Pages

Tuesday, November 11, 2014

Tiga kru ISS pulang ke Bumi



AFP - KRU ISS yang terdiri daripada Gerst (kiri), Surayev (tengah) dan Wiseman berehat selepas mendarat semalam.


ASTANA – Seorang kosmonaut veteran Rusia dan dua kru Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), masing-masing dari Amerika Syarikat (AS) dan Jerman pulang ke Bumi menaiki kapal angkasa Soyuz yang mendarat di Kazakhstan kelmarin sekali gus menamatkan misi lima setengah bulan di orbit.
Kosmonaut Agensi Angkasa Lepas Rusia, Maxim Suraev yang juga merupakan komander ISS sepanjang misi berkenaan berada di dalam Soyuz bersama angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Reid Wiseman dan jurutera penerbangan Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), Alexander Gerst. Kapal angkasa itu meninggalkan ISS pada pukul 7.31 petang waktu Kazakhstan.
Kapal angkasa itu mendarat di padang Steppe di timur laut bandar Arkalyk, tiga setengah jam kemudian.
Pasukan penyelamat kemudian bergegas membantu Suraev, Wiseman dan Gerst keluar dari kapsul mereka.
“Adalah menjadi penghormatan dan keistimewaan untuk tinggal selama 165 hari di sini (ISS). Akhir kata, saya tidak sabar untuk pulang,” ujar Wiseman pada majlis penyerahan tugas yang disiarkan secara langsung dari ISS oleh stesen televisyen NASA.
Dua kosmonaut Rusia lain dan komander baharu ISS, angkasawan Barry Wilmore akan kekal di stesen berkenaan yang berada pada ketinggian 418 kilometer dari Bumi dan menelan belanja AS$100 bilion (RM334 bilion) untuk dibina.
Stesen angkasa lepas itu yang bertukar-tukar kakitangan sejak 2 November, 2000, dimiliki dan dikendalikan bersama oleh 25 buah negara. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3IiKgExJB 
Hakcipta terpelihara 

No comments: