Pages

Saturday, April 30, 2011

Drebar teksi acu pistol

IPOH: Siri serangan dan rompakan terhadap pelajar Malaysia di Mesir kian membimbangkan apabila terbaru, dua pelajar diacukan pistol oleh penjenayah berpeleseran menaiki teksi sebelum disamun.
Sumber Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berkata, dalam kejadian jam 7 pagi kelmarin, dua pelajar dari Selangor dirompak berhampiran kawasan Bawabah 3 menuju ke Hayyu Sabi, Kaherah.

Difahamkan, dalam kejadian itu, penjenayah yang memberhentikan teksi hitam berhampiran mangsa mengacukan pistol sebelum memaksa mangsa menyerahkan pasport dan telefon bimbit mereka.

“Penyamun kemudian memaksa pelajar terbabit mengeluarkan wang masing-masing untuk mendapatkan balik barang berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.

Kes jenayah itu adalah yang terbaru selepas kompleks asrama pelajar Terengganu di Mesir dipecah masuk dua penjenayah lelaki Arab yang melarikan telefon bimbit dan kamera digital milik pelajar pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku ketika pelajar lelaki sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat tanpa menyedari kompleks asrama itu dipecah masuk penjenayah. Kejadian di tingkat lima asrama disedari seorang pelajar lelaki sebelum menyergah kedua-dua penyamun berkenaan yang sedang menggeledah salah sebuah unit kediaman.


Akibat panik, penyamun terus melarikan diri dan hanya sempat merampas sebuah telefon bimbit dan kamera digital dengan meninggalkan empat guni penuh berisi pakaian dan barangan milik pelajar yang mahu dilarikan.

Susulan kejadian jenayah membabitkan pelajar Malaysia yang semakin meningkat itu, pihak PMRAM menasihati pelajar supaya lebih berhati-hati dan digalakkan menaiki bas awam beramai-ramai untuk mengelak daripada disamun.

No comments: