Pages

Sunday, December 2, 2012

Laluan ke lapangan terbang di Damsyik ditutup




DUA lelaki mendukung mayat seorang kanak-kanak perempuan yang maut akibat bedilan udara tentera kerajaan berhampiran Damsyik, Syria, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 30 Nov. - Tentera Syria semalam meningkatkan serangan ke atas pemberontak dengan menutup laluan ke lapangan terbang antarabangsa di sini, ketika perkhidmatan telekomunikasi di seluruh negara ini tidak berfungsi.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria menyatakan, tentera menyerang kubu kuat pemberontak di beberapa bandar di lebuh raya dan berdekatan lapangan terbang antarabangsa tersebut.
Pertempuran itu berlaku selepas perkhidmatan internet di seluruh Syria tidak berfungsi menyebabkan syarikat penerbangan, EgyptAir dan Emirates membatalkan penerbangan ke Damsyik.
Media rasmi melaporkan beberapa anggota bersenjata pemberontak, Barisan al-Nusra dibunuh di bandar Aqaba.
Kementerian Pertahanan Austria memberitahu, dua askarnya yang berkhidmat dengan pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Golan Heights cedera ditembak ketika konvoi mereka bergerak ke lapangan terbang Damsyik tersebut.
"Mereka berdua yang cedera ringan dalam kejadian itu dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke Austria selepas selesai menjalankan tugas di Syria,'' kata kementerian itu di Vienna.
Jurucakap kementerian itu berkata, tidak dapat dipastikan mereka cedera ditembak oleh tentera Syria atau pemberontak.
Dalam pada itu, aktivis memberi amaran, perkhidmatan komunikasi yang terputus membawa maksud serangan ketenteraan akan dilancarkan.
Pengguna di Damsyik berkata, perkhidmatan internet dan telefon bimbit tidak boleh digunakan dengan penyedia perkhidmatan tersebut menyatakan berlaku masalah teknikal. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121201/lu_04/Laluan-ke-lapangan-terbang-di-Damsyik-ditutup#ixzz2DsT29Kj2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments: