Pages

Monday, May 28, 2012

Iran akan bina loji nuklear baru

TEHERAN: Iran akan membina loji nuklear baru di sebelah satu-satunya logi yang dimiliki di bandar Bushehr, di selatan negara itu, seawal 2014.
“Iran akan membina loji tenaga nuklear 1,000 megawatt di Busher tahun depan,” lapor televisyen negara itu, memetik kata-kata Ketua Agensi Tenaga Atomnya, Fereydoon Abbasi Davani.

Beliau merujuk kepada kalendar tahunan Iran yang bermula pada Mac 2013 hingga Mac 2014.
Loji nuklear yang ada sekarang dibina oleh jurutera Jerman pada 1970-an, sebelum revolusi Islam dan diselesaikan oleh Russia yang masih membantu loji berkenaan berfungsi selain membekalkan bahan pembakar untuknya.

Iran juga memiliki sebuah pusat kajian reaktor di Teheran yang digunakan untuk menghasilkan isotop perubatan bagi pesakit yang menghidap barah dan penyakit lain.

Loji baru di Bushehr itu akan meningkatkan pengeluaran elektrik di Iran, antara negara paling banyak simpanan minyak di dunia.
Televisyen Iran mengumumkan rancangan berkenaan selepas rundingan antara negara itu dengan kuasa besar dunia di Baghdad pada Rabu dan Khamis lalu yang memberikan tumpuan terhadap program kontroversi nuklear Teheran.

Rundingan itu hampir gagal kerana perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak. Bagaimanapun, perjanjian akhirnyua dicapai untuk mengadakan rundingan selanjutnya pada 18 hingga 19 Jun di Moscow.
Iran menegaskan program nuklearnya bertujuan untuk keamanan dan mengeluarkan tenaga serta isotop perubatan.

Kuasa dunia - Britain, China, Perancis, Russia, Amerika Styarikat serta Jerman mendakwa program Iran juga mempunyai rancangan untuk mengeluarkan senjata nuklear dan menyokong ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa Iran mengehadkan aktiviti pengayaan uraniumnya. - AFP

No comments: