Pages

Monday, June 25, 2012

Turki mahu Nato bertindak

DAMSYIK: Turki semalam menggesa Nato bertemu selepas Syria didakwa menembak jatuh satu daripada jet tenteranya di ruang udara antarabangsa.
Menteri Luar, Ahmet Davutoglu, juga mengingatkan jirannya di selatan itu supaya tidak mencabar tentera Turki, ketika Britain - satu daripada anggota Nato - menawarkan sokongan terhadap tindakan “tegas” antarabangsa.

Menurut Ahmet, Turki mendapati jet mereka ditembak jatuh 13 batu nautika dari Syria ketika berada di ruang udara antarabangsa. “Syria sedar ia adalah pesawat tentera Turki dan misinya,” katanya kepada stesen televisyen TRT, semalam. Kata Ahmet, tiada mana-mana pihak patut menguji keupayaan tentera Turki. Setiausaha Luar Britain, William Hague, pula berkata rejim Presiden Bashar al-Assad tidak wajar membuat silap dengan mempercayai mereka mampu bertindak tanpa dikenakan hukuman.
“Mereka akan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka,” katanya. Hague berkata, Britain sedia menyokong usaha tindakan tegas di Majlis Keselamatan PBB.

Sementara itu, sumber diplomatik berkata, Ankara menggesa Nato mengadakan pertemuan selepas mengesahkan pesawat mereka ditembak jatuh.

Katanya, pertemuan itu akan diadakan lusa. Damsyik pula mendakwa, mereka menembak pesawat F-4 Phantom pada Jumaat selepas ia menceroboh ruang udara Syria. Turki mengakui mungkin jet berkenaan bertindak begitu, tetapi mengubah pendiriannya menjadi lebih tegas semalam. - AFP

No comments: