Dicekup khalwat 4 pagi
Penguatkuasa meneliti dokumen pengenalan diri pasangan disyaki khalwat.
AMPANG - Seorang pekerja kilang dicekup khalwat dengan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Taman Muda, di sini, awal pagi semalam.
Wanita warga Indonesia berusia 22 tahun itu memberi alasan dia tidak dapat pulang ke hostel di Sungai Way selepas jam 11 malam lalu menyewa bilik hotel itu bersama kekasihnya.
Pasangan itu dicekup pada jam 4 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.
Pegawai Masjid Al-Azim Ahmad Nawi Othman berkata, selepas pintu diketuk beberapa kali, seorang lelaki berpakaian lengkap membuka pintu dan seorang wanita didapati berpakaian lengkap sedang berbaring di atas katil.
Pasangan itu gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram, namun lelaki itu memberi alasan mereka akan berkahwin dalam tempoh terdekat.
Ahmad Nawi berkata, sebanyak dua hotel bajet diperiksa dan pihaknya menahan sembilan individu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.