Pages

Thursday, July 19, 2012

Pemberontak semakin agresif



BEBERAPA wartawan menunggu di luar lokasi serangan bom berani mati di bangunan Keselamatan Nasional di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Abang ipar Presiden Syria, Bashar Al-Assad, Assef Shawkat terbunuh dalam serangan bom berani mati, menurut sebuah stesen televisyen semalam.
Shawkat yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan bekas ketua perisikan tentera merupakan antara ketua keselamatan kanan Syria.
Beliau berkahwin dengan kakak Bashar, Bushra.
Turut terkorban dalam letupan tersebut adalah Menteri Pertahanan, Dawoud Rajha.
Stesen televisyen rasmi Syria melaporkan, pengebom berani mati itu melancarkan serangan ke atas bangunan Keselamatan Nasional di sini semasa satu mesyuarat melibatkan menteri Kabinet dan pegawai kanan keselamatan berlangsung.
Dalam perkembangan berkaitan, dua kumpulan pemberontak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut yang meragut nyawa beberapa pegawai kanan Syria dan mencederakan sebahagian lagi.
Kumpulan pemberontak Liwa Al-Islam atau Briged Islam dalam satu kenyataan di laman Facebook memberitahu, pihaknya menjadikan bilik kawalan krisis di dalam bangunan tersebut sebagai sasaran serangan berkenaan.
Selain Liwa Al-Islam, Tentera Pembebasan Syria (FSA) turut mengaku mendalangi serangan tersebut.
"Inilah letusan gunung berapi yang kami katakan, kami baru bermula," kata seorang jurucakap FSA, Qassim Saadedine.
Pemberontakan menentang kepimpinan Bashar bermula sejak Mac lalu.
Menurut pihak berkuasa Maghribi, 20,000 orang telah terbunuh ekoran pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar.
Kelmarin, FSA menyatakan usaha membebaskan ibu kota Damsyik daripada cengkaman tentera Bashar telah bermula.
Sementara itu, Setiausaha Luar Britain, William Hague menyatakan serangan pengebom berani mati itu menunjukkan satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diperlukan untuk menamatkan krisis di Syria.
Perancis turut mengutuk Bashar kerana masih berkeras untuk memegang jawatan ketika situasi di negaranya semakin buruk.
Jurucakap Kementerian Luar Perancis, Bernard Valero berkata, Bashar perlu memahami bahawa perjuangannya untuk mengekalkan kuasa adalah sia-sia.
- Agensi

No comments: