Pages

Saturday, July 14, 2012

220 maut di Treimsa, Syria



SEORANG mangsa cedera dalam keganasan tentera Syria di Kampung Treimsa kelmarin.



BEIRUT – Seramai 220 maut kebanyakan orang awam terbunuh di Kampung Treimsa, tengah Syria apabila beberapa helikopter dan kereta kebal serta sekumpulan lelaki bersenjata membunuh sejumlah keluarga, menurut sumber kumpulan pemberontak semalam.
Ketua Pemantau Syria Untuk Hak Asasi yang menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad, Rami Abdel Rahman menyatakan tentera pemerintah dan askar-askar separa tentera membunuh penduduk di kampung tersebut.
Pasukan misi pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dalam laporannya bahawa serangan di kampung tersebut merupakan operasi Tentera Udara Arab Syria.
Kampung itu terletak dalam wilayah Hama.
Seorang aktivis Rangkaian Berita Sham menyatakan kebanyakan yang terbunuh itu ialah anggota pemberontak dalam serangan yang berlaku kelmarin.
Sementara itu, White House semalam menyatakan ‘kekejaman’ di Syria oleh tentera Bashar itu sepatutnya menghapuskan sebarang keraguan tentang perlunya satu tindak balas antarabangsa.
Jurucakap White House, Josh Earnest memberitahu para pemberita dalam pesawat Air Force One bahawa keganasan yang dilakukan berulang kali itu terhadap penduduk awam menunjukkan Bashar kehilangan kelayakan untuk mengetuai Syria.
Di Geneva, Switzerland, Utusan Khas Keamanan PBB dan Liga Arab, Kofi Annan turut mengutuk pemerintah Syria ekoran kejadian pembunuhan itu.
Annan mendakwa pemerintah Syria melanggar rancangan pelan damainya ekoran kejadian tersebut. – Agensi

No comments: