Pages

Monday, June 25, 2012

Bas terbalik lapan maut, 44 cedera

KEADAAN bas yang remuk setelah terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan lapan maut di Gospic, Croatia kelmarin.



ZAGREB, Croatia - Lapan orang maut dan sekurang-kurangnya 44 orang cedera apabila sebuah bas dari Republik Czech yang membawa lebih 50 penumpang merempuh halangan berhampiran sebuah terowong di sini kelmarin.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan) di sebatang jalan raya yang menuju ke satu destinasi pelancongan terkenal di bandar Adriatic, Split.
"Sebuah bas dengan nombor pendaftaran Republik Czech merempuh halangan keselamatan dan terbalik dekat terowong di Sveti Rok, 230 kilometer dari Zagreb," kata Direktorat Penyelamat dan Perlindungan Nasional.
Media tempatan melaporkan, tujuh mayat mangsa ditemui, sementara mangsa kelapan dikeluarkan tidak lama kemudian daripada bangkai bas.
Duta Republik Czech ke Croatia, Karel Kuhnl dipetik akhbar Jutarnji List sebagai berkata, pemandu bas maut dalam kemalangan itu. Sementara pembantunya cedera dan dimasukkan ke hospital.
"Semasa kemalangan, semua penumpang sedang tidur," kata Kuhnl.
Menurut pasukan penyelamat, mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital berhampiran bandar Gospic. Tiga mangsa yang cedera parah iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak dibawa oleh helikopter tentera ke Zagreb.
Seorang jurucakap agensi pelancongan, Martin Vasulin berkata, semua penumpang bas merupakan warga Republik Czech. - AFP

No comments: