Pages

Monday, September 10, 2012

71 bangunan rosak akibat gempa bumi di Bogor


JAKARTA 9 Sept. - Gempa bumi berkekuatan 4.8 pada skala Richter yang menggegarkan kawasan Bogor pada Ahad mengakibatkan 71 bangunan rosak setakat ini.
Kejadian pada 1.27 pagi itu, yang berpusat di 31 km ke barat daya daerah Bogor mengakibatkan berlaku gegaran kuat sehingga dirasakan sampai ke Taman Nasional Gunung Halimun Salak Sukabumi.
"Daripada data yang diperoleh, sampai sekarang ada 71 unit bangunan yang rosak terdiri daripada rumah penduduk, madrasah dan perkumpulan agama Islam, kesemua bangunan berkenaan rosak ringan," kata jurucakap bahagian penguat kuasa Majlis Daerah Kabandungan, Nurdin Sopiyan kepada wartawan, pada Ahad.
Nurdin berkata data awal mengenai kerosakan itu dilaporkan oleh empat desa iaitu Desa Tugu Badak, Cihamerang, Cipeutey dan Kabandungan.
Sementara itu, Ketua Kampung Cipeutey, Ujang Supriatna berkata kerosakan paling teruk berlaku pada saluran pengairan Sabilulungan, yang boleh menyebabkan aliran air ke 72 hektar tanah pertanian terganggu, lebih-lebih lagi pada musim kemarau sekarang.
"Kami percaya bilangan bangunan rumah yang rosak akan terus bertambah apabila proses pengumpulan data selesai dijalankan," kata Ujang.
Beliau berkata gegaran gempa itu sangat kuat sehingga ramai penduduk keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
"Kami pun sampai sekarang masih bersiaga kerana bimbang ada gempa susulan," katanya. - BERNAMA

No comments: