Pages

Saturday, July 14, 2012

AS kerah kapal selam robot

WASHINGTON: Amerika Syarikat menempatkan beberapa kapal selam robot di Teluk bagi menghalang Iran menutup Selat Hormuz dengan memasang periuk api sekiranya krisis meletus.
Dron ‘Seafox’ itu ditempatkan di kawasan yang menjadi tanggungjawab Armada Kelima yang termasuk Teluk Parsi dan Laut Arab, kata seorang pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat, mengesahkan laporan yang disiarkan akhbar Los Angeles Times.

Dron bawah laut itu, kira-kira 1.2 meter panjang yang dilengkapi kamera dan sonar, dikendalikan menggunakan kabel dari sebuah kapal.
Syarikat Jerman, Atlas Electronik berkata, dron berkenaan mampu bergerak sejauh 1,000 meter dan membawa bahan letupan untuk memusnahkan periuk api.

Menurut seorang pegawai tentera Amerika, dron ‘SeaFox’ itu akan ditempatkan pada kapal pemusnah periuk api di Teluk Parsi. Kebimbangan mengenai kemungkinan Iran menutup Selat Hormuz, tempat laluan kira-kira seperlima daripada perdagangan minyak dunia, semakin meningkat awal tahun ini selepas Teheran mengancam menutupnya jika Barat terus mengenakan tekanan terhadap program nuklearnya dengan mengenakan sekatan ke atas eksport minyak negara itu.

Sebagai tindak balas, Washington mengukuhkan kehadiran tenteranya di rantau itu.
Ia menghantar empat kapal pemusnah periuk api pada awal Jun sebagai tambahan kepada empat yang sedia ada.

Tentera Laut Amerika juga mempunyai helikopter Sea Stallion MH-53 dan USS Ponce, kapal perang lama yang diubahsuai menjadi pangkalan terapung dan ditempatkan di Bahrain, tempat terletaknya ibu pejabat Armada Kelima.
Pada hujung April lalu, satu skuadron jet pejuang stealth F-22 dikerah ke Pangkalan Udara Al-Dhaafra di Emiriah Arab Bersatu.

Iran mempunyai kira-kira 2,000 periuk api yang boleh dipasang oleh mana-mana daripada 12 kapal selam atau bot lajunya. - AFP

No comments: