Pages

Monday, May 28, 2012

Calon dakwa penipuan dalam pilihan raya Mesir



CALON pilihan raya Presiden, Hamdeen Sabahi berucap pada satu sidang media di Kaherah kelmarin.


KAHERAH, Mesir – Tiga calon utama dalam persaingan untuk jawatan Presiden Mesir membuat aduan kepada suruhan jaya pilihan raya kerana mendakwa berlaku penipuan dalam pusingan pertama pilihan raya Presiden di negara berkenaan.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi akan berdepan dengan bekas Perdana Menteri Ahmed Shafiq dalam pusingan penentu pilihan raya tersebut.
Keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir dijangka diketahui hari ini.
Shafiq yang berada di tempat kedua selepas Morsi mendakwa, undi untuk dirinya di sebuah wilayah tidak dikira pada pilihan raya minggu lalu.
Calon ketiga, Hamdeen Sabahi pula meminta pengiraan semula undi dilakukan selepas beliau berada di kedudukan dengan perbezaan 700,000 undi.
Aduan tersebut difailkan oleh seorang lagi calon pilihan raya Presiden Mesir, Abdel-Moneim Abolfotoh kelmarin.
Abdel-Moneim menduduki tempat keempat dalam pilihan raya berkenaan.
Peguamnya menyatakan, beliau memiliki bukti bahawa undian orang yang telah mati turut dikira dalam pilihan raya itu.
Tarikh akhir untuk aduan difailkan adalah semalam sebelum pusingan penentu diadakan pada 16 dan 17 Jun depan.
Pilihan raya tersebut diadakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang mentadbir negara selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak pada awal tahun lalu.
Sekitar 50 peratus daripada 50 juta pengundi berdaftar keluar mengundi untuk memilih seorang daripada 12 calon yang bersaing pada pusingan pertama pilihan raya tersebut. – Agensi

No comments: