Perjanjian damai Israel-Palestin mustahil
Beberapa aktivis Palestin turut ditahan dalam operasi di Yatta, selatan Tebing Barat, semalam.
TEL AVIV - Bekas Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, semalam memberitahu perjanjian damai secara kekal bersama Palestin sememangnya mustahil untuk dilaksanakan.
Kenyataan angkuh Lieberman yang disiarkan semasa wawancara bersama stesen TV, Channel 2 itu dilihat akan meningkatkan lagi ketegangan antara dua negara selepas rundingan damai tertangguh sejak lebih dua tahun lalu.

Sekutu perdana menteri, Benjamin Netanyahu yang memimpin parti sayap kanan, Yisrael Beiteinu tersebut berkata, konflik Israel-Palestin itu tidak boleh diselesaikan dengan mudah kononnya kerana Palestin tidak faham dengan maksud keamanan komprehensif.

"Jalan penyelesaian terbaik hanya dengan cara menangani konflik tersebut," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, tentera Israel sekali lagi bertindak mengusir kira-kira 100 aktivis Palestin yang mendirikan khemah berhampiran bandar Hebron di selatan Tebing Barat dalam operasi kelima sejak bulan lalu.

Difahamkan, kesemua aktivis itu melakukan protes tersebut sebagai bantahan terhadap projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang pernah dituntut Palestin untuk membentuk sebuah negara. - Reuters