedil bandar Misrata di barat Libya semalam dan mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang memasuki pelabuhan di bandar tersebut .
Pelabuhan Misrata yang terletak 215 kilometer ke timur ibu negara Libya di sini penting untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan kepada 500,000 penduduknya.
Ia satu-satunya bandar di barat Libya yang dikuasai pemberontak dan terus dikepung oleh tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu.
Ribuan orang terbunuh selepas rakyat Libya memberontak terhadap Gaddafi sejak Februari lalu untuk menuntut pembaharuan politik dan ekonomi selepas diperintah pemimpin tersebut selama lebih empat dekad. - Agensi, kosmo

Saturday, April 30, 2011

Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud gegar Panama

WASHINGTON: Gempa bumi kuat berukuran 6.1 magnitud menggegarkan Panama awal hari ini, kata kerajaan Amerika Syarikat. 
Gempa yang berlaku pada kira-kira 3.19 pagi waktu tempatan, kira-kira 179 kilometer selatan bandar David, dekat sempadan Costa Rica, kata Pengkaji Geologi Amerika Syarikat.

Tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan. - AFP

Intelijen Jerman khawatir revolusi dunia Arab akan memperkuat Al Qaeda - Arrahmah.com

BERLIN (Arrahmah.com) - Menurut Kepala Badan Intelijen Federal Jerman (BND), Ernst Uhrlau, revolusi di negara-negara Arab dapat memperkuat Al Qaeda di Afrika. Hal ini diperkuat dengan laporan bahwa senjata yang disita di Libya didapatkan dari “militan”.
Ernst Uhrlau menyatakan hal ini dalam sebuah wawancara dengan koran Hamburger Abendblatt.
Uhrlau menjelaskan kekhawatirannya mengatakan bahwa pertema, struktur kekuasaan negara di negara-negara tersebut berada dalam keadaan menyedihkan dan kedua, beberapa negara misalnya Libya, depot senjata telah diduduki dan senjata tidak hanya jatuh ke tangan pemberontak tapi juga ke Libya selatan, di mana posisi Al Qaeda Islamic Maghreb (AQIM) sangat kuat.
Menurut Uhrlau, Al Qaeda kini akan merekrut untuk perjuangan bersenjata Muslim di semua negara di Afrika untuk mengumpulkan uang dengan cara penculikan warga Barat dan untuk menarik perhatian dengan cara lain.
Kepala BND percaya terdapat ancaman langsung ke Barat sebagai hasilnya dan musuh tidak akan menembus ke
Eropa. Menurut Uhrlau, jika para pejuang Al Qaeda ingin masuk ke Eropa mereka tidak perlu pergi dengan perjalanan berbahaya melalui laut, untuk itu mereka memiliki sedikit resiko dan rute tersebut sudah terbukti.
Mengenai Libya, menurut Uhrlau, kebuntuan telah terjadi di negeri yang dilanda perang dan belum ada akhir dalam pandangan aturan Gaddafi.
“Daerah sekitar ibukota Libya, Tripoli adalah zona pengaruh Gaddafi dan menjadi lebih penting untuk mengendalikan itu dari pada yang dikontrol pemberontak di wilayah timur, sehingga mungkin memprediksi sampai kapan Gaddafi akan tetap berkuasa,” ujar Uhrlau.
Dia juga menekankan tidak ada informasi yang memadai tentang siapa lawan Gaddafi sebenarnya. (haninmazaya/arrahmah.com)
Intelijen Jerman khawatir revolusi dunia Arab akan memperkuat Al Qaeda - Arrahmah.com

Putera William dan Kate Middleton sah menjadi pasangan suami isteri

Putera William dan isterinya, Kate yang juga Duchess of Cambridge berdiri di luar Westminster Abbey selepas Majlis Perkahwinan Diraja yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia di London pada Jumaat. - Foto AP 
LONDON: Putera William dan Kate Middleton sah menjadi pasangan suami isteri melalui upacara perkahwinan di Wetminster Abbey, di sini Jumaat.
Pasangan diraja itu telah diraikan dengan acara yang penuh protokol dan dihadiri golongan bangsawan, diplomat dan para selebriti.
Kate hadir di Westminster Abbey dengan gaun rekaan Sarah Burton dari kediaman Alexander McQueen menyusuri jalan sementara Putera William yang menunggunya altar.
Selesai upacara tersebut, Kate dan William kelihatan ceria selepas masing-masing menyarungkan cincin di jari manis.
Selepas rasminya perkahwinan antara William dan Kate ini, Kate kini dikenali sebagai Duchess of Cambridge.-mstar

AS kenakan sekatan terhadap keluarga Bashar

WASHINGTON 30 April – Amerika Syarikat (AS) semalam mengenakan sekatan terhadap agensi perisikan Syria dan dua ahli keluarga Presiden, Bashar al-Assad kerana menggunakan tindakan keras untuk menangani demonstrasi bantahan di negara itu, kata pegawai kanan AS.
Assad tidak terlibat dalam arahan sekatan melibatkan pembekuan aset dan sebarang perniagaan di AS tetapi beliau akan dimasukkan ke dalam senarai itu kemudian jika tindakan keras terus diambil oleh kerajaan terhadap penunjuk perasaan. - Reuters, utusan

Syria tembak mati 35 orang selepas Jumaat

NOCOSIA, Syria 30 April – Pasukan keselamatan Syria hari ini menembak mati sekurang-kurangnya 35 orang di Daraa yang menjadi pusat tunjuk perasaan antikerajaan selepas solat Jumaat, kata aktivis kepada AFP. Pasukan keselamatan melepaskan tembakan ketika beribu-ribu penduduk dari bandar bersebelahan cuba menghantar bantuan dan makanan ke Daraa yang dikepung sejak awal minggu ini. - AFP.utusan

Drebar teksi acu pistol

IPOH: Siri serangan dan rompakan terhadap pelajar Malaysia di Mesir kian membimbangkan apabila terbaru, dua pelajar diacukan pistol oleh penjenayah berpeleseran menaiki teksi sebelum disamun.
Sumber Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berkata, dalam kejadian jam 7 pagi kelmarin, dua pelajar dari Selangor dirompak berhampiran kawasan Bawabah 3 menuju ke Hayyu Sabi, Kaherah.

Difahamkan, dalam kejadian itu, penjenayah yang memberhentikan teksi hitam berhampiran mangsa mengacukan pistol sebelum memaksa mangsa menyerahkan pasport dan telefon bimbit mereka.

“Penyamun kemudian memaksa pelajar terbabit mengeluarkan wang masing-masing untuk mendapatkan balik barang berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.

Kes jenayah itu adalah yang terbaru selepas kompleks asrama pelajar Terengganu di Mesir dipecah masuk dua penjenayah lelaki Arab yang melarikan telefon bimbit dan kamera digital milik pelajar pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku ketika pelajar lelaki sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat tanpa menyedari kompleks asrama itu dipecah masuk penjenayah. Kejadian di tingkat lima asrama disedari seorang pelajar lelaki sebelum menyergah kedua-dua penyamun berkenaan yang sedang menggeledah salah sebuah unit kediaman.


Akibat panik, penyamun terus melarikan diri dan hanya sempat merampas sebuah telefon bimbit dan kamera digital dengan meninggalkan empat guni penuh berisi pakaian dan barangan milik pelajar yang mahu dilarikan.

Susulan kejadian jenayah membabitkan pelajar Malaysia yang semakin meningkat itu, pihak PMRAM menasihati pelajar supaya lebih berhati-hati dan digalakkan menaiki bas awam beramai-ramai untuk mengelak daripada disamun.

Trump mahu jajah Iraq jika jadi Presiden AS

LAS VEGAS: Donald Trump berkata beliau akan mengenakan levi 25 peratus terhadap semua barangan yang diimport dari China, menjajah Iraq supaya Amerika Syarikat dapat menguasai minyaknya dan mengenakan bayaran terhadap Korea Selatan kerana menempatkan tentera Amerika di negara itu, jika beliau menjadi presiden.
Pengusaha hartanah yang kaya raya itu berkata demikian ketika berucap kepada lebih 1,000 penyokong Republikan di Las Vegas, semalam.

Beliau belum mengumumkan secara rasmi untuk menjadi calon parti itu dalam menentang Presiden Barack Obama pada pilihan raya 2012, tetapi berkata, beliau akan berbuat demikian dalam masa terdekat. “Apa yang dilakukan oleh China ialah memanipulasikan mata wang mereka. Saya akan memastikan mereka berhenti berbuat demikian jika saya jadi Presiden. “Opec (Pertubuhan Negara Pengeskport Minyak) pula menaikkan harga minyak sesuka hati. Kenapa? Kerana tidak ada orang di Washington yang berani berkata: ‘Kamu tidak boleh naikkan harga,” katanya.

Trump, 64, dianggap bakal calon Repulikan yang baik di kalangan penyokong parti itu walaupun ramai pemerhati politik tidak memandang serius padanya.

Ahli perniagaan itu juga berkata, jika beliau menjadi presiden, beliau tidak akan mengundurkan tentera Amerika Syarikat dari Iraq sebaliknya akan terus menjajah negara itu untuk menguasai minyaknya. - AP

Mesir buka sempadan Gaza

KAHERAH: Mesir akan membuka secara tetap pusat menyeberang sempadan bagi mengendurkan sekatan terhadap Gaza.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Luar Mesir, Nabil al-Arabi itu semalam mencetuskan kebimbangan Israel terhadap implikasinya ke atas keselamatan serantau.

Dalam temuramah dengan stesen televisyen Al-Jazeera, Nabil berkata, negaranya akan mengambil ‘langkah penting bagi membantu mengendurkan sekatan terhadap Gaza dalam masa beberapa hari lagi.’ Menurutnya, Mesir tidak mahu terus menutup sempadan Rafah - satu-satunya pintu menyeberang sempadan Gaza yang tidak membabitkan Israel. Beliau juga menyifatkan tindakan negaranya menutup pintu sempadan itu sebagai ‘memalukan.’ Sementara itu, di Baitulmaqdis, seorang pegawai kanan Israel berkata, rejim itu memandang berat mengenai hasrat Mesir itu.

Dia mendakwa, Hamas yang menguasai Gaza sudahpun ‘membina jentera tentera yang berbahaya’ di utara Sinai dan akan bertambah berbahaya jika sempadan itu dibuka.

Pegawai berkenaan juga berkata, Israel tidak senang hati dengan kerajaan baru Mesir yang dilihat berusaha meningkatkan hubungan dengan Hamas. “Kami risau dengan perkembangan di Mesir, dengan suara yang menggesa supaya dibatalkan perjanjian damai, gesaan supaya negara itu meningkatkan hubungan dengan Iran dan Hamas. “Perkembangan itu berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan Israel,” katanya.

Mesir di bawah pemerintahan Hosni Mubarak, menutup pintu seberang sempadan Rafah sebagai menyokong tindakan Israel mengenakan sekatan terhadap wilayah Palestin itu sejak Hamas menguasai wilayah berkenaan pada 2006.


Sejak itu, 1.5 juta penduduk Gaza terpaksa bergantung kepada terowong yang dibina secara haram untuk mendapatkan keperluan kehidupan mereka. - AFP, mymetro

Bertempur untuk tawan lapangan terbang Misrata

MISRATA: Pertempuran sengit meletus semalam antara tentera Libya dengan pemberontak untuk menguasai lapangan terbang di bandar ini yang dikuasai kumpulan pemberontak.
Letupan dan bunyi tembakan kuat kedengaran di sekitar lapangan terbang berkenaan selepas sumber perubatan berkata, serangan roket dan mortar sebelum itu menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 30 yang lain cedera.

Tentera yang setia dengan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berundur sejauh 215 kilometer dari Misrata Isnin lalu ekoran serangan pemberontak yang dibantu oleh serangan udara Nato.

Bagaimanapun, mereka masih berupaya untuk melancarkan serangan roket terhadap bandar berkenaan.

Pemberontak menguasai pelabuhan Misrata beberapa hari lalu dan misi mereka kini ialah untuk menawan lapangan terbangnya pula. - AP, mymetro

Pertempuran berterusan

PHANOM DONG RAK: Gencatan senjata rapuh yang dipersetujui pihak berkuasa Thailand dan Kemboja gagal menghentikan pertempuran di sempadan kedua-dua negara.
Pertempuran terbaru meletus semalam, hari kelapan berturut-turut dan meningkatkan jumlah kematian kepada 16 orang.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain bertanggung jawab memusnahkan persetujuan gencatan senjata yang dipersetujui kelmarin dalam usaha menghentikan pertempuran di sekitar dua kuil di sebuah sempadan berhutan hingga menyebabkan 85,000 penduduk terpaksa berpindah.

Pertempuran terbaru itu yang berlaku sejurus selepas persetujuan gencata senjata menunjukkan ‘ketidakbergunaan rundingan dua hala,’ kata kerajaan Kemboja yang berusaha untuk mendapatkan pembabitan pihak ketiga.

“Kurang daripada 12 jam selepas persetujuan itu, tentera Thai melancarkan serangan lagi dan pertempuran berterusan hingga awal pagi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Kemboja.

Ketua Tentera Thai, Jeneral Prayut Chan-O-Cha menyuarakan rasa kesal terhadap kejadian itu.


“Kami melancarkan serangan balas dengan senjata ringan, bukan tembakan meriam,” katanya kepada wartawan.

Seorang anggota tentera Thai terbunuh dan enam cedera dalam pertempuran di beberapa kawasan sepanjang sempadan,” kata jurucakap tentera Thai, Colonel Prawit Hookaew.
Seorang pemerintah tentera Kemoja berkata, pegawai kedua-dua negara mengadakan perbincangan kedua semalam meskipun Thailand berkata, ia tidak dapat mengesahkan mengenai usaha baru untuk menyelamatkan gencatan senjata yang dipsertujui.

Dalam pada itu, Kemboja semalam berkata, ia meminta Mahkamah Dunia menjelaskan keputusan yang dicapai pada 1962 mengenai wilayah sekitar kuil Preah Vihear, kawasan yang mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara. - AFP, mymetro

32 maut pertempuran di Syria

NICOSIA: Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan askar Syria di bandar Daraa dan Homs semalam, kata aktivis dan pegawai kerajaan.
Di Daraa, tentera melepaskan tembakan ketika beribu-ribu orang dari bandar berhampiran cuba menghulurkan bantuan dan makanan kepada penduduk di bahagian selatan yang terkepung sejak Isnin lalu.
“Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di Daraa, empat di bahagian timur dan berpuluh lagi cedera,” kata seorang aktivis Abdullah Abazid.
Dalam kejadian berasingan, seorang pegawai tentera berkata: “Sekumpulan pengganas bersenjata menyerang sebuah pos kawalan tentera di Daraa pada waktu subuh”. 

Agensi berita SANA melaporkan, empat askar terbunuh dan dua lagi ditangkap. 

Bagaimanapun Abazid berkata, ada laporan menyatakan tentera enggan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dan empat askar terbunuh kerana mempertahankan penduduk. 

Kementerian Dalam Negeri melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk tiga anggota pasukan keselamatan terbunuh di Homs. 
“Tiga pegawai polis ditembak mati selepas menjadi sasaran kuimpulan ekstremis ketika menjalankan tugas,” kata sumber kementerian itu. – AFP , bharian

305 maut Amerika dilanda puting beliung

SEORANG wanita, Eleanor Stubbs diselamatkan selepas kediamannya dilanda angin puting beliung di  Concord, Alabama.
SEORANG wanita, Eleanor Stubbs diselamatkan selepas kediamannya dilanda angin puting beliung di Concord, Alabama.
Bencana terburuk sejak beberapa dekad TUSCALOOSA (ALABAMA): Sekurang-kurangnya 305 orang terkorban dan kemusnahan besar berlaku apabila puting beliung paling dahsyat dalam tempoh beberapa dekad melanda wilayah selatan Amerika semalam. Saksi berkata keadaan di Tuscaloosa, tempat lahir Gabenor Alabama, Rober Bentley, amat dahsyat sehingga kawasan itu seolah-olah hilang dari peta Amerika.
Penduduk Amerika Syarikat terpaksa bergelut, manakala pihak berkuasa memberi amaran jumlah mangsa yang ditemui mungkin meningkat berikutan kerosakan yang berlaku. 

Penganalisis berkata sukar mempercayai lapan negeri dilanda ribut paling buruk ketika musim bunga. Tragedi puting beliung paling banyak menyaksikan kematian di Amerika Syarikat sejak kematian 310 penduduk dalam bencana sama pada 3 April 1974. 

“Bencana kali ini mengingatkan penduduk kepada tragedi Taufan Katrina yang melanda pada 2005, manakala kemusnahan yang berlaku seolah-olah seperti sebuah kawasan yang baru dilanda gempa atau peperangan,” kata seorang daripada mereka. 

Di Alabama sendiri, angka kematian mencecah 204 orang, manakala lebih 1,700 orang cedera. Presiden Barack Obama dan isteri beliau Michelle dilapor melawat negeri paling teruk terjejas itu semalam untuk melihat sendiri tragedi yang melanda penduduk. 
“Kehilangan nyawa amat menyedihkan terutama di Alabama. Ribut meragut nyawa ibu dan bapa, anak lelaki dan perempuan, rakan dan jiran malah seluruh masyarakat,” katanya berikrar untuk memberikan bantuan persekutuan dengan segera kepada mereka yang memerlukan,”kata Obama di Rumah Putih sambil menyifatkan bencana itu sebagai malapetaka. 

Darurat diisytiharkan di Oklahoma hingga ke Georgia di timur manakala gabenor menggesa pasukan keselamatan termasuk 2,000 tentera di Alabama membantu operasi membersih dan menyelamat. 

“Kita mempunyai satu malapetaka terbesar di sini di Alabama dengan mengatasi bilangan puting beliung sebelum ini,” kata Gabenor Bentley, yang mengisytiharkan bencana besar bagi negeri itu, di mana berjuta penduduk terputus bekalan elektrik. 

Pekerja penyelamat berusaha untuk mencari penduduk yang hilang dan cuba untuk menyelamatkan mangsa yang masih lagi terperangkap dalam sisa kemusnahan rumah mereka sendiri. – AFP , bharian

Pengantin diraja terima gelaran

Istana Buckingham berkata, bahawa William kini secara rasmi bergelar His Royal Highness The Duke of Cambridge manakala isterinya, Catherine Middleton bergelar Her Royal Highness The Duchess of Cambridge.
Kenyataan istana menyebut bahawa William dinamakan sebagai Earl of Strathearn dan Baron Carrickfergus, manakala Middleton juga menerima gelaran yang sama sebagai Countess of Strathearn dan Baroness Carrickfergus.

Strathearn mengaitkan William dan Middleton dengan Scotland di mana pasangan itu bertemu dan saling jatuh cinta. Baron Carrickfergus adalah gelaran bangsawan yang merujuk kepada satu daripada bandar tertua di utara Ireland.

Ketiga-tiga gelaran berkenaan dikurniakan nenda William, Ratu Elizabeth II sebagai menandakan perkahwinan putera berkenaan dan diumumkan awal pagi semalam menerusi Twitter, e-mel dan halaman web rasmi perkahwinan diraja.

Disebabkan Middleton tidak dilahirkan dikalangan keluarga diraja, beliau tidak akan secara rasmi menjadi Puteri Catherine walaupun masyarakat umum akan memilih untuk memanggil beliau demikian atau mungkin “Puteri Kate”, menolak protokol. 
Putera William, 28, pewaris kedua takhta British dan Kate Middleton, 29, sah bergelar suami isteri dalam majlis yang diadakan di Westminster Abbey dengan disaksikan 2,000 tetamu di gereja berkenaan selain dua bilion penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan acara yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan internet.

Sementara itu di luar Westminster Abbey, orang ramai dari seluruh dunia mula memenuhi kawasan berkenaan sejak malam sebelumnya dengan harapan untuk melihat lebih dekat majlis penuh bersejarah itu.

“Saya hanya dapat lelap beberapa jam di muka pintu tetapi saya tidak kisah, hari ini adalah satu peluang seumur hidup dan saya perlu berada di sini untuk menyaksikan upacara berkenaan,” kata rakyat Kanada, Jay Edmonds.

Malah, ramai peminat yang sanggup berkhemah di sepanjang jalan Westminster semata-mata untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan perkahwinan bersejarah itu.

Dengan membawa bendera Union Jack, Terry Hut, 77, sanggup berkhemah sejak lima hari lalu untuk mendapatkan kedudukan di barisan paling hadapan bagi menyaksikan majlis perkahwinan diraja yang kelima bagi dirinya.

“Mereka akan berjalan secara berasingan tetapi ketika mereka berjalan bersama, mereka akan menjadi raja dan ratu England pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, pihak polis Britain dilaporkan sudah menahan tiga orang dalam operasi keselamatan berkaitan dengan perkahwinan diraja berkenaan.

Penahanan dibuat ketika pasukan polis Britain mempertingkatkan keselamatan pada waktu malam, kelmarin sebelum majlis di Westminster Abbey di mana seramai 5,000 anggota polis ditempatkan bagi menghalang kejadian tidak diingini.

Scotland Yard berkata, tiga individu ditahan di selatan London pada Khamis kerana disyaki menyebabkan gangguan awam dan melanggar keamanan. 
Suspek terbabit adalah dua lelaki berusia 68 dan 45 serta seorang wanita berusia 60 tahun yang kini masih dalam tahanan polis Metopolitan. – AP/Reuters , bharian

Tentera Gaddafi bedil Misrata

SEBUAH kereta kebal milik tentera Muammar Gaddafi musnah di bandar Misrata, Libya kelmarin.
MISRATA, Libya - Bunyi letupan kuat dan bedilan senjata api menggegarkan bandar ini semalam ketika tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus bertempur dengan pemberontak bagi menguasai lapangan terbang di sini, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Pertempuran tersebut berlaku selepas tentera Gaddafi semalaman membedil roket dan peluru mortar ke bandar ini yang terletak 215 kilometer ke timur ibu kota Libya, Tripoli.
Tentera Gaddafi dipaksa berundur dari sini selepas tentera pemberontak dan jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan pada Isnin lepas.
Namun, tentera pemimpin Libya itu masih berada dalam kedudukan untuk melancarkan bedilan roket ke bandar ini.
Sebelum ini pihak pemberontak memberitahu telah menawan pelabuhan di sini dan matlamat seterusnya adalah untuk menawan lapangan terbang yang masih dikuasai tentera Gaddafi.
"Menyerang merupakan satu bentuk pertahanan yang terbaik," kata seorang komander tentera pemberontak di sini, Ibrahim Bet-Almal.
"Gaddafi menghantar bantuan kepada anggota-anggota tenteranya di sini pada setiap hari," tambah komander berkenaan.
Pergolakan di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu ekoran perasaan tidak puas hati sejumlah rakyat yang menentang kepimpinan Gaddafi. - Agensi, kosmo

Gempa bumi sederhana di pantai barat Sumatera Utara

KUALA LUMPUR 29 April — Gempa bumi sederhana berukuran 5.8 pada skala Richter berlaku di pantai barat Sumatera Utara pada 4.56 petang hari ini.
Pusat gegaran ialah 40 kilometer tenggara Meulaboh, Indonesia, 522 kilometer barat daya Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Menurut Jabatan Metereologi Malaysia, gegaran tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia. — Bernama, utusan