Pages

Monday, May 28, 2012

Lebih 13,000 terbunuh di Syria


MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di Houla diletakkan di sebuah hospital sebelum dikebumikan kelmarin.


DAMSYIK - Lebih 13,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula pada Mac 2011, kata seorang pegawai pertubuhan Pemantauan Rakyat Syria untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman semalam.
"Secara keseluruhan 13,004 orang terbunuh dengan 9,183 mangsa ialah orang awam," katanya.
Menurutnya, 3,072 yang lain merupakan askar pemerintah manakala 749 terdiri daripada pembelot dalam tentera Syria.
Keganasan di Syria kini semakin memuncak walaupun satu persetujuan gencatan senjata yang diusahakan bersama oleh Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkuat kuasa pada 12 April lalu.
"Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, seramai 1,881 telah terbunuh," ujar Abdel Rahman.
Beliau merujuk kepada siri pertempuran yang tercetus antara pemberontak dan tentera Syria serta beberapa serangan bom.
Angka kematian tersebut disiarkan sehari selepas 109 orang, satu pertiga daripada mereka kanak-kanak dibunuh di Houla, dalam wilayah Homs yang menjadi medan pertempuran antara tentera Bashar dan pemberontak.
Tegas Abdel Rahman, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan konkrit berhubung peningkatan keganasan di Syria.
Ujarnya, pelan damai PBB di bawah kelolaan bekas Setiasuaha Agung badan dunia itu, Kofi Annan adalah terlambat buat penduduk Houla.
"Mengapa pemerhati PBB tidak bergegas ke Houla sebaik sahaja serangan tidak berperikemanusiaan ini diumumkan?" soal Abdel Rahman.
"Jika dunia tidak bertindak selepas pembunuhan beramai-ramai di Houla massacre, ini ternyata satu bencana," tambahnya.
Sementara itu, pihak berkuasa Syria semalam menafikan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Houla kelmarin.
"Wanita, kanak-kanak dan warga tua telah ditembak mati. Kekejaman ini bukan dilakukan oleh tentera Syria," kata jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdesi dalam satu kenyataan di sini.
Menurut PBB, seramai 32 kanak-kanak bawah usia 10 tahun merupakan antara mangsa kekejaman tersebut.
"Kami menafikan sebarang pembabitan tentera Syria dalam pembunuhan kejam ini," tambahnya. - Agensi

No comments: