Fatwa sahur, iftar penghuni Burj Khalifa
Burj Khalifa
GEDUNG membeli-belah mega, bangunan pencakar langit dan pantai yang indah. Semuanya itu sinonim dengan Dubai, satu daripada tujuh emiriah yang membentuk Emiriah Arab Bersatu (UAE).
  
Tunggu dulu, itu bukan sahaja tempat yang menarik di kota serba-serbi mewah ini!
  
Pencinta alam semulajadi dan penggemar hidupan liar pastinya tidak akan terlepas daripada peluang melawat lokasi itu.
  
Di tengah-tengah kesibukan kota yang gah ini, penulis menjejak sebuah tempat perlindungan hidupan liar terutamanya untuk burung penghijrah.
  
Ras Al Khor Wildlife Sanctuary (RAKWS) Dubai terletak di muara Dubai Creek, terusan air sepanjang 14km. Maka namanya Ras Al Khor yang membawa maksud 'Cape of the Creek'.
  
Menurut laman sesawang rasmi RAKWS, tempat perlindungan itu meliputi kawasan seluas 620 hektar.
  
Sepanjang musim sejuk, ia menjadi rumah kepada lebih 20,000 burung air daripada 67 spesies.
  
Di samping itu, RAWKS dilaporkan mempunyai lebih 500 spesies flora dan fauna.

Pemandangan yang menakjubkan

Penulis membuat carian tempat menarik di Dubai selain yang lazim, iaitu gedung membeli-belah dan pantai sewaktu berkunjung ke kota itu baru-baru ini.
  
Apabila membaca tentang RAWKS, memang sukar untuk membayangkan wujud tempat seperti itu di Dubai.
  
Namun, tidak sukar untuk mencarinya. Kawasan luas saujana mata memandang. Tambahan langit cerah seiring dengan suasana pagi musim dingin Dubai yang begitu damai.
  
Keseluruhan kawasan ini dipagar, jelas menunjukkan ia adalah kawasan yang dilindungi.
  
Setibanya penulis di tempat letak kereta RAWKS, hanya ada tiga kereta, menunjukkan tidak ramai orang. Lagipun hari Isnin, hari bekerja.

Flamingo oh flamingo

Burung yang paling unggul dalam kalangan burung penghijrah ini ialah Greater Flamingo (Phoenicopterus roseus) yang bulunya berwarna merah jambu.
  
Penulis membuat keputusan tepat memilih lokasi ini kerana kemudiannya mendapat tahu di sini tempat di mana flamingo berhimpun.
  
Carian di internet menunjukkan Greater Flamingo adalah spesies flamingo yang paling meluas taburannya dan boleh didapati di sesetengah bahagian Afrika, selatan Asia (kawasan pesisiran pantai Pakistan dan India), serta selatan Eropah (termasuk Sepanyol, Albania, Turki, Greece, Cyprus, Portugal, Itali dan rantau Camargue, Perancis).
  
Ia juga spesies flamingo paling besar, purata ketinggian 110–150 cm dan berat antara dua hingga empat kilogram.
  
Terdapat anggaran 500 Greater Flamingo di tempat perlindungan ini dan kehadiran mereka begitu ketara sekali. Gambar burung ini turut menghiasi tong sampah di taman perlindungan ini.
  
Burung yang berkaki kurus panjang ini juga dijadikan maskot program perlindungan Hidupan Liar Dubai.

Peminat burung

Terdapat laluan khas ke tempat pemerhatian burung. Sesuai dengan persekitaran semulajadi, dinding laluan khas bukan diperbuat daripada konkrit.
  
"Ini macam batang pelepah pokok kurma," penulis membuat telahan sendiri sambil menyentuh dinding berkenaan. Tambahan pokok kurma begitu banyak ditanam bukan sahaja di taman awam tetapi juga di bahagian pembahagi jalan serta menjadi komponen penting lanskap Dubai.
  
Hanya terdapat lima orang di dalam tempat pemerhatian tidak termasuk penjaga taman perlindungan itu.
  
Kedua-duanya sudah 'memacakkan' kamera masing-masing di meja panjang di tepi tingkap, menghala ke kawasan perlindungan. Melihatkan saiz lensa kamera, penulis pasti mereka jurugambar profesional.
  
Mereka menguasai sudut yang strategik untuk mengambil gambar burung flamingo yang sedang mengerumuni pekerja taman yang membawa makanan.
  
Penulis juga tidak mahu terlepas peluang mengambil gambar untuk hiasan artikel yang bakal ditulis meskipun terpaksa berpuas hati dengan ruang yang terhad untuk bergerak.
  
Beberapa kali penulis mendengar suara jurukamera itu meminta beralih kerana menghalang hala lensa kameranya.

Waktu sibuk RAWKS

Menurut penjaga taman, Zulfiqar Ahmad, taman perlindungan itu dibuka pada hari Sabtu hingga Khamis, dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
  
"Masa terbaik untuk berada di taman ini adalah pada masa burung-burung flamingo ini diberi makan iaitu pukul 10.00 pagi dan 3.30 petang," Zulfiqar yang berasal dari Pakistan memberitahu penulis.
  
Terdapat tiga tempat pemerhatian dengan jendela khas dibina di lokasi strategik taman perlindungan ini untuk membolehkan pengunjung memerhatikan hidupan liar yang ada.
  
Tempat pemerhatian yang penulis singgahi ialah tempat pemerhatian pertama.
  
Binokular dan teleskopi disediakan supaya pengunjung dapat melihat dengan lebih jelas dan dekat hidupan liar yang dapat dikesan.
  
Poster serta maklumat terutamanya spesies burung di taman perlindungan itu ditampal di dinding tempat pemerhatian.
  
Ketika memberi taklimat kepada penulis, Zulfiqar beberapa kali menunjuk kepada poster dan menggunakan teleskopi untuk mengesan burung.
  
Beliau lantas menyuruh penulis melihat menerusi teleskopi spesies burung yang berjaya dikesannya sambil menyebut nama burung itu.
  
Mengenai burung flamingo, Zulfiqar berkata, "Saya diberitahu flamingo ini dari Siberia dan Iran.
  
"Burung-burung ini bijak. Pada waktu malam, burung-burung ini tidur di belakang pohon bakau dan terbang berkumpul di sini apabila hampir waktu untuk diberi makan.
  
"Burung-burung ini akan berada di sini sekitar pukul 8,00 pagi hingga 5.30 petang."
  
Apabila ditanya mengenai pengunjung yang singgah di tempat pemerhatian pertama ini, beliau menunjukkan buku pelawat kepada penulis. Penulis membelek beberapa halaman, tertera nama-nama negara seperti UK, US, China, Sweden, Norway, Turki, Mesir, Lubnan dan Itali.
  
Menurut Zulfiqar, taman perlindungan hidupan liar itu menjadi tumpuan pada musim cuti dan tempat pemerhatian pertama itu sahaja menerima kira-kira 200 pengunjung sehari.
  
"Untuk Disember 2014, saya kira 3,000 pengunjung untuk tempat pemerhatian yang pertama ini. Dua tempat yang lain secara kombinasi seramai 2,000 orang," kata Zulfiqar.

Cinta Alam Semulajadi

Sementara itu, dua lelaki yang penulis sebut pada awal tadi ialah Jason D'Almeida, jurutera mekanikal bertauliah dan Dr Saurendra Das, doktor perubatan.

Kedua-duanya berkongsi minat yang sama, "cinta kepada alam semulajadi."
  
Mereka berasa begitu teruja apabila diberitahu penulis mahu mewawancara mereka tentang hobi mengambil gambar burung dan bersedia sahaja untuk diambil gambar bersama.
  
Jason sudah lebih 30 tahun tinggal di UAE. Warganegara India ini meninggalkan profesion juruteranya untuk menjadi jurugambar profesional sepenuh masa.
  
"Saya sudah beberapa kali ke tempat perlindungan ini. Saya suka sangat tempat ini. Mendamaikan dan menjadikan saya lebih dekat dengan alam semulajadi.
  
"Tempat ini antara beberapa tempat di Dubai yang masih dapat mengekalkan ciri-ciri semulajadi di sebalik pembangunan urbanisasi yang pesat di kota besar ini," kata Jason dengan menambah beliau juga gemar mengambil gambar orang, tempat dan budaya.
  
Bagi Saurendra, kunjungan ke tempat perlindungan itu adalah yang pertama buat dirinya.
  
"Lazimnya jika saya berkunjung ke satu-satu tempat, saya akan buat carian di internet tempat hidupan liar dan burung.
  
"Hasil carian saya mendapati ada banyak burung flamingo di taman perlindungan ini dan saya terus buat rancangan mesti datang ke sini apabila saya ke Dubai," beliau memberitahu penulis.
  
Beliau yang bertugas di New Delhi, India, begitu teruja dengan RAWKS dan menyifatkannya lokasi yang paling baik untuk mengambil gambar burung flamingo.
  
"Tempat pemerhatian ini sudah cukup bagus untuk kita melihat burung-burung itu tanpa menganggu rutin harian mereka.
  
"Bagi jurugambar dan peminat burung, kesempatan melihat aktiviti memberi makan ini satu kesempatan yang sungguh mengasyikkan.
  
"Tempat ini pun begitu strategik. Kita boleh melihat panorama yang cantik di samping peluang melihat dengan lebih dekat burung flamingo," kata Saurendra.

Usaha yang patut dipuji

Jason dan Saurendra memuji usaha kerajaan Dubai dalam melindungi hidupan liar serta mewujudkan RAWKS.
  
"Bagi saya usaha ini adalah yang terbaik untuk Dubai. Marina yang ada buatan manusia tetapi Ras Al Khor (RAKWS) ini semulajadi.
  
"Buat seseorang yang telah bertahun-tahun tinggal di kota besar ini dan melihat kepesatan pembangunannya, usaha Dubai untuk memulihara persekitaran alam semulajadinya adalah lebih hebat daripada membina Burj Khalifa," tambah Jason.
  
Burj Khalifa (sebelum ini dikenali sebagai Burj Dubai) adalah sebuah bangunan pencakar langit di Downtown Dubai dan bangunan tertinggi dunia buat masa ini. - Bernama