Pages

Tuesday, June 26, 2012

Indonesia edar kondom percuma

JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia Nafsiah Mboi mengulangi pendirian beliau bahawa kementeriannya tidak akan mengedarkan kondom percuma kepada golongan remaja dalam usaha mengelak penyebaran penyakit HIV/Aids di negara itu. 

“Kita hanya akan mengedarkan kondom di tempat tertentu seperti kawasan pelacuran, rumah urut, tempat tumpuan pelancong dan kawasan kegiatan seks berisiko tinggi,” katanya ketika bercakap pada mesyuarat dengan anggota Suruhajaya Dewan Perwakilan lX yang meminta penjelasan kenyataan beliau mahu mengedarkan kondom percuma kepada remaja.
“Kami tidak akan mengedarkan kondom percuma kepada remaja,” katanya. Timbalan Speaker Dewan Perwakilan, Pramono Agung juga mengingatkan Nafsiah semalam bahawa mempromosikan penggunaan kondom dikalangan remaja hanya akan menggalakkan mereka melakukan hubungan seks bebas.

“Ada lagi banyak perkara lain yang lebih penting perlu dilakukan seperti meningkatkan perkhidmatan di hospital dan memperluaskan skim insuran kesihatan dikalangan penduduk miskin,” kata Pramono. 

Nafsiah berkata kondom percuma akan diedarkan hanya kepada golongan miskin berisiko tinggi dan menegaskan, kerajaan tidak mahu mereka dijangkitan penyakit jangkitan seksual termasuk HIV/Aids, hanya kerana mereka tidak mampu membeli kondom. Mengenai pelajar sekolah beliau berkata, apa yang penting ialah memberi pendidikan agama dan moral kepada mereka selain pengetahuan mengenai kesihatan dan reproduktif. 

Nafsiah adalah setiauasaha kepada Suruhan Jaya Pencegahan Aids Indonesia (KPA) yang menjalankan kempen penggunaan kondom bagi menghalang penyebaran penyakit Aids di negara itu sebelum beliau dilantik sebagai menteri kesihatan awal bulan ini menggantikan bekas menterinya Endang Rahayu Sedyaningsih yang meninggal akibat barah pada 2 Mei. 
Sejurus pelantikan, aktivis Barisan Pembebasan Islam (FPI) segera menuduh Nafsiah sebagai seorang menteri liberal yang lucah.Nafsiah memberi reaksi balas melalui YouTube yang dikirimkannya pada 19 Jun dengan menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan tidak akan mengedarkan kondom percuma kepada remaja, sebaliknya kempen yang dijalankan cuma menggalakkan mereka menggunakan kondom jika melakukan hubungan seks. 

“Kita mengetahui ada kumpulan yang terbabit dengan hubungan seks berisiko. Mereka perlu diberi khidmat nasihat untuk menukar cara hidup, namun jika mereka meneruskannya kita hanya boleh menasihatkan agar mereka menggunakan kondom. Jika berdegil, mereka mungkin terbabit dengan kehamilan tidak dikehendaki, dijangkiti HIV dan penyakit jangkitan seksual lain,” katanya. – Agensi

No comments: