Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Nasib 2 rakyat Malaysia di Guantanamo
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan beliau pernah cuba mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat (AS) berhubung kes dua tahanan Malaysia di Guantanamo.

Bagaimanapun menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai banyak maklumat mengenai penglibatan Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep dalam serangan pengganas seperti didakwa AS, dan PDRM juga tidak dapat bertemu dengan kedua rakyat Malaysia itu.

“Saya pernah ke AS untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI) mengenai kes ini pada Oktober 2009. Memandangkan mereka (Farik dan Nazir) telah terlalu lama ditahan tanpa didakwa di mahkamah, saya minta mereka dipulangkan ke Malaysia supaya siasatan dapat diambil alih oleh polis negara ini.

“Pengarah FBI pada waktu itu, John Pistole berkata beliau akan mengkaji permohonan ini dan berjanji akan melepaskan kedua-dua tahanan ini jika tiada bukti mencukupi,” katanya yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dari 2006 sehingga 2010.

Musa berkata, beliau menyerahkan laporan pertemuan itu kepada kerajaan sebelum bersara pada 2010.

Ditanya mengenai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi membantu membebaskan Farik dan Nazir daripada tahanan, Musa berkata, proses habeas corpus boleh difailkan di mahkamah AS.

Namun, katanya, kerajaan Malaysia perlu mengkaji sama ada proses ini boleh dikemukakan melalui undang-undang antarabangsa.

“Saya tidak tahu sama ada permohonan sedemikian telah dibuat oleh keluarga tahanan,” katanya yang turut mengesahkan kes itu adalah yang pertama di mana rakyat Malaysia ditahan di negara luar tanpa dibicarakan di mahkamah.


Dapatkan laporan eksklusif dalam Sinar Harian terbitan hari Isnin, 21 Mei 2012.

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: Malaysia pernah bincang dengan FBI

Pautan laporan berita berkaitan - Tahanan di Guantanamo: 'Harapan keluarga Pak Amin'

Pautan laporan berita berkaitan - 'Pulangkan anak kami'