Pages

Thursday, August 11, 2011

16,000 polis Britain dikerah




ASAP tebal memenuhi ruang udara sebuah gudang Sony Centre di Enfield, London, semalam selepas dibakar oleh perusuh. – Reuter



LONDON 10 Ogos – Rusuhan terburuk di Britain dalam tempoh puluhan tahun berlarutan ke hari keempat hari ini apabila gerombolan pemuda mengganas di Manchester dan kawasan perindustrian tengah England tetapi keadaan di London agak tenang selepas 16,000 anggota polis dikerahkan untuk membendung keganasan. Di Manchester, perusuh memecah masuk dan mencuri barang kedai serta menghalau jurugambar dari tempat kejadian dalam keganasan terburuk di bandar raya ketiga terbesar di Britain itu dalam tempoh 30 tahun. Kejadian mencuri juga berleluasa di Birmingham buat malam kedua dan dalam insiden paling serius malam tadi, tiga lelaki yang baru keluar dari sebuah masjid terbunuh apabila mereka dirempuh sebuah kereta dalam kes langgar lari di bandar raya tersebut. Di tempat lain, perusuh membakar bangunan di West Bromwich dan Wolverhampton di tengah England dan sebuah balai polis di Nottingham diserang dengan bom petrol, walaupun tiada kecederaan dilaporkan, sementara kira-kira 200 perusuh membaling objek ke arah polis di Liverpool. Bagaimanapun di London, tiada lagi gelombang keganasan yang menyebabkan beberapa bahagian ibu kota ini terbakar malam semalam, selepas polis dikerahkan beramai-ramai dan kumpulan penduduk membanjiri jalan untuk mempertahankan komuniti mereka. Scotland Yard awal hari ini berkata, 768 orang ditangkap di London kerana disyaki melakukan keganasan, mencetuskan kekacauan dan mencuri. Sebanyak 109 lagi ditangkap di wilayah West Midlands, 108 di Manchester dan Salford, dan 44 di Liverpool dan sekitarnya, manakala di Bristol 19 tangkapan dilakukan kerana pelbagai kesalahan termasuk memiliki topeng ski. Fokus keganasan malam tadi ialah Manchester, barat laut England, di mana polis terpaksa berundur akibat kemaraan ratusan pemuda yang menutup muka dengan skarf dan topeng ski. Dua perusuh memecahkan pintu kaca pusat membeli-belah Arndale, gedung membeli-belah utama di Manchester, membolehkan ratusan pemuda masuk dan melarikan pelbagai barangan termasuk pakaian dan kasut. Polis hanya mampu menjadi pemerhati apabila pencuri mengosongkan sebuah kedai barangan elektrik manakala kumpulan lain bersemuka dan memaki-hamun anggota polis. Dalam perkembangan yang tidak akan membantu meredakan ketegangan, badan pemantau polis Britain berkata, pihaknya tidak menemui bukti Mark Duggan, lelaki yang ditembak mati oleh polis minggu lepas dalam insiden yang mencetuskan protes dan seterusnya rusuhan di London, telah melepaskan tembakan ke arah polis. Dalam operasi terancang, anggota polis bersenjata menahan teksi yang dinaiki oleh Duggan, 29, di daerah berbilang etnik Tottenham, utara London, tembakan dilepaskan dan Duggan mati di tempat kejadian. Keluarga Duggan berkata, hasil siasatan itu menyebabkan mereka berasa amat kesal dan mereka menuntut ‘jawapan’ daripada polis. – AFP, utusan

No comments: