Robert O’Neill, Identiti The Shooter terbongkar
NAMA bekas anggota komando Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) ini tiba-tiba menjadi sebutan selepas portal berita Mail Online membongkar identitinya yang didakwa dia menembak mati pemimpin al-Qaeda, Osama Laden pada Mei 2011.

Bagaimanapun, pendedahan itu dikatakan bercanggah dengan kenyataan sumber daripada pasukan elit SEAL dan kini mencetuskan persoalan sama ada Robert O’Neill, 38, adalah individu bertanggungjawab yang membunuh Osama atau sebaliknya.

Sertai lebih 400 misi tempur

Robert O’Neill dilahirkan pada 1976 dan berasal dari Butte, Montana.

O’Neill dikatakan gemar menghabiskan masa memburu haiwan liar seperti beruang dan rusa sebelum menyertai SEAL ketika berumur 19 tahun.

Dia pernah terlibat dengan lebih 400 misi tempur termasuk di zon perang sepanjang berkhidmat selama 16 tahun bersama unit elit tersebut.

Pada 2005, O’Neill diberi tanggungjawab untuk menyelia Operasi Sayap Merah untuk mengesan tempat persembunyian komander kanan Taliban, Ahmad Shah di Afghanistan.

Namun, misi itu gagal kerana tiga daripada empat anggota SEAL terbunuh manakala helikopter yang dihantar untuk membantu mereka juga ditembak jatuh, sekali gus mengorbankan 16 tentera termasuk lapan anggota unit khas.

Pada April 2009, O’Neill terlibat dalam misi menyelamat kapten kapal Maersk Alabama yang menjadi mangsa penculikan lanun Somali.

Kira-kira dua tahun kemudian, anggota berpengalaman itu kembali menyertai misi sulit bersama pasukan SEAL, Team Six di Abbottabad, Pakistan yang diterbangkan khas dari Afghanistan dalam usaha untuk memburu Osama.


Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan diberkas dalam insiden berbalas tembakan selama 40 minit itu.

Buat pendedahan eksklusif

Sebelum ini, bekas anggota SEAL ini pernah membuat pendedahan dalam beberapa wawancara berhubung penglibatannya dalam operasi membunuh Osama pada 2 Mei 2011.

Dia turut menggunakan nama samaran The Shooter ketika diwawancara majalah Esquire pada tahun lalu.

Menurutnya, dia telah melepaskan tiga das tembakan pada jarak dekat di dahi Osama sejurus menyerbu masuk ke kamar tidurnya.

Bagaimanapun, sumber SEAL mendakwa O’Neill hanya mencederakan pemimpin al-Qaeda itu dengan satu das tembakan dan tugas tersebut telah diselesaikan oleh dua lagi anggota Team Six.

Pada minggu lalu, identitinya didedahkan portal Mail Online selepas dia dilaporkan akan berkongsi pengalaman tersebut dalam wawancara The Man Who Killed Osama bin Laden bersama Fox News.

Sebelum ini, O’Neill pernah memberitahu akhbar Washington Post bahawa dia telah membuat keputusan untuk mendedahkan identitinya menjelang pembukaan Muzium Memorial Kebangsaan 11 September.

Beliau nekad membuat pendedahan berani itu selepas bersara empat tahun lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Beberapa sumber rapat dengan O’Neill mendedahkan dia membuat keputusan tersebut kerana kecewa dengan layanan yang diberikan tentera AS kepada anggota veteran sepertinya.

Selepas meninggalkan SEAL, O’Neill kini bergiat aktif sebagai penceramah motivasi dan turut berkongsi pengalaman hidupnya bersama masyarakat.