Pages

Monday, September 29, 2014

Gunung berapi meletup: 4 maut


PASUKAN Pertahanan Jepun membantu menarik pendaki yang cedera dalam insiden gunung berapi Ontake meletus, naik ke atas helikoter untuk dihantar ke hospital berdekatan, semalam. - REUTERS
TOKYO 28 Sept. - Sekurang-kurang empat orang pendaki disahkan terbunuh, manakala 30 yang lain ce­dera dalam kejadian gunung berapi meletup petang semalam.
Pasukan penyelamat bertungkus lumus mengeluarkan mayat pendaki berdekatan puncak Gunung Ontake setinggi 3,067 meter di tengah Jepun.
"Seramai empat daripada 31 pendaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia, kesemua mereka adalah lelaki," kata seorang saksi kepada saluran NHK.
Pasukan polis daerah Nagano berkata, maklumat lengkap tentang lokasi mangsa itu ditemui, hari ini dan identiti mereka masih tidak diketahui.
Beberapa buah helikopter tentera dikerah mengeluarkan tujuh daripada mangsa itu di sebuah kawasan pergunungan di tengah Jepun hari ini selepas sebuah gunung berapi meletus, semalam.
Seramai 550 orang anggota tentera, polis dan penyelamat turut dihantar untuk mencari mang­sa yang cedera dan terkandas di gunung berkenaan.
Gunung Ontake meletus pagi semalam, memuntahkan asap tebal dan gas ke udara serta menyelubungi kawasan sekitarnya dengan debu panas.
Seramai 250 orang dipercayai terperangkap di beberapa kawasan cerun di pergunungan itu, namun kebanyakan mereka berjaya turun dari gunung tersebut pada malam semalam.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran Jepun berkata, sekurang-kurangnya 34 pendaki didapati cedera termasuk 12 da­ripada mereka cedera parah.
- AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_05/Gunung-berapi-meletup-4-maut#ixzz3EeH32W95
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: