Muhammad Ali
Muhammad Ali
Muhammad Ali
Muhammad Ali
Muhammad Ali
Muhammad Ali
MINGGU lalu, dunia dikejutkan dengan kenyataan kesihatan bekas petinju heavyweight dunia, Muhammad Ali, 71, dikatakan merosot dan sedang nazak.

“Beliau dalam keadaan tenat dan sangat sakit. Beliau mungkin bertahan beberapa bulan ini, mungkin juga beberapa hari ini tetapi saya tidak tahu sama ada beliau mampu bertahan sehingga musim panas ini, hanya Tuhan saja yang tahu,” kata adiknya, Rahman Ali kepada media The Sun.

Namun, dakwaan itu disangkal ahli keluarganya selepas anaknya memuat naik gambar terbaru petinju dunia itu di laman sosial Twitternya sedang duduk di kerusi memakai kemeja-T Lewis Ray.

Siapa tidak kenal dengan petinju handalan dunia yang bermulut celupar ini? Nama sebenar beliau adalah Cassius Marcellus Clay dan dilahirkan pada 17 Januari 1942 di Louisville, Kentucky Amerika Syarikat (AS). Ketika zaman kanak-kanak beliau sering didiskriminasi
kerana berkulit gelap.
Pada umur 12 tahun, ketika basikalnya dicuri, beliau memberitahu pegawai polis, Joe Martin, bahawa dia mahu mengalahkan pencuri itu.

“Lebih baik anda belajar cara untuk melawan sebelum anda mula mencabar orang lain,” kata Martin ketika itu.

Bermula dari saat itu semangatnya bagaikan dibakar apabila Martin melatihnya untuk bertinju di gimnasium tempatan.Beliau kemudiannya menyertai pertandingan tinju amatur pada 1954 dan memenangi pertandingan itu dengan keputusan juri.

Pada 1956, beliau meraih kemenangan Golden Gloves kategori heavyweight dan tiga tahun kemudian, beliau diiktiraf Kesatuan Olahraga Amatur dalam kategori sama.

Beliau berkahwin sebanyak empat kali dan dikurniakan tujuh anak perempuan dan dua anak lelaki. Perkahwinan pertamanya dengan Sonji Roi pada 1964 hanya bertahan selama dua tahun apabila wanita itu diceraikan kerana tidak mahu mengamalkan cara hidup Muslim.

Pada 1967 beliau melamar Belinda Boyd atau nama Islamnya  Khalilah Ali. Mereka dikurniakan Maryum, 45, kembar Jamillah dan Rasheda, 43, serta Muhammad Ali Jr yang kini berusia 41 tahun.
Kehidupannya berubah pada 1975 apabila media mendedahkan beliau mempunyai skandal hingga mempunyai seorang anak perempuan luar nikah dengan aktres juga model Veronica Porsche.

Selepas kisah itu tersebar beliau menikahi Porsche dan dikurniakan anak kedua  bernama Laila, 36, yang kini aktif dalam sukan tinju.

Namun, pada 1986, beliau dan Veronica mengambil keputusan untuk bercerai kerana tiada persefahaman dan pada tahun yang sama juga beliau berkahwin dengan Yolanda Lonnie Williams dan mempunyai seorang anak Asaad Amin dan mengambil seorang anak angkat Amin.

Ketika beliau menginap di Cherry Hill, New Jersey pada 1970an beliau mempunyai dua lagi anak Miya dan Khaliah yang terhasil daripada hubungan sulitnya.
Emas Olimpik

Pada 1960, Ali tersenarai sebagai wakil AS bagi Sukan Olimpik di Itali. Sepanjang aksinya di gelanggang, beliau terkenal dengan sikap suka 'mengejek' lawannya. Beliau menggunakan taktik itu ketika menewaskan petinju Poland, Zbigniew Pietrzkowski sekali gus menghadiahkan emas pertama buat AS.

Kejayaannya berulang pada kejohanan Henry Cooper pada 1964 apabila merampas gelaran juara dunia daripada Sonny Liston.

“Terbang seperti rama-rama, menyengat seperti lebah” itu antara kata-kata semangatnya setiap kali berhadapan dengan pihak lawan.

Ketika berada di puncak kejayaan, beliau merasakan kehidupannya kurang lengkap tanya pegangan agama. Lantas, beliau memutuskan untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup dan menyertai kumpulan Islam berkulit hitam pada 1964.

Pada mulanya, beliau memilih nama Cassius X namun menukar  namanya kepada Muhammad Ali. Dua tahun kemudian, beliau dikenakan tindakan undang-undang AS kerana keengganan menyertai pasukan tentera AS yang ketika itu sedang membuat persiapan dalam mengharungi Perang Vietnam.
“Saya seorang Muslim dan saya tidak boleh membunuh,” itulah kata-katanya kepada Menteri Pertahanan AS ketika itu.

Pada 1967, beliau dihadapkan ke mahkamah kerana mengabaikan arahan kerajaan AS untuk misi Perang Vietnam terbabit.

Namun nasib menyebelahinya apabila keputusan mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah.Tetapi Persatuan Tinju AS melucutkan gelaran juara dunia dan beliau digantung daripada terlibat dalam sukan itu selama tiga setengah tahun.
Kemunculan semula ke arena

Pada 1970, beliau turun semula ke gelanggang dan meraih kemenangan mudah selepas menyingkirkan Jerry Quarry di Atlanta.

Tahun berikutnya, Ali bertarung dengan Joe Frazier yang disifatkan sebagai pertarungan sengit dalam sejarah tinju dunia. Perlawanan itu digelar Fight of the Century apabila kedua-dua petinju bertarung dalam 15 pusingan sebelum Frazier menjatuhkannya.

Keputusan ketika itu terpaksa ditentukan oleh juri perlawanan dan kemenangan berpihak kepada Frazier.
Kurang berpuas hati dengan keputusan juri,  Muhammad Ali nekad bertarung semula dengan Frazier pada 1974. Pertarungan itu digelar Rumble in the Jungle, diadakan di Kinshasa, Zaire dan kejayaan memihak kepada beliau sekali gus merampas semula gelaran juara dunia.

Pertarungan paling sukar beliau juga terjadi pada 1975 apabila sekali lagi berhadapan dengan musuh tradisinya Joe Frazier di Quezon City, Filipina,

Perlawanan itu berlangsung lebih 14 pusingan dengan kemenangan memihak kepada beliau.

Namun, pertengahan era 70-an prestasi beliau merosot apabila dikalahkan oleh Leon Spinks pada 1978 dan tersingkir awal ketika perlawanan Larry Holmes pada 1980. Pada 1981, gelaran juara heavyweight dunia dirampas Trevor Berbick sekali gus beliau mengumumkan untuk  persaraan dari dunia sukan tinju antarabangsa.
Selepas bersara, beliau menghabiskan masa dengan kerja amal sehinggalah pada 1984 beliau disahkan menghidapi Parkinson.

Namun, beliau tetap aktif menyumbang  jasa dalam Tabung Sukan Olimpik Khas dan Make a Wish Foundation. Beliau juga membuka Pusat Muhammad Ali di kampung halaman di Louisville, Kentucky.
Pada 1998, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memilih beliau sebagai duta keamanan kerana jasanya dalam pembangunan manusia sejagat dan pada 2005, Ali menerima Pingat Presiden Kebebasan dari Presiden George W Bush.