Coco Chanel legasi dunia fesyen
Coco Chanel
BELIAU dikenali sebagai pereka fesyen tersohor di Perancis yang mencetuskan gaya dan revolusi untuk pakaian wanita. Coco Chanel sentiasa melontarkan idea kreatif untuk reka bentuk yang sederhana dan praktikal tetapi berciri mewah dalam setiap rekaannya. Sehingga Perang Dunia Pertama, rekaan pakaian wanita agak terhad dan Coco Chanel tampil dengan gaya yang tidak pernah dihasilkan serta lebih sesuai untuk golongan itu. Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pereka yang tersenarai sebagai 100 Individu Paling Berpengaruh pada abad ke-20 oleh majalah Time.

Kehidupan Awal

Gabrielle Bonheur Chanel yang merupakan puteri kepada Albert Chanel dan Eugénie Jeanne Devolle ini dilahirkan pada 1883 di Saumur, Perancis.

Bagaimanapun, tahun dan tempat kelahiran sebenar beliau terus menjadi tanda tanya kerana wanita tersebut didakwa cuba untuk menyembunyikan kebenaran berhubung perkara itu.

Beberapa pihak mendakwa beliau cuba untuk mengelakkan stigma masyarakat pada era tersebut yang menganggap kemiskinan dan anak yatim bernasib malang.

Chanel dipelihara oleh bapanya bersama empat lagi adik beradiknya selepas ibunya meninggal dunia ketika beliau masih kecil.

Beliau akhirnya dihantar ke sebuah rumah anak yatim di tengah Paris, di mana Chanel belajar menjahit.

Ketika berusia 18 tahun, beliau meninggalkan rumah anak yatim tersebut dan bekerja sebagai tukang jahit.

Kira-kira lima tahun kemudian, Chanel mula mereka topi yang akhirnya dikomersialkan.
 
Buka butik

Pada 1910, beliau akhirnya berjaya membuka butiknya sendiri di Paris dan dua lagi Bandar di Deauville serta Biarritz.

Menjelang 1920-an, Chanel menjadi pereka pertama mencipta jersi wanita yang biasanya digunakan untuk pakaian dalam lelaki bagi mewujudkan gaya lebih santai selain melancarkan minyak wangi Chanel No 5.

Pada 1924, Pierre Wertheimer dilantik menjadi rakan kongsi beliau dan beberapa teman rapat Chanel mendakwa mereka turut menjalinkan hubungan cinta.

Kira-kira setahun kemudian, beliau melancarkan jaket kardigan disusuli dengan rekaan gaun hitam.

Kedua-dua pakaian tersebut terus menjadi rekaan wajib dalam koleksi Chanel sehingga ke hari ini.
 
Didakwa jadi ejen Nazi

Ketika Perang Dunia Kedua tercetus, Chanel pernah berkhidmat sebagai jururawat dan beliau didakwa menjadi perisik serta menjalinkan hubungan sulit dengan pegawai Nazi.

Susulan daripada itu, beliau bertindak melarikan diri ke Switzerland untuk mengelakkan kontroversi tersebut.

Bagaimanapun, Chanel kembali semula ke Paris pada 1954 dan mula memperkenalkan rekaan lebih kreatif seperti jaket pea yang biasanya menjadi pakaian asas kelasi atau nelayan serta seluar kaki kembang untuk wanita.  

Koleksi terbaharu itu turut mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat selepas ia diberi liputan meluas oleh media di Eropah.