Pages

Monday, May 28, 2012

Bukti kukuh dakwa cucu Suharto

JAKARTA: Polis berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh terhadap ahli perniagaan, Ari Sigit, cucu kepada bekas Presiden Suharto yang dituduh melakukan penyelewengan dan penipuan berjumlah Rp 2.5 bilion (RM810,000). 

Ari, yang nama sebenarnya Ari Haryo Wibowo Hardjojudanto, disoal siasat Rabu lalu sebagai suspek yang dikaitkan dengan projek cari gali yang gagal di Cilegon, Banten, seliaan Krakatau Wajatama, anak syarikat Krakatau Steel.
Syarikat yang disertai Ari sebagai pesuruhjaya, Dinamika Daya Andalan (DDA), terbabit dalam projek berkenaan sebagai subkontraktor tetapi kerja tidak pernah dijalankan di sebalik bayaran pendahuluan sebanyak Rp 2.5 bilion yang diberikan oleh kontraktor utama, Rido Adi Sentosa (RAS).
“Kami ada saksi mendakwa Ari Sigit mendapat keuntungan daripada wang itu,” kata pengarah jenayah Polis Jakarta, Pesuruhjaya Kanan Toni Hermanto. 

Toni berkata, polis memperoleh gambar yang diambil apabila bayaran diberikan kepada DDA. 

“Lima orang dalam gambar berkenaan dinamakan sebagai suspek dan semuanya ketika wang bertukar tangan,” katanya. 

Ari dinamakan suspek bersama-sama beberapa pesuruhjaya DDA lain iaitu Basaruddin, Sunarno Hadi, Asrullah Arief dan Sir John. 
Peguam Ari, Bontor Tobing, berkata hujah tertumpu kepada laporan polis oleh pengarah RAS, Sutrisno. 

“Tiada bukti Ari Sigit menerima sebarang duit dibayar oleh Sutrisno kepada Sunarno Hadi,” katanya. 

Beliau berkata, DDA diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Komersil Jakarta Tengah sebelum RAS melaporkannya kepada polis. Disebabkan itu, kata Bontor, RAS sepatutnya meminta wang itu dikembalikan menerusi perbincangan dengan kurator DDA dan tidak memfailkan aduan jenayah. 

Kurator, Paulis Pase, berkata sebagai pesuruhjaya syarikat, Ari tidak perlu mengetahui semua projek yang dijalankan syarikat. – Agensi

No comments: