Pages

Thursday, March 22, 2012

Syria diambang bahaya


JAKARTA 21 Mac - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berkata, krisis di Syria memasuki tahap amat berbahaya dan membawa kesan buruk yang besar kepada dunia, ketika pertempuran di negara itu berterusan dengan dua kawasan dekat bandar Damsyik diserang dengan kereta kebal.
Ki-moon berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam mencari penyelesaian kepada krisis yang semakin berbahaya di Syria.
''Krisis ini mempunyai potensi untuk memberi kesan buruk kepada rantau itu dan dunia,'' katanya ketika berucap pada satu persidangan pertahanan, di sini hari ini.
Ki-moon dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Indonesia, lawatan pertamanya ke Asia sejak mengetuai badan dunia itu.
Sementara itu, aktivis berkata, dua kawasan di luar bandar Damsyik hari ini diserang kereta kebal selepas Tentera Bebaskan Syria menyerang tentera yang setia kepada Presiden, Bashar al-Assad.
''Bandar Harasta dan Irbin yang dirampas semula tentera Assad daripada pemberontak dua bulan lalu diserang kereta kebal dan senjata antipesawat.,'' kata aktivis berkenaan.
Tentera Assad berjaya mengawal kembali kawasan-kawasan di luar Damsyik pada Januari lalu selepas melancarkan serangan menggunakan kereta kebal selama beberapa hari menyebabkan pemberontak berundur.
Kawasan-kawasan di luar bandar itu didiami kebanyakannya penduduk Sunah, penduduk majoriti Syria yang semakin membenci pentadbiran Assad, anggota minoriti Alawiyah.
Sementara itu, Rusia yang sejak krisis Syria bermula telah memberikan sokongan kepada Assad, dilihat mula menukar pandangan mereka.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dalam satu temu bual dengan stesen radio, Kommersant-FM berkata, pihaknya mempercayai kepimpinan Syria memberikan reaksi salah pada permulaan demonstrasi aman dan kini semakin melakukan banyak kesilapan.
''Malangnya, ia telah membawa konflik ini ke tahap yang sangat teruk,'' katanya. - REUTERS/AGENSI

No comments: