Pages

Wednesday, September 5, 2012

Bashar temui Ketua Palang Merah



BASHAR (kiri) menemui Maurer di Damsyik semalam.


BEIRUT - Ketua pertubuhan Palang Merah Antarabangsa, Peter Maurer semalam menemui Presiden Syria, Bashar Al-Assad di Damsyik.
Mereka membincangkan situasi kemanusiaan yang semakin merosot ekoran pergolakan yang berlaku di negara tersebut.
Dalam pertemuan selama 45 minit itu, Maurer meminta Bashar untuk menunjukkan sikap menghormati undang-undang kemanusiaan.
Maurer juga meminta Bashar membantu pertubuhannya menghulurkan bantuan penduduk yang memerlukan bantuan di Syria.
"Pertemuan itu menumpukan semua isu-isu kemanusiaan dan perlindungan ke atas orang awam," kata jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Rabab Rifai kepada agensi berita dpa.
Selepas pertemuan itu, Maurer melawat kawasan Mazamiyeh di Damsyik.
Beliau turut melawat stesen perubatan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria.
Maurer juga mengunjungi sebuah sekolah yang menempatkan penduduk awam yang kehilangan tempat tinggal.
Stesen televisyen negara itu menyatakan, Bashar memberitahu Maurer bahawa beliau menyokong kerja-kerja ICRC di Syria.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan ICRC telah menyediakan bantuan kepada lebih 800,000 orang dan membantu satu juta penduduk memperoleh air bersih.
Pertempuran di negara itu masih berterusan di kawasan utara dan dekat sempadan Syria di Lebanon.
Para aktivis yang menentang kepimpinan Bashar dan berpangkalan di Lebanon melaporkan 40 orang mati di seluruh negara semalam.
Mereka menyatakan, bunyi bedilan boleh didengar di sempadan manakala asap hitam meliputi kawasan Zabadani di Syria.
Di Aleppo, para pemberontak yang menentang tentera Bashar mendakwa mereka berjaya merampas beberapa pelancar roket daripada askar-askar.
Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu apabila penduduk bangkit menentang kepimpinan Bashar yang didakwa gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan hak asasi manusia.
Sebahagian penduduk turut menuntut Bashar meletakkan jawatan.
Lebih 20,000 orang dilaporkan mati dalam pergolakan di negara berkenaan.
Sementara itu, kira-kira 100,000 pelarian melarikan diri dari Syria pada Ogos lalu, kata sebuah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam. - Agensi

No comments: