Pages

Wednesday, September 5, 2012

Pangkalan AS sasaran Iran




         
BEIRUT: Iran mungkin menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan Israel ke atas kemudahan nuklearnya.

Setiausaha Agung Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan, Sayed Hassan Nasrallah berkata semalam, Iran akan melancarkan serangan itu meskipun tentera Amerika tidak memainkan sebarang peranan dalam serangan yang dilakukan Israel.


“Satu keputusan sudah diambil untuk bertindak balas dan ia akan dilakukan secara besar-besaran. Tindak balas itu bukan setakat dalam wilayah Israel, malah pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh rantau ini akan menjadi sasaran Iran,” katanya. Retorik di Israel yang semakin meningkat mengenai aktiviti nuklear Iran yang menurut Barat menjadi sebahagan daripada program senjata Republik Islam itu, meningkatkan spekulasi bahawa rejim Zionis itu mungkin menyerang Iran sebelum pilihan raya Amerika Syarikat November ini.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin menggesa kuasa dunia menetapkan ‘garis jelas’ bagi meyakinkan Iran bahawa mereka akan menghalangnya daripada memperoleh senjata nuklear.


Israel yang dipercayai menjadi satu-satunya negara di Asia Barat yang mempunyai senjata nuklear melihat program nuklear Iran sebagai ancaman kepada penguasaannya di rantau itu dan terhadap kewujudannya.


Sayed Hassan berkata, terdapat perbezaan pendapat mengenai rancangan menyerang Iran.

“Secara peribadi saya tidak yakin Israel akan menyerang Iran dalam masa beberapa bulan akan datang atau dalam masa terdekat ini,” katanya.


Menurutnya, ini kerana keadaan ekonomi global yang rapuh, yang akan terus lemah akibat daripada sebarang peningkatan mendadak harga minyak mentah akibat daripada konflik di Teluk dan juga kemungkinan jumlah kematian yang besar di Israel jika perang meletus dengan Iran.

“Netanyahu dan Ehud Barak (Menteri Pertahanan Israel) membesar-besarkan ganjaran tetapi enggan mendedahkan kesan yang akan dihadapi sekiranya perang meletus,” kata Sayed Hassan, merujuk kepada anggaran Barak bahawa hanya 500 orang akan terbunuh dalam konflik yang bertujuan memusnahkan kemudahan nuklear Iran. - Reuters

No comments: