Pages

Monday, September 29, 2014

Labi-labi berkepala dua ditemui di AS


IMEJ menunjukkan anak labi-labi berkepala dua yang ditemui di Amerika Syarikat, semalam. - AGENSI
AUGUSTA, Amerika Syarikat, 28 Sept - Seorang wanita di Maine menemui seekor anak labi-labi berkepala dua yang cuba melintas sebatang jalan di Augusta, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Akhbar Daily Mail melaporkan, Kathleen Talbot memberitahu WLBZ-TV, dia menemui anak labi-labi itu ketika dia sedang memantau sekumpulan anak labi-labi yang baharu menetas melintasi jalan raya dengan selamat.
"Pada mulanya saya sangka ia memiliki dua kaki di bahagian hadapan. Saya sangka labi-labi itu cacat.
"Saya hanya menyedari ia berkepala dua setelah membawanya pulang ke rumah dan membasuhnya. Labi-labi itu mula menggerakkan kepalanya kerana kelaparan," kata wanita itu.
Stesen televisyen itu melaporkan reptilia itu kemudian diberi nama Frank dan Stein.
"Saya telah belikan reptilia itu makan pelet dan saya tidak pasti sama ada ia menyukainya atau tidak. Namun, labi-labi itu suka makan cacing, lalat dan burger daging.
"Saya bukan berniat mahu memeliharanya, namun sekadar membantu memberi permulaan hidup yang baik untuknya. Mungkin saya akan hantarnya ke Aquarium New England atau tempat lain," kata Talbot kepada akhbar Bangor Daily News, yang mendakwa labi-labi yang dijumpainya itu kini mampu makan dengan menggunakan kedua-dua kepalanya.
Seorang Pakar Biologi Hidupan Liar daerah, Derek York berkata, dia pernah membaca mengenai situasi seperti ini sebelum ini.
"Apa yang penting tentang labi-labi berkepala dua ini ialah anda perlu berhati-hati dan pastikan ia tidak lemas.
"Haiwan itu mudah tersangkut jika terbalik dan tidak mampu membetulkan kedudukannya kembali berbanding dengan labi-labi berkepala satu," katanya, sambil menambah kata, labi-labi berkepala dua tidak hidup lama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_10/Labi-labi-berkepala-dua-ditemui-di-AS#ixzz3EeGYy4Yy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: