Pages

Saturday, March 31, 2012

Duta AS hairan sentiasa diekori


Michael McFaul, Duta Amerika Syarikat ke Russia.
Michael McFaul, Duta Amerika Syarikat ke Russia.
Michael McFaul syak e-mel, perbualan telefon dicuri dengar di Russia

MOSCOW: Duta Amerika Syarikat ke Russia, Michael McFaul bingung bagaimana stesen televisyen prokerajaan Russia mengetahui setiap pergerakannya hingga menyebabkan beliau syak bahawa komunikasi menerusi e-mel dan perbualan telefonnya dicuri dengar.
Dalam beberapa kenyataan ringkas menerusi Twitter kelmarin, McFaul menjelaskan, beliau bertemu kru televisyen NTV ke mana saja beliau pergi.
Duta anda di negara kami bebas ke mana-mana, tiada campur tangan dalam urusannya. Anda pula bersama saya ke mana saja, ini sesuatu yang menarik persoalan. Tidakkah anda malu melakukan perkara ini? Tindakan anda memalukan negara. - McFaul apabila menjawab soalan pemberita NTV
“Menghairankan. Siapa yang memberi jadual perjalanan saya? Mereka juga tidak beritahu saya. Apa tindakan undang-undang bagi perkara seperti ini?” tulisnya.

Dalam mesej lain, beliau mempersoalkan: “Adakah mereka mempunyai hak membaca e-mel dan mendengar perbualan telefon saya?”

NTV yang dimiliki syarikat monopoli gas asli negara itu bulan ini menyiarkan dokumentari menuduh peserta bantahan antikerajaan Russia baru-baru ini adalah ejen yang mendapat upah Amerika.

Jurucakap NTV berkata, kru televisyen itu tahu ke mana saja McFaul pergi ‘menerusi maklumat daripada ramai pemberi maklumat’, lapor agensi berita Interfax. 
Kelmarin, stesen televisyen terbabit menyiarkan video mengenai McFaul dan pemberitanya berdebat sebaik duta itu tiba pada mesyuarat dengan aktivis hak asasi kemanusiaan Russia, Lev Ponomarev.

Klip selama lima minit itu menunjukkan pemberita NTV menghujani beliau dengan soalan mengenai mesyuarat itu dan ketika menjawab, McFaul bertanya mengapa mereka mengikutinya.

“Duta anda di negara kami bebas ke mana-mana, tiada campur tangan dalam urusannya. Anda pula bersama saya ke mana saja, ini sesuatu yang menarik persoalan.

“Tidakkah anda malu melakukan perkara ini? Tindakan anda memalukan negara,” kata McFaul sambil tersenyum sinis.

Beliau kemudian bertanya kepada pemberita terbabit, bagaimana mereka mengetahui setiap lokasi dikunjunginya tetapi tidak dijawab pemberita NTV. Kerajaan seperti Amerika Syarikat dan Russia amat mengambil tahu setiap pergerakan pegawai mereka.

McFaul sebelum ini mendapat sindiran tajam daripada media tempatan dan pihak lain. Sebaik memulakan tugas pertengahan Januari lalu, televisyen Channel One menyiarkan program menyifatkannya sebagai ‘pakar dalam mempromosi demokrasi’ dan datang ke Russia untuk menaja ‘revolusi’. – AP
'via Blog this'

No comments: